Seketika dahulu, saya diperkenalkan kepada seorang budak berumur sembilan tahun, bernama Ryan. Kebetulan saya diperkenalkan kepadanya melalui sebuah cerita mengenainya yang disalurkan oleh al-Jazeera untuk tontonan umum. Ceritanya bermula sewaktu Ryan berumur lima tahun. Berasal dari suatu bandar di Amerika Syarikat, suatu hari Ryan pulang dari tadika di mana gurunya berpesan kepada murid-muridnya betapa masyarakat Amerika diberkati Tuhan. Menurutnya, Tuhan, dengan limpah Rahmat-Nya melancarkan aliran hidup rakyat Amerika; sekiranya air ingin diminum, mereka hanya perlu membuka pili rumah dan air bersih akan melimpah keluar. Dibandingkan dengan sebilangan besar rakyat di benua Afrika di mana masyarakat sesebuah pekan terpaksa berjalan berbatu-batu hanya untuk mendapatkan air minuman daripada tasik yang kotor lagi busuk. Keadaan sebegitu mendatangkan banyak penyakit kepada masyarakatnya yang hanya memerlukan AS$70 bagi membina sebuah telaga lengkap dengan sistem tapisan airnya.
Apabila Ryan pulang ke rumahnya, dia meminta wang AS$70 daripada bondanya. Beliau hairan mengapa anaknya meminta sejumlah wang yang begitu banyak sedangkan ia hanya berumur lima tahun; kisah yang diceritakan gurunya pula disampaikan kepada bondanya yang kemudianya menjadi terharu. Tetapi beliau masih memikirkan bahawa anaknya mungkin akan melupakan kisah yang diceritakan gurunya, apatah lagi wang yang diminta bukannya sedikit. Tetapi Ryan tidak melupakan kisah masyarakat miskin di benua Afrika; setiap hari sesudah bangun dari tidur, Ryan akan meminta wang tersebut daripada bondanya. Selepas tiga hari meminta berturut-turut, bondanya berpesan kepada anaknya bahawa sekiranya wang tersebut benar-benar menjadi sesuatu yang mustahak kepadanya, beliau akan memberikan wang itu dengan syarat anaknya harus melakukan kerja-kerja di sekitar rumah di samping menyempurnakan perkara-perkara berkaitan sekolahnya. Ryan terus berjanji.
Setelah setahun, Ryan berjaya mengumpul duit AS$70 dan meminta bondanya membawanya ke tempat menderma wang tersebut bagi membina telaga sekali dengan dengan sistem tapisan airnya untuk mereka yang memerlukannya di benua Afrika. Bondanya terus menghubungi sahabatnya yang bekerja dengan sebuah agensi kemanusiaan. Sahabatnya benar-benar terharu apabila diceritakan kisah Ryan yang tidak berputus asa memenuhi matlamatnya sedangkan beliau hanya berumur lima tahun pada ketika itu. Malangnya, wang yang diperlukan bagi membina telaga sekali dengan sistem tapisan airnya akan menelan perbelanjaan sebanyak AS$2,000. Ryan tidak berganjak, jawab beliau: “Sekiranya dua ribu dolar yang diperlukan saya harus bekerja lebih kuat lagi”. Jawapannya membuat sahabat bondanya minitiskan airmata. Malah, sahabat tersebut menjadi sangat terharu. Beliau menghubungi rakan-rakannya yang bekerja di saluran-saluran TV dan menceritakan kisah Ryan. Tidak memeranjatkan, kisah tersebut dipaparkan di kaca TV di Amerika Syarikat yang menyeru kepada rakyat supaya menghulurkan bantuan kepada Ryan supaya beliau dapat memenuhi matlamatnya. Lebih-lebih lagi, disebabkan kisah tersebut jarang diperkenalkan, Ryan dijemput memberi ceramah kepada syarikat-syarikat besar. Rakyat Amerika yang berperikemanusiaan dan yang bersifat murah hati menghulurkan bantuan dan dalam jangka masa yang singkat, wang yang mencukupi untuk pembinaan telaga berkenaan dapat dikumpul.
