Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan merayakan Aidil Fitri sebagai tanda selesainya penyempurnaan melaksanakan ibadah puasa. Aidil Fitri adalah lambang kegembiraan dan kesyukuran setelah selesai berjuang dalam menahann dan mengawal hawa nafsu dan juga melakukan perkara-perkara yang dilarang. Bulan Ramadan adalah suatu tempoh menguji jiwa umat Islam. Kegembiraan ini adalah sebagaimana maksud sebuah Hadis yang antara pengertiannya menyatakan bahawa orang yang berpuasa itu akan memiliki dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika mereka berbuka (termasuklah untuk berhari raya kerana diharamkan berpuasa pada hari berkenaan) dan kegembiraan kedua adalah ketika mereka bertemu dengan Tuhan mereka.
Pelaksanaan ibadah puasa adalah kurniaan anak Adam sebagaimana dalam sebuah Hadis yang antaranya bermaksud, “Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku kurniakan balasan bagi puasanya itu”. Maka, menunjukkan amalan berpuasa adalah suatu tanda pengiktirafan manusia terhadap Allah SWT sebagai Tuhan mereka selain ia juga dilihat sebagai jalan penghubung di antara manusia dengan Allah. Walaupun demikian, dalam tempoh waktu umat Islam mengerjakan ibadah puasa sehinggalah pada waktu sebelum menunaikan solat Hari Raya, Allah mensyariatkan umat-Nya untuk melaksanakan zakat fitrah bagi golongan yang berkemampuan. Tujuannya adalah untuk diperuntukkan kepada golongan fakir-miskin sebagai golongan yang tidak dipinggirkan. Pensyariatan ini pula sebagai jalan penghubung kemasyarakatan antara golongan yang berkemampuan dengan golongan yang tidak bernasib baik. Inilah nilai persaudaraan berlandaskan agama Islam.
Ia menunjukkan sifat agama Islam sebagai agama yang sangat adil dan menganjurkan supaya penganutnya membuat perimbangan yang adil dalam setiap sudut. Zakat fitrah hanyalah suatu pendekatan dan agama Islam memiliki pendekatan-pendekatan lain supaya jurang kedudukan ekonomi antara golongan berada dengan lapisan berpendapatan rendah atau tiada pendapatan dapat dirapatkan. Antaranya zakat harta, tanam-tanaman, ternakan, emas juga perak yang turut disertai oleh pendekatan seperti sedekah, hibah dan wakaf yang mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk memajmukkan suasana dan jurang tersebut. Kemiskinan sememangnya tidak dapat dielakkan kerana rezeki antara seorang dengan seorang yang lain sememangnya memiliki bentuk dan kos lepas tersendiri, akan tetapi pendekatan yang dianjurkan oleh agama Islam adalah supaya masyarakat Islam tidak mempunyai orang-perseorangan atau keluarga yang berkedudukan miskin secara mutlak.
Pelaksanaan ibadah puasa secara sempurna bukan bermaksud seorang Muslim telahpun lengkap amalannya kerana agama Islam bukan agama yang hanya menjaga hubungan hamba dengan Penciptanya semata-mata. Itulah antara sebab mengapa agama Islam sangat menyarankan agar umat Islam saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain dan bermaaf-maafan sesama mereka. Fenomena ‘balik kampung’saya kira adalah hasil saranan agama Islam dan ia digabungkan dengan perasaan kasih-sayang dan persaudaraan yang saat erat sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Menariknya, fenomena ‘balik kampung’ ini tidak berlaku di semua negara Islam di dunia. Malaysia, India dan Indonesia adalah antara negara yang paling meriah memiliki fenomena ini.
Sebelum era Dasar Ekonomi Baru memperlihatkan kesannya yang memberi manfaat kepada orang Melayu dengan melahirkan golongan maratib menengah dari kalangan orang Melayu, amalan memberi duit raya tidaklah begitu menonjol dan pemberian juga dibuat secara sangat sederhana. Setakat mana yang ada di dalam kocek, itulah yang diberi kepada kanak-kanak atau warga emas. Tetapi sejak lebih dua dekad, amalan ini nampaknya lebih berperancangan dengan pihak-pihak bank memberi sokongan dengan menyediakan wang tukaran kecil yang lebih banyak. Terdapat pengalaman sebuah institusi kewangan yang menukar duit raya dalam bentuk baucer sebagai menggalakkan generasi muda membuat tabungan di bank. Walau bagaimanapun, mungkin ia menyebabkan masalah-masalah tertentu, idea tersebut sudah tidak dipanjangkan lagi kini.
Pernah suatu ketika amalan memberi ‘duit raya’ dengan sampul khas diperdebatkan oleh kalangan mereka dari kalangan yang berlatar belakang agama kerana ia mengambil contoh ‘duit raya’ yang diamalkan oleh masyarakat Tionghua. Apapun, saya mengira perdebatan ini telahpun reda kerana masyarakat Muslimin semakin bersikap terbuka, sama ada dari pihak yang memberi, yang menerima atau yang memerhati. Apa yang penting, ia dilakukan dengan hati yang ikhlas; tujuannya untuk memanjangkan pahala sesudah perginya Ramadan, dan bertujuan untuk menggembirakan hati orang yang menerima. Sudah tentu harapan semua orang agar pemberian tersebut dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya seperti menjadi tabungan pendidikan.
Bila disebut Syawal, kebiasaannya ia memberi keceriaan kepada kita kerana lazimnya kita akan bertemu dengan ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan setelah lama tidak bertemu. Dan itu menjadi amalan biasa setiap kali Syawal menjelma. Masyarakat Islam secara umumnya meraikan Syawal dengan kelompok yang sama maka, tercicirlah golongan daif seperti orang tua yang sendirian, fakir-miskin, orang kurang upaya, anak-anak yatim dan mereka yang menghadapi musibah kerana kemalangan, kebakaran atau kematian. Golongan tidak bernasib baik ini biasanya hanya dilawati atau diziarahi oleh agensi atau anjuran tertentu, dan golongan pemimpin ‘yang turun padang’.
Hampir tidak kedengaran orang-perseorangan bersama keluarga membuat kejutan menziarahi rumah orang-orang tua atau yang sepertinya. Mengapa tidak Hari Raya pada kali ini, kita merancang bersama keluarga tercinta untuk memperbanyakkan pahala dengan menziarahi golongan yang selama ini tercicir daripada pandangan kita, sedangkan atas nama agama mereka juga sebahagian daripada keluarga dan saudara kita.