Keharmonian bagi sesuatu masyarakat lazimnya terbentuk daripada kemesraan, kasih sayang, penerimaan sikap dan toleransi terhadap perbezaan yang wujud di sekelilingnya. Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di Malaysia, hubungan yang harmonis ini dapat diwujudkan apabila rakyat tidak dihambat dengan corak pemikiran yang negatif seperti menolak perbezaan yang telah menjadi identiti masyarakat yang akhirnya menyebabkan hilang rasa hormat antara satu sama lain, serta menimbulkan sikap dan tindakan yang bersifat prejudis.
Realitinya, kepelbagaian manusia dalam bentuk kelompok bangsa dan agama itu sememangnya fitrah kejadian makhluk oleh Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Jika kita faham akan hal ini dengan sebaik-baiknya, maka kita akan mampu hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Kita akan mudah buat baik terhadap insan lain dengan bersikap adil, saling hormat menghormati, bertoleransi berlandaskan kefahaman bahawa hubungan ini adalah satu bentuk “ukhuwwah” yang dibina atas dasar kemanusiaan yang berasal daripada kejadian insan yang pertama iaitu Nabi Adam ʿAlaih Salām. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, maksudnya: “Hai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya dijadikan isterinya (Hawa), dan yang membiakkan daripada kedua-duanya lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan nama-Nya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (al-Nisa’, 4: 1).
Namun begitu, keharmonian bukanlah satu keadaan yang tetap dan terjamin. Mewujudkan keadaan yang harmoni juga bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi untuk mengekalkannya. Keadaan ini disukarkan lagi dengan perasaan syak wasangka yang membinasakan. Tidak kira sama ada curiga dan syak wasangka itu wujud terhadap mukmin yang lain atau juga sesama manusia secara amnya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (al-Hujurat, 49: 12). Hal ini juga terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, syak wasangka akan menjejaskan tahap kepercayaan serta keharmonian dalam perhubungan sosial antara kelompok yang berbeza. Sama ada kelompok ini disebabkan perbezaan dalam pandangan politik, jurang ekonomi atau latar belakang sosial, sikap prejudis dan syak wasangka akan melebarkan jurang yang sedia ada ini. Sebagai contoh, penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, aib dan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan minda semakin lesu dan bercelaru. Ini diburukkan lagi dengan media sosial yang menjadi wadah komunikasi hari ini. Berita palsu dan fitnah berupaya menyumbang kepada intensiti perasaan curiga dan sangka buruk jika medium ini disalah gunakan.
Namun begitu, sebagai masyarakat yang hidup bersama-sama di dalam satu komuniti, satu negara, persabahatan dan persaudaraan yang terjalin juga harus diraikan dalam ruang lingkup sebagai satu keluarga yang lebih besar. Aspirasi “Keluarga Malaysia” yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri bertujuan untuk menzahirkan rasa kasih sayang dan kebersamaan rakyat Malaysia sebagai warganegara. Tanggungjawab dan hak sebagai seorang warganegara adalah sama di sisi undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Perasaan cintakan tanah air seharusnya wujud dalam naluri setiap warganegara merentas kaum, agama dan budaya. Rasa hormat dan kasih sayang dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama juga harus berlandaskan bahawa kita hidup di bawah langit sebuah negara bernama Malaysia. Sebarang usaha untuk memecah belahkan dan memomokkan kebencian serta benih syak wasangka yang ditanam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab seharusnya ditangkis oleh rakyat Malaysia yang betul-betul cintakan negara.
Keluarga Malaysia perlu diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni yang mampu memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat. Adalah tidak wajar jika rakyat terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran yang boleh menggugat keharmonian dan keamanan disebabkan sifat syak wasangka yang wujud dalam kalangan segelintir ahli masyarakat yang menyebarkan berita palsu dan fitnah sehingga meruntuhkan kepercayaan dan persefahaman. Lebih tidak wajar, jika perpaduan dan keharmonian yang diidamkan tidak menjadi realiti kerana rasa syak wasangka dalam kalangan rakyat dibenih dan dibajai oleh mereka yang menjadi pemimpin masyarakat. Seharusnya perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan perlu menjadi satu bentuk kondisi yang lestari dan bersifat jangka panjang. Kemakmuran negara juga bergantung kepada keadaan yang harmoni sebegini iaitu rakyat hidup dengan damai, saling mempercayai dan menghormati yang akhirnya mampu melahirkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap negara.