Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah memanjangkan umur kita untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan ini.
Pastinya semua umat Islam ternanti-nanti akan kehadiran bulan ini bila mana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Orang yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala akan diampun dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari). Lumayan sungguh ganjaran yang dijanjikan untuk para hamba yang ikhlas berpuasa kerana-Nya.
Untuk itu, mungkin ramai di antara kita yang sudah menyediakan jadual waktu khusus untuk menjalani hari-hari di bulan Ramadan ini. Dari jam 4.30 pagi, hari dimulakan dengan solat sunat tahajjud beberapa rakaat, bersahur, membaca al-Quran dan solat Subuh serta solat-solat wajib lainnya, dan diakhiri dengan solat Isyak dan Terawikh berjemaah di masjid dan membaca al-Quran lagi sebelum masuk tidur. Ramai yang akan merencanakan hari mereka seperti ini untuk memaksimumkan ganjaran yang bakal diperolehi sepanjang Ramadan ini.
Selain itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan empat perkara iaitu: i. syahadah; ii. istighfar; iii. memohon syurga; dan, iv. memohon diselamatkan dari azab api neraka (HR Ibn Khuzaymah, al-Bayhaqi dan Ibn Hibban). Ia boleh dilakukan dalam satu zikir yang bermaksud, “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, aku memohon ampun kepada-Nya, kurniakanlah aku syurga dan aku berlindung dari neraka”.
Dalam kita sibuk merencanakan ibadat-ibadat untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah (hablumminallah), jangan kita lupa satu lagi dimensi hubungan yang juga dituntut untuk ditingkatkan sepanjang Ramadan ini iaitu hubungan kita dengan sesama manusia (hablumminannas). Banyak sekali anjuran-anjuran Islam berkaitan dengan hal ini.
Pertama, Ramadan dikenali sebagai bulan kasih sayang kerana umat Islam digalakkan untuk membantu golongan fakir-miskin sepanjang bulan ini. Berbagai jenis bantuan boleh kita salurkan, baik dalam bentuk wang, material mahupun perkhidmatan. Melalui penunaian zakat, mahupun amalan sedekah yang paling afdal di bulan ini (HR At-Tirmidzi), golongan fakir miskin akan dapat dibantu.
Kedua, umat Islam juga dituntut untuk memberi makan orang yang berbuka. Sungguh besar ganjaran yang akan diberi kepada mereka yang menyahut seruan ini seperti maksud hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, “Siapa yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan memperoleh pahala sama seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun”. Di zaman kanak-kanak penulis, amalan ini dilaksanakan dengan bertukar-tukar juadah sesama jiran. Kini, berbagai amalan lain yang dilakukan seperti membawa kaum keluarga dan sahabat handai berbuka di restoran, menaja makanan berbuka untuk surau dan masjid, dan lain-lain lagi. Di zaman yang serba maju ini juga, dengan bantuan badan-badan bukan kerajaan yang begitu aktif, kita berpeluang untuk memberi makan berbuka atau barangan keperluan dapur kepada saudara seagama kita yang memerlukan yang berada di negeri lain, malah di negara lain yang tidak pernah kita terfikir untuk melakukannya dua puluh tahun dahulu.
Ramadan juga dikenali sebagai bulan kesabaran bila mana kita dituntut untuk bersabar dalam menjalani ibadah puasa ini walau sesukar manapun. Dalam keadaan lapar dan dahaga, umat Islam perlu sabar untuk meneruskan puasanya kerana Allah. Dalam pada itu, kesabaran ini juga dituntut dalam hubungan sesama manusia agar umat Islam terus tenang dan memelihara hubungan baik dengan orang-orang di sekelilingnya sepanjang bulan Ramadhan ini.
Bulan Ramadan ini juga dikatakan bulan rezeki untuk umat Islam. Bila bercakap mengenai bulan rezeki, ramai yang melihat pasar dan bazar Ramadan sebagai pintu rezeki mereka. Memang benar, pasar dan bazar seumpama ini membuka ruang dan peluang perniagaan untuk para peniaga. Namun, pasar dan bazar itu bukanlah satu-satunya pintu rezeki sepanjang bulan Ramadan ini.
Bila dikatakan bahawa Ramadan bulan mengundang rezeki, ia tidak terhad kepada rezeki dalam bentuk wang atau sumber pendapatan semata-mata. Sebenarnya, banyak amalan yang selalunya kita cenderung lakukan dalam bulan Ramadan seperti beristighfar dan bersedekah, merupakan amalan-amalan yang mengundang rezeki dalam berbagai bentuk. Walaupun umum mengetahui bahawa sedekah itu bakal diberi ganjaran yang berlipat kali ganda, namun ganjaran itu tidak terhad dalam bentuk pahala dan wang ringgit semata-mata. Rezeki yang dimaksudkan itu termasuklah dalam bentuk-bentuk yang lain seperti tertolaknya bala, kesembuhan dari penyakit dan umur yang panjang dan sebagainya. Itulah sebabnya mengapa Ramadan dikenali sebagai bulan mengundang rezeki dan rebutlah peluang ini sebaik-baiknya.
Kita sedang berada dalam bulan Ramadan yang amat dirindui oleh mereka yang benar-benar memahami kelebihan bulan ini. Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Kalaulah para hamba mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, tentu mereka mengharapkan bahawa Ramadan itu sepanjang tahun”. Maka, tidak hairanlah ramai umat Islam yang berusaha keras untuk memaksimumkan ibadah mereka sepanjang bulan ini.
Namun, dalam kita menumpukan kepada ibadah-ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, jangan pula kita lupa kepada dimensi sosial Ramadan yang menekankan kepada hubungan baik sesama manusia dan rasa kepedulian yang tinggi terhadap nasib ahli masyarakat lain yang kurang bernasib baik. Bukankah tujuan berpuasa itu juga untuk merasai lapar dan dahaga yang dirasai oleh mereka yang kurang berkemampuan?
Kemuncak kepada keutamaan bulan Ramadan ini tentunya Malam Lailatul Qadar. Kita dituntut untuk mencarinya pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Siapakah agaknya yang bakal bertemu dengan malam yang lebih baik dari 1000 bulan ini? Seorang Muslim yang mengurung dirinya dalam bilik untuk beribadah sepanjang bulan atau seorang Muslim yang dalam mencari ganjaran Ramadan, tidak lupa untuk berbuat baik kepada ahli masyarakat yang lain dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh umat Islam lain yang kurang berkemampuan? Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga Allah menerima ibadah kita.