Idea untuk membina rumah perlindungan khas bagi lelaki mungkin disambut dengan senyuman sinis oleh sesetengah pihak. Persis lelaki di Malaysia sudah hilang kejantanannya. Seolah-olahnya budaya Timur yang bersifat patriaki khususnya yang lahir daripada Adat Temenggong dalam budaya hidup masyarakat Melayu sudah lenyap dan pupus. Malah dilihat dayus kerana membenarkan diri untuk didera oleh isteri atau pihak isteri.
Walaupun itu yang terlihat oleh mata kasar, hakikatnya manusia yang bernama lelaki tetap makhluk yang mempunyai emosi, jiwa, latar belakang keluarga, pertimbangan, perwatakan tersendiri dan pengalaman hidup yang tidak akan sekali-kali sama dengan orang lain.
Walaupun pengalaman di Malaysia menunjukkan bahawa biasanya konflik rumahtangga yang berlaku dalam pasangan Islam adalah akibat daripada salah laku suami, tetapi kajian mendapati bahawa sebahagian konflik atau perceraian yang berlaku dalam rumahtangga Islam turut dicetuskan oleh pihak isteri.
Walaupun nisbahnya tidak besar tetapi faktor pencetus daripada pihak isteri semakin membesar, dan kes-kes buli terhadap suami sentiasa ada walaupun tidak sebanyak yang berlaku dalam kalangan wanita.
Memang agak ironi apabila insan yang diberi autoriti sebagai pemimpin keluarga, memiliki talak, serta berhak mendapat taat setia daripada isteri atau isteri-isterinya menjadi mangsa dera oleh isteri sendiri. Walaupun demikian, setiap kes mempunyai sebab yang tersendiri mengapa si suami ini membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan mereka, dan tidak menggunakan talak yang mereka miliki.
Persepsi masyarakat yang menganggap bahawa suami yang melepaskan talak, ialah suami yang kejam dan tidak bertimbang rasa adalah antara sebab mengapa perkahwinan diteruskan. Sesetengah kalangan suami juga menganggap bahawa mempertahankan perkahwinan itu adalah tanggungjawab yang perlu digalas tanpa sebarang syarat. Selain itu, kasihan terhadap anak-anak juga merupakan antara sebab mengapa pihak suami mengambil sikap untuk terus beralah.
Suami yang ditundukkan secara sihir juga bukan sesuatu yang luar biasa. Ia berlaku dengan pelbagai motif dan tujuan yang hanya diketahui oleh pengamalnya. Sesetengah isteri sanggup melakukannya demi mencapai hasrat yang diingini walaupun ia amat dimurkai Allah SWT.
Kesan dan akibat yang diterima daripada penderaan adalah sama tanpa mengira mangsa itu lelaki atau perempuan. Diburu rasa bersalah, kebingungan, kemurungan, rasa ngeri, dan tiada keyakinan diri adalah antara simptom yang boleh dialami oleh mangsa. Apabila kemurungan berlaku, ia memerlukan masa untuk kembali normal seperti sediakala. Begitu juga untuk mendapatkan keyakinan diri, ia juga mengambil tempoh masa tertentu, bergantung pada tahap kekuatan diri dan kecekalan hati individu.
Mana-mana mangsa yang datang mendapatkan perlindungan di tempat-tempat yang khusus dan diiktiraf oleh pihak kerajaan akan mendapat kekuatan dari sudut moral walaupun hanya sementara dan dalam tempoh tertentu. Perlindungan atau sokongan yang diterimanya sedikit-sebanyak boleh mengurangkan rasa bersalah sekiranya dialami. Ini kerana pembulian atau konflik yang berlaku dalam rumahtangga walaupun hanya dibuat secara lisan, tetap mampu mencederakan perasaan dan mampu mendera mental mangsa.
