Produk kesihatan dan kecantikan dilihat mendominasi pasaran tempatan pada hari ini. Permintaan untuk menjadi lebih cantik dan anggun semakin meningkat menjadikan penawaran terhadap produk-produk sedemikian berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dominasi produk-produk kesihatan dan kecantikan bertambah hebat dengan perkembangan media sosial pada hari ini, menyebabkan ia menjadi popular dan disebut-sebut oleh masyarakat. Trend sebegini menimbulkan kebimbangan apatah lagi sekiranya tiada kesedaran dalam masyarakat kita tentang kemudaratan sesuatu produk terhadap tubuh badan yang adakalanya mengundang maut terhadap pengguna. Ini kerana terdapat produk-produk tersebut mengandungi racun berjadual yang akan memberi kesan mudarat kepada kesihatan.
Banyak sekali produk makanan tambahan dan kosmetik yang dikomersilkan berasaskan tumbuhan herba dan tradisional serta diubahsuai mengikut keperluan pengguna masa kini. Sedangkan keberkesanan dan keselamatan produk-produk tersebut jauh sekali untuk dititikberatkan dan dijamin kualitinya. Pemasaran produk sedemikian juga mempunyai strategi yang cukup hebat malahan mampu menembusi pasaran yang sedia ada sehingga dapat mempengaruhi masyarakat pengguna berdasarkan kehebatan manfaat seperti yang didakwa.
Kebanyakan pengeluar produk adalah usahawan bumiputera yang sememangnya hebat dalam perniagaan dengan menghasilkan produk sendiri. Terdapat juga yang mengeluarkan produk tiruan dan dijual dengan harga yang lebih murah serta memberi kesan yang sama. Pakej murah dan berkesan ini akan menarik perhatian pengguna untuk kelihatan lebih cantik dan sihat. Walau bagaimanapun, isu keuntungan tidak seharusnya menjadi fokus semata-mata tetapi perlu melihat kepentingan awam secara bersama. Kandungan bahan dalam produk seringkali diabaikan oleh pengeluar manakala pihak pengguna pula sudah pasti tidak mengetahuinya kerana bahan terlarang tersebut tidak dipaparkan di mana-mana pembungkusan produk.
Terdapat masih banyak produk yang mengandungi bahan terlarang iaitu racun berjadual yang tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti sildelnafil, agen pemutih iaitu hydroquinone dan tretinoin serta agen pelangsingan badan seperti sibutramine. Bahan-bahan terlarang tersebut masih menjadi pilihan pengeluar produk kesihatan dan kecantikan kerana ia memberikan kesan drastik yang diharapkan.
Apa yang menjadi intipati penting dalam hal ini ialah isu integriti. Integriti menjadi pokok utama dalam sesebuah rantaian pengeluaran produk kesihatan dan kecantikan. Pengusaha atau pengeluar perlu ada kesedaran secara holistik terhadap produk yang akan dikeluarkan mahupun dijual kepada masyarakat umum, dan tidak hanya bertunjangkan konsep keuntungan atau laba semata-mata. Ketelusan pengeluar dalam menghasilkan produk makanan kesihatan dan kosmetik perlu dititikberatkan. Kandungan bahan kimia di dalam produk tidak boleh diabaikan serta manfaatnya perlu diselaraskan dengan apa yang telah diuar-uarkan. Malahan, produk yang berkualiti seharusnya bersih daripada bahan-bahan terlarang mahu pun racun berjadual yang telah diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat manusia menerusi hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berdosa melainkan bagi orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar.”
(Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Justeru, mengambil berat dengan kemaslahatan umum dan meletakkan kesihatan awam sebagai fokus penting perlu menjadi elemen dasar kepada perniagaan atau pengeluaran produk kesihatan dan kecantikan. Kehebatan dan kemanfaatan yang digembar-gemburkan tidak hanya cantik tertulis pada pembungkusan produk dan promosi semata-mata tetapi perlu dibuktikan dan dianalisis ciri-ciri, kuantiti dan kualiti kandungan yang terdapat didalamnya. Ditambah lagi, sekiranya dilaksanakan ujian klinikal bagi mengkaji keberkesanan produk dan kesan manfaat atau mudarat kepada pengguna akan meningkatkan lagi mutu dan keselamatan sesuatu produk. Malah, pembuktian ujian-ujian saintifik akan menyokong dan menguatkan lagi kehebatan sesuatu produk tanpa sebarang unsur manipulasi dan penipuan. Langkah penjagaan maslahah umum ini adalah dituntut dalam Islam. Maka, sebagai umat Islam, perkara sebegini wajar diambilkira dalam pengeluaran sesuatu produk dan tidak hanya memikirkan keuntungan peribadi semata-mata.
