Tragedi kekerasan dan penderaan yang meragut nyawa seorang penuntut IPTA, iaitu Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah meninggalkan rasa dukacita dan marah bukan sahaja kepada ahli keluarga bahkan seluruh rakyat Malaysia. Peristiwa hitam ini telah menjentik hati ramai pihak untuk menyedari bahawa budaya buli dan penindasan ke atas individu yang lemah perlu dihentikan.
Namun, ternyata pengajaran daripada peristiwa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain mudah dilupai atau dipandang ringan oleh sesetengah pihak. Baru-baru ini isu kekerasan dalam kalangan remaja kembali menjadi bualan hangat apabila sebuah video tersebar di media sosial tentang sekumpulan pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA yang sedang mengasari seorang rakan mereka. Video tersebut memarakkan semula kemarahan masyarakat apabila secara jelas menunjukkan salah seorang pelajar mengenakan tumbukan pada bahagian abdomen rakannya sehingga menyebabkan dia berasa perit menahan senak dan kesakitan.
Tersebarnya video ini sepatutnya menjadi pencetus pelbagai pihak untuk memerangi satu budaya yang telah lama berleluasa dalam kalangan remaja, iaitu buli. Menurut Ken Rigby dalam bukunya “Bullying in Schools and What to Do About It” menyebut bahawa buli merujuk kepada tingkah laku dominasi seseorang atau sekumpulan individu yang lebih berkuasa terhadap individu yang lebih lemah dengan menyakiti secara fizikal atau psikologi. Sifat dominasi membezakan “buli” daripada “konflik” kerana wujud perbezaan sifat antara pembuli dengan orang yang dibuli misalnya dari sudut kemampuan fizikal, jumlah pembuli yang jauh lebih ramai, kemampuan menguasai percakapan, dan kemampuan mewujudkan suasana penyisihan.
Dalam kalangan remaja sekolah, perbuatan buli yang amat dibimbangi adalah apabila ia melibatkan kekerasan fizikal, iaitu menyakiti mangsa buli seperti melalui sepakan, tumbukan, dan pukulan menggunakan objek keras. Perbuatan sebegini boleh mengakibatkan luka parah, bahkan kematian seperti yang berlaku ke atas Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain. Perbuatan menggunakan kekerasan untuk menindas orang lain sangat dibenci oleh Islam kerana Islam amat mengutamakan kasih sayang dan layanan yang baik kepada semua orang.
Dalam satu hadis Rasulullah SAW memberikan amaran tentang kecelakaan yang menimpa seseorang pada hari akhirat apabila dia mengasari orang lain meskipun dia rajin beribadah. Mahfum hadis tersebut ialah:
Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka (Riwayat muslim, hadis 2581).
Selain buli secara fizikal, buli yang berlaku dalam bentuk psikologi juga tidak boleh diendahkan. Hal ini kerana ia sukar dikenal pasti dan membarah tanpa disedari. Membuli seseorang melalui kata-kata kesat, menghinanya, memulaukannya dalam pergaulan harian, atau memalukannya di khalayak ramai boleh menggugat emosi mangsa buli. Allah SWT melarang keras perbuatan mengguris perasaan orang lain dengan kata-kata yang tidak baik, apatah lagi dengan melakukanya berulang kali. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
Antara kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi berkaitan dengan penurunan ayat ini adalah tentang salah seorang isteri Nabi SAW, iaitu Ṣafiyyah yang sering diejek dengan gelaran “wanita yahudi” kerana keturunan dan agama asalnya. Insiden ejekan dan cemuhan yang berlaku berulang kali itu telah mengguris hatinya sedangkan dia telah memeluk Islam, bahkan menjadi isteri kepada baginda SAW. Disebabkan peristiwa ini, maka turunlah ayat al-Quran di atas yang memberi peringatan tentang keburukan mengherdik, menghina, dan mengejek orang lain.
Dalam konteks remaja sekolah, sekiranya insiden buli berlaku secara berterusan, ia boleh membawa kepada kesan yang lain seperti menggugat keyakinan diri seorang pelajar yang dibuli, menggugat prestasi pelajaran, dan merencatkan kehidupan sosialnya.
Buli telah bermaharajalela dalam kalangan pelajar khususnya yang tinggal di asrama sehingga menjadi budaya sukar untuk dihapuskan. Sekiranya dibuat kajian berbentuk temu bual, setiap orang pasti dapat menceritakan pengalaman dibuli, menyaksikan insiden pembulian, atau pengalaman menjadi pembuli ketika di alam persekolahan.
Buli yang tidak ditangani secara serius boleh menjadi barah dalam masyarakat. Sikap pada diri pembuli yang tidak dibendung akan turut dibawa bersama-sama apabila mereka keluar daripada sistem persekolahan dan memasuki sistem yang lain. Akibatnya, budaya buli tidak hanya terhenti pada peringkat sekolah, bahkan terus berleluasa pada peringkat pengajian tinggi dan menjadi kebiasaan dalam dunia pekerjaan.
Terdapat beberapa kajian berhubung dengan buli di tempat kerja yang boleh diberikan perhatian seperti “Perlakuan Buli di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia” oleh Muhamad Affandi Ismail, “Prevalence of Workplace Bully in Selected Public Service Agency in Malaysia” oleh Zoharah Omar, dan “Dominant Culture and Bullying: Personal Accounts of Workers in Malaysia” oleh Sharon Sam Me Kwan.
Kajian-kajian ini memperihalkan budaya buli yang turut berlaku dalam dunia pekerjaan. Antara bentuk buli yang sering berlaku ialah disuruh melakukan tugas mengikut sasaran atau tempoh masa yang tidak munasabah, diarahkan melakukan kerja di bawah tahap kompetensi yang sepatutnya, dimalukan dalam mesyuarat, dimaki atau menjadi sasaran melempiaskan kemarahan, dan menjadi bahan jenaka sebahagian rakan sekerja.
Di mana-mana sahaja buli yang berlaku, ia memberikan kerugian dalam pelbagai aspek. Hal ini kerana buli menjejaskan prestasi pelajaran dan produktiviti kerja, mendedahkan organisasi kepada isu kesihatan mental, serta mengekang perkembangan potensi seseorang dalam pelajaran dan kerjaya. Sehubungan dengan itu, buli patut dihentikan sejak peringkat awal lagi untuk mengelakkan ia berleluasa dan membarah. Perkara ini perlu sentiasa diperingatkan tanpa menunggu peristiwa buruk yang sama berulang kembali.