Kewujudan rumah perlindungan sebegini mampu mengelakkan mangsa daripada dituduh (atau terus dituduh) sebagai suami yang lari dari tanggungjawab kerana keluar dari rumah, dan tidak bermalam di rumah sendiri. Ketika krisis suami isteri yang hebat berlaku, dokumen yang mengesahkan tentang keperluan mangsa dera untuk mendapatkan tempat bagi memperoleh ketenangan dan “mencari dirinya kembali”, menjadi amat penting supaya ia dapat menikmati dan menggunakan hak privasinya tanpa sebarang gangguan.
Hak privasi itu adalah sesuatu yang dijamin oleh undang-undang dan ia harus difahami dan diakuri oleh sesiapa pun. Ia perlu dihormati hatta oleh isteri atau ahli keluarganya. Sehinggalah mangsa dera ini mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk bersemuka dengan individu-individu yang menyebabkan ia mengalami trauma atau kemurungan akibat daripada penderaan yang dilakukan terhadapnya.
Malah idea ini bertepatan dengan konsep maqasid al-Shariah yang menegaskan bahawa perlindungan diri manusia itu perlu dijamin walau apa pun situasinya asal sahaja mengikut prinsip Syariah. Apatah lagi biasanya penderaan atau pembulian turut menjejaskan kesihatan mental individu. Selain diri, akal juga merupakan perkara yang berada dalam senarai maqasid al-Shariah.
Maka dua perkara penting dalam maqasid al-Shariah iaitu perlindungan diri dan juga akal seharusnya menjadi momentum kepada kewajaran idea ini. Tidak timbul soal bahawa keadaan kita masih belum mendesak. Melakukan sesuatu sebagai tindakan persediaan dan pencegahan, amat dialu-alukan dalam Islam yang sifatnya amat fleksibel, praktikal dan realistik. Jika perkara ini sudah berada di tahap yang kritikal, pihak kerajaan sudah pun bersedia dan menyediakan kemudahan berkenaan lebih awal.
Selain daripada idea pembinaan atau pewujudan rumah perlindungan khusus bagi kaum lelaki yang didera oleh isteri mereka sendiri, ada perkara lain yang mereka perlu tahu dan mendokongnya. Satu premis yang disediakan oleh Syariah melalui Undang-undang Keluarga Islam yang boleh dianggap sebagai pembelaan Islam terhadap suami yang teraniaya, dan sebahagian hukuman buat pihak yang bersalah.
Jika krisis rumahtangga yang bergolak tidak dapat diselamatkan, malah menyebabkan kemudaratan kepada mana-mana pihak, maka pembubaran perkahwinan secara fasakh boleh dibuat.
Iaitu di bawah peruntukan fasakh yang antaranya menyebut, “Seseorang perempuan atau lelaki,…, yang berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh atas mana-mana satu atau lebih daripada alasan-alasan… (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu antara lain:- (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya;…
Fasakh akan membawa implikasi bahawa bilangan talak akan kekal sebagaimana sebelum berlakunya pembubaran berkenaan. Pihak suami juga tidak mempunyai kewajipan untuk membayar nafkah iddah, tidak sebagaimana perceraian secara talak. Suami juga tidak akan menanggung tanggungjawab untuk membayar mutaah.
Apabila tuntutan fasakh dibuat oleh pihak suami, dan kemudiannya dibenarkan oleh pihak mahkamah, maka pihak isteri yang terlibat tidak akan merasa hak yang biasanya diperolehi oleh isteri yang diceraikan secara talak.
Dengan cara ini, mudah-mudahan ia boleh menerbitkan kesedaran serta keinsafan di pihak isteri. Sekiranya kedua-duanya ingin berbaik-baik semula, dan mereka disatukan kembali dengan akad nikah yang baharu, talak yang dimiliki oleh pihak suami kekal bilangannya sebagaimana sebelum perkahwinan mereka mengalami pembubaran.
Sebagai rumusan, penulis menyokong idea pewujudan rumah perlindungan khusus untuk lelaki tanpa mengira ia datang dari arah mana, dan bagaimana ia diasaskan. Kehidupan tidak akan memberi makna, jika kesejahteraan bukan matlamat kita.