Pelbagai langkah dan kerjasama daripada semua pihak perlu disepadukan dan didasari dengan rasa tanggungjawab untuk penjagaan kemaslahatan masyarakat umum dan mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Ini kerana, penggunaan bahan-bahan terlarang dan racun berjadual secara berleluasa dan tidak dipantau akan meningkatkan masalah kesihatan awam. Pengguna akan mengalami masalah kesihatan yang melibatkan kerosakan jantung dan organ dalaman lain, hiperpigmentasi, kanser kulit dan juga akan mengundang maut. Walaupun acapkali dibicarakan oleh pakar-pakar kesihatan tentang bahaya bahan terlarang, namun keghairahan masyarakat pengguna terutamanya golongan wanita untuk memiliki kulit putih dan berbadan langsing terus berleluasa. Kesibukan bekerja dan kekangan masa menyebabkan ramai yang mengambil jalan mudah untuk menjadi sihat dan cantik. Apatah lagi dengan kesan maksima yang boleh diperolehi menerusi penggunaan produk-produk tersebut walaupun dalam tempoh yang singkat.
Masyarakat pengguna menggunakan produk-produk tersebut dengan tujuan pelbagai untuk menjaga kesihatan dan kecantikan. Malah ada juga yang mendakwa produk-produk tersebut mampu mengubati penyakit yang sedia ada. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan yang mudah dengan mengabaikan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat malah ada yang turut mengabaikan rawatan dan ubatan daripada pakar perubatan dengan alasan produk-produk tersebut mampu untuk mengubati penyakit yang dihidapi. Promosi yang hebat dan testimoni pengguna sedia ada menjadi sandaran masyarakat hari ini untuk terus menggunakan produk-produk tersebut.
Kebanjiran produk-produk kesihatan dan kecantikan yang menggunakan racun berjadual masih berterusan di pasaran pada hari ini walaupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di premis-premis. Dimanakah silapnya? Apakah disebabkan permintaan masih tinggi daripada kalangan pengguna atau mereka masih tiada kesedaran dan kepekaan terhadap isu ini yang akan memberi impak kepada kesihatan? Isu pembanterasan produk-produk tersebut menjadi semakin sukar kini kerana kewujudan media sosial yang akan menggiatkan lagi penjualan produk di atas talian.
Justeru, sebagai langkah yang selamat, kepekaan dan kesedaran pengguna perlu dipertingkatkan melalui pendidikan yang berterusan menerusi saluran-saluran media yang tepat. Langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh pengguna kerana pengambilan atau penggunaan yang berlebihan akan mendatangkan kesan mudarat. Kadangkala, ia mendatangkan implikasi yang buruk dan menjadi racun kepada tubuh dalam jangka masa yang panjang. Pilihan yang bijak perlu dilaksanakan sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk.
Pengguna perlu dididik untuk memilih produk yang berkualiti dan tidak mendatangkan bahaya dengan membuat semakan terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Oleh kerana bahan-bahan terlarang dan beracun tersebut tidak diisytiharkan pada produk, maka sedikit penelitian dan semakan perlu dilakukan ke atas mana-mana produk yang akan digunakan. Produk yang bersih daripada bahan beracun sekaligus mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu diambilkira. Pengguna yang bijak akan memilih produk yang baik dan berkualiti demi menjaga kesihatan. Yang paling penting adalah kesedaran individu itu sendiri terhadap keperluan pemakanan sihat dan menjalani gaya hidup yang seimbang di samping tujuan pengambilan produk-produk berkenaan perlu dinilai sama ada menjadi keperluan atau hanya ikutan semata-semata.