Pagi 30 Ogos 2021, penulis disahkan positif COVID-19 dan terus dirujuk ke CAC (COVID-19 Assessment Centre). Disebabkan penulis ada tiga faktor risiko iaitu melebihi 50 tahun, obese dan menghidap asthma, maka penulis dihantar ke MAEPS untuk mendapatkan rawatan dan menjalani kuarantin.
Di MAEPS, keesokan harinya, selepas dirawat oleh doktor, penulis telah diberikan bantuan oksigen melalui tiub dan dengan itu secara rasminya penulis merupakan pesakit COVID-19 Kategori 4. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata doktor, “Kita akan cuba rawat puan. Kalau tiada tindak balas, kita akan hantar puan ke hospital.”
Kata-kata yang terus, telus dan amat merisaukan, tetapi itulah hakikat keadaan kesihatan penulis pada ketika itu. “Ke hospital” bermaksud keadaan penulis semakin memburuk dan mungkin akan menjadi pesakit COVID-19 Kategori 5.
Penulis terus teringat kepada anak tunggal di rumah dan adik-beradik di kampung. Adakah lagi peluang untuk kami bertemu? Lantas, penulis menghantar pesanan kepada seorang sahabat, “Kalau saya meninggal, mohon bantu anak untuk uruskan jenazah saya. Inilah khidmat awak yang terakhir untuk saya. Terima kasih banyak-banyak.” Air mata mengalir laju sambil penulis menekan butang “Hantar”.
Jam 3.00 pagi, 1 Sep 2021, penulis dikejutkan dari tidur oleh salah seorang petugas barisan hadapan dengan kata-kata, “Puan, mari kita pindah wad”. Penulis dipindahkan ke Wad Mawar – wad pemantauan – dan bukannya ke hospital. Ini bermaksud rawatan yang diterima pagi tadi memberikan tindak balas yang positif. Alhamdulillah.
Sebagai pesakit COVID-19, khususnya yang Kategori 4, kita bukan sahaja berhadapan dengan kesakitan fizikal, tetapi juga perlu berhadapan dengan emosi sendiri yang merasakan betapa dekatnya kematian. Soalan-soalan seperti, “Dapat balik rumah lagi kah?”, “Dapat jumpa anak lagi kah?” “Dapat jumpa adik-beradik lagi kah?” berlegar-legar di fikiran. Jawapan kepada soalan-soalan ini ditunggu dengan penuh debar dari hari ke hari berserta doa yang penuh harap agar Allah SWT memberi peluang untuk bertemu lagi dengan orang-orang yang tersayang.
Sembilan hari MAEPS amat menginsafkan. Ada sebilangan kecil pesakit yang boleh urus diri sendiri. Namun ada yang hanya berbaring di katil kerana dimasukkan air atau memerlukan oksigen. Ada yang batuk-batuk kering, tidak kurang juga yang batuk berkahak pada kepekatan yang berbeza. Ada yang perlu dihantar ke hospital kerana keadaan kesihatan yang memburuk. Ada juga yang dimasukkan ke wad ini dari Dewan Kuarantin kerana didapati bergejala teruk selepas beberapa hari berada di dewan itu.
Keinsafan juga timbul apabila melihat siapa yang ditempatkan di MAEPS ini. Hari kedua, di hadapan katil penulis, ada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang hadir bersendirian. Kelihatannya remaja itu dapat menguruskan dirinya dengan baik. Namun, dalam bab makan minum, dia nampaknya terlalu mengikut seleranya yang hilang. Memanglah pesakit COVID-19 ini tiada selera makan, tetapi kita perlu paksa diri untuk makan demi mendapatkan tenaga. Maka, kami – pesakit di katil-katil bersebelahan yang semuanya berpangkat ibu kepada remaja itu – memujuknya untuk makan. Mungkin pujukan kami mengingatkannya kepada ibunya, maka remaja tersebut menangis. Bayangkan kalau remaja itu anak kita.
Beberapa hari kemudian, hadir seorang ibu muda dengan anak kecil berusia setahun lebih. Kita yang hadir sendiri pun sudah terasa berat beban yang ditanggung, inikan pula ibu muda itu yang turut perlu menjaga anaknya. Ibu muda ini akan ke surau (100m dari katilnya) untuk solat ketika anaknya tidur. Sering kali juga, anaknya terjaga ketika ibu itu sedang solat lantas menangislah anak itu mencari ibunya.
Di wad sebelah yang memantau pesakit lelaki, kedengaran seorang ayah mendodoikan anaknya yang berusia kurang setahun. Sedang di dodoi, anak itu merengek, “Mama, mama, mama…” sehinggalah ia penat dan tertidur.
Wad ini – yang asalnya merupakan dewan pameran yang terbuka – juga menjadi transit untuk pesakit-pesakit lain yang baru tiba untuk disaring dan dinilai tahap kesihatan mereka sebelum ditentukan tempat mereka sama ada di wad atau di Dewan Kuarantin. Pelbagai jenis pesakit yang transit di sini. Ada yang datang bersendirian, ada yang datang dengan ahli keluarga yang lain, ada yang datang dengan kawan pejabat dan sebagainya.
Pada satu malam, dalam jam 10, datang seorang ibu dan anak kecil dalam usia 2-3 tahun. Selama dua jam anak itu menangis sambil berkata, “Tak nak duk sini. Tak nak duk sini. Tak nak duk sini.” Dua jam. Tangisan itu berhenti apabila nama dua beranak itu dipanggil untuk dihantar ke Dewan Kuarantin.
Menjadi pesakit COVID-19 Kategori 4 ialah satu pengalaman yang amat menakutkan untuk penulis, khususnya apabila memikirkan betapa dekatnya penulis dengan kematian. Walau bagaimanapun, pengalaman di MAEPS amat berharga dan tidak mungkin penulis lalui jika tidak dijangkiti COVID-19. Selain perlu tabah dan sabar dalam berhadapan dengan kesakitan fizikal yang dialami, kekuatan mental dan emosi juga diperlukan untuk menguatkan semangat diri. Teringat pesanan para petugas barisan hadapan, “Puan kena kuat untuk lawan COVID-19”. Pengalaman ini juga menghadiahkan satu perjalanan rohani yang terlalu peribadi untuk dikongsi kan dengan sesiapa. Dalam pelbagai perasaan yang bercampur-baur itu, keramahan, kelembutan dan kebaikan para petugas barisan hadapan menjadi penawar kepada hati yang rawan.
Koronavirus masih ada di luar sana. Kita belum menang. Walaupun banyak negeri telah keluar dari Fasa 1 PPN dan semua kita telah jemu berkurung, ikhtiarkanlah supaya kita mematuhi SOP sebaik mungkin apabila berada di luar rumah. Pilih aktiviti yang berisiko rendah agar kita se keluarga terpelihara daripada wabak ini. Iringi ikhtiar kita dengan doa agar Allah SWT – yang Maha Memelihara – melindungi kita dari wabak ini.