Individu yang berdepan dengan isu kesihatan mental sememangnya merupakan kumpulan yang berisiko tinggi terkesan akibat daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia. Ditambah dengan isu sedia ada tersebut, ketika pandemik ini pula akan mendedahkan mereka bukan sahaja kepada risiko jangkitan Covid-19, malahan juga kepada isu-isu berkaitan seperti keresahan dan kegelisahan, kemurungan dan juga trauma. Atas faktor-faktor tersebut, ada banyak kewajaran untuk meletakkan kumpulan individu seperti ini sebagai kumpulan yang perlu diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tersebut.
Perlu difahami mengapa dan bagaimana isu berkaitan pandemik ini sebenarnya telah meletakkan mereka sebagai kumpulan yang berisiko tinggi terkesan berbanding dengan orang lain ketika musim pandemik ketika ini? Pertama adalah disebabkan suasana pandemik ini dilihat seolah-olah tidak terkawal dan sukar untuk ditentukan sejauh mana tahap jangkitan yang berlaku itu dapat dihalang ataupun dikawal. Ketidaktentuan yang berlaku ini sudah memadai untuk mencetuskan rasa kegelisahan kepada ramai individu, lebih-lebih lagi kepada pesakit mental.
Keyakinan seseorang terhadap kemampuan sendiri untuk mengawal keadaan dan suasana yang berlaku merupakan kayu pengukur terhadap kemampuan mereka dalam mengawal perasaan keresahan dan kegelisahan dalam diri. Namun, tidak semua orang memiliki kemampuan ini, lebih-lebih lagi mereka yang telah disahkan mengalami gangguan penyakit mental seperti penyakit keresahan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kaedah rawatan yang boleh digunakan untuk memperbaiki keadaan serta mampu mengurangkan risiko keterukan penyakit yang dialami itu.
Antaranya ialah mewujudkan dialog kendiri yang bersifat lebih positif, dan dalam pada masa yang sama pula realistik dan logik serta sesuai dengan konteks kehidupan ketika pandemik ini. Ungkapan seperti kita tidak mampu untuk mengawal keadaan dan orang lain, tetapi kita mampu untuk mengubah atau mengawal diri kita, pemikiran dan emosi serta reaksi dan tingkah laku kita, dan kita pula tidak wajar untuk dipertanggungjawabkan terhadap keadaan yang berlaku di luar daripada kawalan kita, sebenarnya amat berkesan dalam mengurangkan tahap keresahan yang dialami.
Keresahan dan kegelisahan yang dialami kebanyakan individu turut berpunca daripada keinginan mereka yang cuba untuk menguasai dan mengawal suasana yang berlaku di sekeliling mereka supaya menuruti apa yang mereka harapkan, namun keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Malah, ada yang gagal sebelum sampai ke penghujungnya, kerana banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita adalah di luar daripada kemampuan kita untuk mengawalnya.
Begitu juga dengan ungkapan yang selalu digunakan untuk menyakinkan orang lain seperti kita tidak selalunya akan dapat memiliki apa yang kita inginkan pada setiap masa, dan dalam banyak keadaan, kita akan memperoleh apa yang kita tidak suka atau tidak mahu. Namun, berdoa dan berusaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan tanpa mengharapkan ganjaran yang kita sendiri telah tentukan.
Namun dalam konteks pandemik yang berlaku sekarang ini, secara realistiknya, kawalan kendiri amat memainkan peranan yang penting dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19. Kawalan kendiri yang dimaksudkan ialah kemampuan dan keupayaan diri untuk mengamalkan segala jenis prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan seperti penjarakan fizikal dan sosial, menjauhi tempat sesak, membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri, serta sebagainya. Ini merupakan satu prinsip dalam ajaran Islam seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran, surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” Ayat al-Quran ini menerangkan bahawa proses meningkatkan kekuatan kendiri untuk berubah kepada satu tahap yang lebih selamat dan sihat serta produktif perlu dibina terlebih dahulu dan seterusnya dijadikan amalan rutin dalam kehidupan harian.
Seterusnya, kehidupan ketika musim pandemik ini telah membentuk satu rutin aktiviti harian yang dipenuhi dengan pelbagai SOP yang perlu diikuti. Bagi sesetengah pesakit mental, keadaan yang dipenuhi dengan pelbagai SOP ini sudah cukup untuk menimbulkan keresahan yang dahsyat dalam diri mereka. Contohnya, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghadkan pergerakan fizikal dan aktiviti sosial mereka.
Banyak aktiviti terpaksa dilakukan secara dalam talian termasuklah aktiviti seperti mesyuarat dan pembelajaran. Bagi mereka, pengalaman ini telah meningkatkan rasa sunyi, dan keseorangan, dii samping mengehadkan rangsangan sensori secara teruk sehingga ke tahap mencetuskan rasa kegelisahan yang tidak terkawal dan akhirnya mengganggu kestabilan emosi dan mental.
Bagi sesetengah individu lain pula, mereka merasakan bahawa musim PKP rupanya lebih sibuk berbanding ketika musim bukan PKP. Istilah bekerja dari rumah atau BDR cukup menakutkan kerana kesibukan yang dialami itu berlaku secara tidak terkawal. Pengurusan waktu dan aktiviti harian menjadi tidak terurus. Walaupun berada di rumah, namun sempadan antara kerjaya dengan kehidupan telah menjadi semakin kabur, tidak jelas malah seakan tiada keseimbangannya. Akibatnya tercetuslah konflik yang akhirnya menjurus kepada krisis rumahtangga dan sebagainya.
Sudah pasti, bagi pesakit mental, keadaan ini memerlukan rawatan secara profesional. Sebagai golongan yang berisiko tinggi, wabak pandemik ini telah mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan tersebut secara berlipat ganda berbanding dengan mereka yang tiada isu kesihatan mental, dan golongan ini perlu dikenal pasti agar rawatan bersesuaian juga dapat diberikan kepada isu kesihatan mental yang dihadapi oleh mereka.