Telaga yang lengkap itu siap dibina di sebuah kampung di Afrika Barat. Masyarakat setempat menamakan telaga tersebut ‘Telaga Ryan’ bagi menghormati si anak muda yang berjaya membawa perubahan ketara kepada mereka. Sekarang Ryan berumur hampir sembilan tahun. Saban hari beliau mendapat kiriman surat daripada penduduk di kampung tersebut hanya untuk meluahkan rasa syukur mereka kepada Ryan yang telah menyenangkan aliran hidup mereka. Satu daripadanya menjadi ‘rakan surat menyurat’ (pen-pal) kepadanya. Keinginan untuk melihat hasil titik peluhnya menjadi kenyataan apabila ibu bapa Ryan membawa beliau ke benua Afrika, khususnya ke kampung dimana ‘Telaga Ryan’ dibina. Kedatangannya disambut meriah oleh penduduk kampung tersebut yang berbaris menunggu memberi penghormatan kepada beliau. Budak sembilan tahun itu amat terharu, apatah lagi semasa diperkenalkan kepada rakan surat menyuratnya yang juga berumur sembilan tahun. Dengan serta merta mereka berdua menjadi teman sejati walaupun satu berkulit putih, manakala satu lagi berkulit hitam; warna kulit tidak menjadi penghalang kepada talian persahabatan mereka, budaya yang berbeza tidak menjadi titik pergolakan di antara mereka, malah bahasa yang berlainan tidak menjadi masalah kepada mereka. Sambil berpegang tangan, Ryan dibawa melihat tasik kotor yang dahulunya menjadi punca air seluruh masyarakat kampung sebelum beliau diiringi melihat telaga yang dibina hasil daripada usaha-usahanya. Di tapak telaga tersebut, ucapan dilafazkan oleh ketua kampung dan guru-guru sekolah kampung tersebut. Penghargaan diberi dan upacara rasmi menamakan telaga tersebut diadakan. Semuanya itu membuatkan Ryan amat terharu, apatah lagi apabila beliau mendapat tahu bahawa rakan surat menyuratnya itu merupakan anak yatim. Kehidupannya selepas kematian ibu bapanya amat menyedihkan; ianya dipinggirkan oleh budak-budak sebaya dengannya dan dibiarkan begitu sahaja. Nasibnya berubah apabila beliau menjadi rakan surat menyurat kepada Ryan, budak yang menyelamatkan seluruh kampung. Jika dahulu beliau dipinggirkan, sekarang beliau dijunjung bagaikan bintang pujaan, namanya menjadi sebutan masyhur seluruh kampung.
Sebelum Ryan beredar daripada kampung tersebut untuk pulang ke Amerika, beliau diberi penghormatan sekali lagi. Ketua kampung tersebut mengisytiharkan hari itu sebagai ‘Hari Ryan’ bagi memperingati jasa budak sembilan tahun itu. Sekembalinya ke tanah air, beliau masih berusaha memberi pendidikan dan tunjuk ajar kepada rakan-rakan sebaya, malah masyarakat dewasa juga mengundangnya memberi syarahan. Pada akhir cerita tersebut, Ryan ditanya oleh pemberita mengapa beliau telah melakukan semuanya itu? Jawabnya, “Sekarang saya memahami apakah ertinya keadilan.”
