Program vaksinasi COVID-19 negara yang telah dimulakan sejak awal tahun ini melalui satu program yang dikenali sebagai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjalan dengan jayanya. Sehingga kini, dilaporkan bahawa terdapat sebanyak 86.7%individu dewasa di negara ini telah melengkapi 2 dos vaksin mereka. Ini menunjukkan satu jumlah yang memadai kerana jumlah ini telah melebihi paras psikologi, 80% bagi tujuan penghasilan tahap imuniti kelompok menurut piawaian kajian epidemiologi berkaitan isu pandemik.
Namun, pada kali ini, konsep piawaian ini berbeza kerana pandemik ini berkaitan dengan jangkitan penyakit COVID-19. Tanpa diduga, situasi jangkitan pandemik COVID-19 kini seakan telah mengubah peta minda para pengamal dan saintis yang sedia ada terhadap konsep dan hala tuju epidemiologi terhadap jangkitan berkaitan patogen yang menyebabkan jangkitan bersifat pandemik sejak dulu lagi.
Sama ada pandemik yang satu ini telah memberikan satu hala tuju yang baharu, atau telah memberikan harapan dan nafas baharu kepada kehidupan dan kaum manusia, hakikatnya masih banyak lagi kajian dan perbincangan ilmiah serta saintifik yang perlu dilakukan. Segala-galanya adalah berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang sahih dan betul, bagi memenangi peperangan terhadap virus COVID-19 ini. Namun sehingga ke hari ini, pandemik ini masih terus menyerang dengan rakusnya.
Secara umumnya, Pelan Pemulihan Negara telah semakin berjaya dicapai hasil daripada kejayaan melangsungkan program imunisasi COVID-19 tersebut. Namun kejayaan sebenar adalah bergantung kepada data sahih yang ada dan menyokong tanggapan tersebut. Hakikatnya juga, sehingga kini terdapat beberapa kelompok umat yang melihat amalan dan proses vaksinasi yang ada ini dari sudut yang mengundang konflik dan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan negara. Umum untuk menyatakan bahawa golongan ini sering kali dilabelkan dengan satu istilah standard dan pragmatik tetapi secara tidak ilmiah sebagai puak ‘anti vaksin’.
Golongan seperti ini telah lama wujud dan kewujudannya lebih awal lagi jika dibandingkan dengan kemunculan virus dan penyakit berkaitan pandemik COVID-19. Mereka juga boleh terdiri daripada sesiapa sahaja. Walaupun tiada data demografi khusus siapakah mereka, sedia adanya golongan ini tidak mampu untuk dinafikan lagi. Malah, pertimbangan dan kedudukan golongan ini sudah pasti akan memberikan satu impak yang amat besar kepada persembahan dan sumbangan dalam data demografi dan epidemiologi negara berkaitan pandemik ini.
Ini merupakan khazanah epidemiologi yang terbenam sejak sekian lama kerana stigma yang ada telah mempromosikan bahawa mereka ini sebagai golongan yang tiada apa-apa dan tidak signifikan kepada pembangunan negara serta tidak membantu mewujudkan keharmonian. Malah, mereka dinyatakan sebagai musuh yang sebenar. Namun hakikatnya, masa depan ekonomi negara turut dibantu dan di corak oleh mereka kerana mereka turut membayar cukai pintunya. Jadi, apakah tindakan dan strategi yang proaktif untuk mendepani mereka? Adakah langkah kanan atau langkah kiri? Perlu kah atau layak kah golongan ini untuk disantuni, atau perlu dihumban sahaja ke dalam penjara bak penjenayah yang anti sosial, dan bermasalah tata tertib?
Pada hakikatnya sudah pasti bahawa golongan tersebut perlu disantuni secara kemanusiaan kerana mereka ialah spesies manusia yang sama seperti golongan manusia lain. Mereka perlu disantuni dengan sifat kemanusiaan dan penuh rasa hormat. Kesantunan yang diajar oleh agama Islam perlu dipraktikkan sesama manusia. Amat jarang sekali kesantunan dibalas dengan keganasan atau kekasaran. Namun selalunya kekasaran dan keganasanlah yang mengundang keganasan atau dibalas dengan kekasaran juga. Ia perlu dielakkan terutamanya ketika musim pandemik ini, lebih-lebih lagi isu berkaitan polemik antara golongan yang menerima vaksinasi atau sebaliknya.
Perintah ini seperti yang digambarkan oleh firman Allah dalam al-Quran, surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka (yang mempermain-mainkan), dan janganlah pula ada golongan perempuan (yang mempermain-mainkan) perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka (perempuan yang mempermain-mainkan). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran (buruk). Seburuk-buruk panggilan adalah kefasikan setelah beriman. Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Matlamat utama dalam menyantuni golongan ini ialah bagi mengajak mereka untuk bersama-sama berjaya memerangi wabak ini melalui program vaksinasi. Cara dan pendekatan yang digunakan wajar menyelami isu terpendam dan tersirat kerana selagi mana ia dipendam tanpa penerokaan, selagi itu segala isu dan masalah tidak dapat dirungkaikan dan diselesaikan.
Penerokaan terhadap isu terpendam akan menyerlahkan punca sebenar yang menjadi asas kepada keengganan menerima vaksin oleh golongan tersebut. Keengganan ini perlu difahami kerana golongan tersebut ialah golongan yang cukup berhati-hati dalam melaksanakan urusan kehidupan mereka. Tahu kah kita bahawa terdapat sub kategori bagi golongan yang dilabel sebagai golongan anti vaksin ini yang sebenarnya memerlukan pendekatan berbeza bagi setiap sub kategori tersebut?
Di kalangan mereka, ada segolongan yang ingin mengambil vaksin tetapi tidak berkeyakinan sepenuhnya. Mereka memerlukan lebih masa untuk menilai dan mengkaji dan akan menjadi lebih berkeyakinan lagi jika pendekatan yang diberikan lebih menyediakan maklumat yang lebih sahih untuk mereka. Segolongan yang lain pula sekadar sebagai pak turut kerana mereka ini berada dalam lingkungan golongan atas pagar dan terperangkap dalam persekitaran komuniti yang kurang pendedahan berkaitan fakta dan maklumat sahih keperluan vaksinasi.
Manakala segolongan lagi boleh dianggap sebagai kumpulan tegar menyokong kepada pendekatan yang lebih bersifat alamiah dan tidak memberi ruang langsung kepada pendekatan moden vaksinasi ini. Lantaran itu, bagi memastikan setiap individu menerima dos mereka, setiap kebimbangan yang dihadapi mereka perlu disantuni secara kemanusiaan dan berhemah, bukan secara hukuman, paksaan atau pendakwaan, kerana asas kebimbangan mereka ialah satu perkara yang logik bagi mereka walaupun sukar untuk kita terima, kerana itulah pilihan mereka. Kejayaan untuk mereka menerima vaksin ialah kejayaan mereka, namun, keupayaan kita untuk merungkaikan permasalahan mereka daripada perspektif mereka agar menerima vaksinasi pula ialah kejayaan kita semua.