Belanjawan merupakan nadi pembangunan yang merangsang kemakmuran negara. Sudah pasti proses menyediakan belanjawan ini melibatkan pengembelingan ramai tenaga pakar dan pemikir strategi tidak terkecuali penglibatan input rakyat. Inisiatif dan peruntukan belanjawan 2018 jelas bertepatan revolusi industri 4.0, menjamin kelestarian persekitaran dan membuka harapan gagasan TN50 dalam kerangka maqasid syariah. Hampir semua pihak gembira terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi cabaran yang tinggal ialah merealisasikannya.
Amat perlu kita memahami teras belanjawan itu sebagai berharmoni dengan kerangka maqasid syariah yang menjangkau semua urusan kehidupan dengan sasaran kecemerlangan Duniawi dan Ukhrawi. Ini bererti, kita perlu merungkai agenda kehidupan dalam kerangka Al-Quran, sebagaimana perintah Allah yang bermaksud: “Dan carilah apa yang Allah sediakan di alam akhirat (balasan dan kebahagian), tapi janganlah lupa nasib kalian daripada dunia (yakni amal perbuatan dan kenikmatan)” (Al-Qasas: 77).
Berdasarkan ayat ini, Allah memerintahkan agar pandangan alam dan prinsip hidup bermatlamatkan akhirat sebagai pra-syarat sebelum menekuni usaha dan menikmati habuan kehidupan duniawi. Gagasan akhirat mampu membersihkan urusan yang menyalahi etika kemanusiaan dan adab syariah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penganiayaan, penipuan dan segala kemungkaran. Seperti ungkapan hikmah para cendikiawan mengatakan “jika kita mengejar dunia, dunia akan lari lebih pantas dan kita akan kepenatan. Jika kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita”. Sesungguhnya, orang yang memahami ungkapan ini ialah orang yang telah menjiwai mafhum firman Allah tersebut. Merekalah yang telah mencapai Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
Semua pihak perlu memastikan pembangunan inklusif dalam rentak revolusi perindustrian keempat. Umat Islam sewajarnya lebih peka dan bersedia kerana semua teknologi yang sedang pesat berkembang ini telah disebutkan di dalam hadith Rasulullah s.a.w antara lain memberi maksud bahawa suasana suatu zaman yang masanya menjadi singkat, jarak sudah menjadi dekat dan komunikasi pula menjadi lebih rapat (berdasarkan hadith diriwayatkan oleh At-Tirmizi). Seiring dengan kefahaman ini, semua sektor perlu mempersiapkan diri tidak kira dalam bidang ekonomi, sosial dan sebagainya. Suasana yang digambarkan telah memaksa manusia turut berevolusi dan tidak statik dengan pendekatan tradisi dalam kehidupan. Namun, maksud pembaharuan dan pembangunan ini ditujukan kepada cara dan kaedah kehidupan yang diperbaharui bukan memperbaharui teras agama yang bersifat qat’ie (muktamad) dan tidak berubah.
Orang tua-tua selalu berpesan agar budaya sediakan payung sebelum hujan perlu sentiasa diamati lebih-lebih lagi apabila membincangkan tentang revolusi teknologi. Di samping manfaatnya yang banyak, impak teknologi dan globalisasi bakal menggandakan pesaingan dan meluaskan capaian tanpa sempadan. Malaysia yang dalam proses menangani isu pengangguran bakal dikejutkan dengan kehilangan beberapa jenis pekerjaan tradisi dalam bidang-bidang tertentu kerana digantikan dengan peranti, teknologi dan aplikasi pintar. Pujian perlu diberikan kepada kerajaan yang peka terhadap nasib pemandu teksi dalam belanjawan 2018 dengan inisiatif geran RM5,000 dan e-hailing.
Bukan setakat itu, malah negara juga wajar menubuhkan pasukan petugas khas mempelopori rangsangan membina aplikasi pintar dengan penglibatan langsung usahawan tempatan seperti mengadakan pertandingan membuat duplikasi teknologi pintar sedia ada. Dilaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) sedang dalam proses membangunkan matawang maya (wang kripto) sendiri ekoran dari perkembangan pasaran wang digital antarabangsa sebagai alternatif dan langkah strategik negara tersebut mempersiapkan diri menjadi hub-kewangan digital. Lanskap industri dan jenis pekerjaan sudah mula berubah.
Peluang pekerjaan tradisi bakal digantikan dengan jenis pekerjaan baru umpamanya keperluan kepada pembangun aplikasi pintar, jurutera program, mudah alih dan pakar teknologi. Sehubungan ini juga, premis perniagaan juga tidak lagi diperlukan kerana urusniaga dilakukan secara atas talian tanpa halangan masa dan tempat. Premis pejabat, kaunter pelanggan dan perkhidmatan lepas jualan umpamanya akan dilakukan secara maya. Di masa hadapan, kehadiran teknologi pintar dalam pelbagai industri menyebabkan ekosistem ekonomi dan sosial turut berubah.
Urusan perbankan sekarang ini lebih mudah dilakukan secara atas talian kerana menjimatkan masa dan tenaga. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 11 aplikasi pintar tekno-wang (teknologi kewangan) telah mampu menggantikan 6 kluster fungsi tradisi kewangan melibatkan insuran, deposit dan pinjaman, pembiayaan dana, pelaburan, provisi pasaran dan sistem pembayaran. Perbankan dan kewangan Islam perlu melihat peluang teknologi ini secara serius kerana perkembangan teknologi baru ini mampu membuka peluang urusniaga kewangan berlandaskan syariah dan perkongsian keuntungan seterusnya mengeluarkan perbankan Islam dari kerangka sistem kewangan konvensional.
Dunia berasaskan internet, teknologi pintar dan sistem pengurusan data secara maya akan terus menyerbu masuk ke dalam negara. Berikutan dengan ini juga, kemasukan teknologi dan kerjasama pintar hub-digital dengan syarikat antarabangasa perlu mengambilkira kepentingan rakyat. Dari sudut lain pula, kita tidak mahu limpahan teknologi yang bakal melanda ini mengacah kestabilan kaum di Malaysia. Terdapat segolongan pihak dilihat gigih merealisasikan aspirasi negara dengan merebut segala peluang yang ada untuk diri mereka sahaja. Namun, agenda tersirat melebarkan sayap ekonomi dalam kelompok sendiri pastinya boleh membenihkan dendam dan merabakkan lagi luka lama.
Kemudahan penggunaan teknologi ini jika tidak dihemati akan membawa bersamanya sampah sarap anasir buruk seperti aplikasi berbahaya serta boleh membawa kesan moral dan jenayah. Peningkatan gejala tidak sihat juga sedikit sebanyak disumbangkan oleh media sosial. Capaian maklumat yang disalahgunakan boleh mendorong jenayah dilakukan seperti unsur pornografi menjadi faktor meningkatnya gejala rogol dan sumbang mahram. Kepekaan dan ketegasan ibubapa dalam pengawasan penggunaan kemudahan teknologi ini perlukan imbangan. Pesan Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 mafhumnya; “Berinfaqlah kalian ke jalan Allah dan jangan kalian jerumuskan diri kepada kemusnahan, berbuatlah baik kerana Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan”.
Inisiatif dan peruntukan belanjawan kerajaan memerlukan sokongan semua pihak untuk merealisasikan kejayaannya. Semua pihak perlu menjalankan peranan masing-masing supaya aspirasi negara melalui belanjawan 2018 berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran, ketidaksamaan agihan, kos sara hidup dan menjamin kestabilan moral masyarakat.