Saya menitiskan air mata melihat adab Ryan. Saya terfikir, inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah berhubung hakikat bahawa semua manusia dicipta dengan fitrah Islam. Walaupun beliau dilahirkan kepada ibu bapa yang tidak mengaku beragama Islam, keimanan dan ketakwaannya jelas dicerminkan oleh amalannya. Adabnya juga sedikit sebanyak mencerminkan didikan ibu bapanya yang walaupun tidak mengaku beragama Islam, jelas mencerminkan kefahaman Islami. Hasil didikan dan tunjuk ajar mereka berdua, jauh daripada menyebabkan fitrah Islam itu terpendam buat selama-lamanya, telah berjaya menonjolkannya. Saya terfikir nasib anak-anak kita di Malaysia, khususnya yang ibu bapa mereka mengaku beragama Islam. Apakah aliran pendidikan yang kita salurkan kepada mereka? Adakah kita mendidik anak- anak kita supaya menghormati khazanah ilmu? Adakah kita mendidik anak-anak kita supaya menghormati ciptaan Tuhan yang Maha Esa? Adakah kita mendidik anak-anak kita berkenaan faham keadilan, kesopanan, kesusilaan? Adakah kita mendidik anak-anak kita perihal adab?
Saya berpendapat kebanyakan daripada anak-anak kita tiada adab disebabkan kebanyakkan ibu bapa mereka mencerminkan sikap tidak ambil peduli. Kebanyakan anak-anak kita tidak faham peri kesopanan dan kesusilaan, apatah lagi faham keadilan. Saya berpendapat anak-anak kita tidak menghormati mahupun mengakui ciptaan Tuhan Yang Maha Esa, sebahagian besar disebabkan aliran pendidikan yang disalurkan. Kita kaum Muslimun, sebagai ibu bapa inginkan anak-anak mendapat pendidikan Islami; namun apa yang diajar kepada mereka melanggar faham Islam sama sekali. Lihatlah gelagat kita, orang dewasa, yang tidak malu mencerca, mengeluarkan tohmahan, fitnah memfitnah sesama kita, yang giat membina benteng dan tembok yang kononnya berlandaskan agama dan budaya yang bertujuan memisahkan masyarakat kita. Lihatlah bagaimana sesetengah pemimpin yang diberi amanah dan yang menerima beban amanah tersebut mendustakan ciptaan Yang Maha Esa. Dengan tidak memikirkan akibatnya mereka rela merosakkan alam ciptaan, kayu hutan simpanan dan takungan air ingin diambil dengan rakus kononnya kerana hutan tersebut tidak sihat kecuali pokoknya yang dikatakan ‘sudah mati’ dikeluarkan. “Apa salahnya sekiranya wang diperoleh daripada anugerah Tuhan” dijadikan asas hujah. Masyarakat majmuk diingini, rakyat bersatu padu menjadi sebutan cogan kata, namun apa yang diamalkan adalah sebaliknya dengan cerminan sifat perkauman dan perbezaan yang amat ketara. Perbezaan dan perkauman dititik beratkan dan diberi pengkhususan; yang lebih menyedihkan apabila semuanya itu dikatakan menurut pandangan agama, lebih-lebih lagi sekiranya alasan diberi bahawa sesuatu pandangan bahaya itu dilakukan demi “semua umat Islam”. Pegangan kepada sesuatu aliran siasah diberi keutamaan, kebenaran yang berasaskan pegangan ilmu dan akhirnya keadilan dijadikan mangsa. Hak-hak diperdebatkan, namun perdebatan tersebut tidak mengandungi unsur tanggungjawab. Keimanan dan ketakwaan dijadikan asas aliran siasah, namun apa yang dihasilkan mencerminkan kejahilan dan kepalsuan, semuanya atas nama Tuhan.
Adakah ini yang kita ingin mengajar anak-anak kita? Nampaknya, jauh daripada menghasilkan manusia yang berpandukan kepada kefahaman dan kebenaran yang berasaskan pegangan iman yang kuat, kita telah membelakangkan Tuhan, membelakangkan nabi-nabi-Nya, membelakangkan agama, dan akhirnya menyediakan bekal untuk kembali ke zaman jahiliah dimana natijahnya terkandung dalam kitab al-Quran. Bangunlah daripada lena, kejutkanlah diri daripada khayal.