Nota: artikel asal, The Myth of “The Myth of moderate Islam” oleh Vincenzo Oliveti disiarkan oleh majalah Islamica #15, Summer 2006. Artikel sama boleh didapati pada http://www.islamicamagazine.com/content/view/159/59/. (Versi bahasa Melayu ini adalah terjemahan bebas Md. Asham Ahmad, Fellow, Institut Kefahaman Islam Malaysia/IKIM)
Baru-baru ini, di dalam sebuah makalah yang diterbitkan oleh majalah The Spectator, UK, pemimpin evangelikal Patrick Sookhdeo telah menghentam Muslim dan agama mereka. Mampukah beliau mempertahankan dakwaannya apabila disoal-siasat?
Makalah Sookhdeo (30 Julai, 2005), terbitan The Spectator London, “The Myth of a Moderate Islam” (“Dongeng Islam Sederhana”) membayangkan suatu pendekatan yang merbahaya ketimbang perang menentang keganasan. Dengan berselindung di sebalik usaha menyampaikan maklumat tentang Islam kepada masyarakat Barat, penulis sebenarnya menyebarkan maklumat palsu yang menjadi modal polemik-polemik anti-Islam semenjak lebih dari 1000 tahun. Apa yang dilakukan ini hanya menguntungkan orang-orang seperti Osama bin Laden, Abu Musab al-Zarqawi, kerana ia menggalakkan “pertembungan tamadun”, sesuatu yang sangat-sangat mereka harapkan. Oleh itu, adalah amat penting sekali bagi kita menambah pengetahuan kita tentang Islam and menentang agenda golongan pelampau dengan segala kemampuan yang ada. Malangnya Sookhdeo dan orang-orang sepertinya telah merosakkan usaha ini, dengan tujuan menyogokkan agenda sendiri, lantas menukarkan perang melawan keganasan kepada perang ideologi menentang Islam.
KEGANASAN MUSLIM
Sikap berat sebelah Sookhdeo memang jelas kelihatan dari awal lagi. Beliau berhujah bahawa para pengganas itulah sebenarnya wakil Islam; ujarnya: “Sekiranya mereka berkata bahawa mereka melakukannya atas nama Islam, kita mesti mempercayai mereka. Adalah bertentangan dengan semangat kebebasan, bahkan bukankah suatu keangkuhan untuk menafikan mereka hak bagi menyatakan siapa diri mereka?” Keseluruhan makalah itu, walaubagaimanapun, adalah merupakan usaha keras untuk menafikan hak orang-orang Islam yang lain menyatakan siapa diri mereka dengan menolak tafsiran Islam golongan pelampau. Sebenarnya kurang dari 5% dari masyarakat Islam boleh digolongkan sebagai fundamentalis, dan dari peratusan itu kurang dari 0.01% pernah menunjukkan kecenderungan melakukan keganasan atau “keganasan agama”. Adalah bercanggah sama sekali dengan semangat liberalisme untuk menta’rifkan lebih 1.3 bilion Muslim sebagai pengganas sedangkan mereka tiada kena-mengena langsung dengan “keganasan agama” semata-mata kerana salah laku segelintir 0.005%. Paling ramai pun hanya seorang dari setiap 200,000 Muslim boleh dikaitkan dengan keganasan. Ertinya ada kira-kira 65,000 pengganas di seluruh dunia-jumlah yang hampir sama dengan bilangan pembunuh yang masih bebas di AS, yang mempunyai 20,000 kes bunuh setahun dengan penduduk berjumlah 300 juta sahaja.
Sookhdeo mendakwa bahawa orang Islam “mesti secara jujur mengakui keganasan yang wujud dalam sejarah mereka.” Walaubagaimanapun, merujuk kepada fakta bahawa sebahagian besar buku yang merakamkan salah-laku orang Islam ditulis oleh orang Islam sendiri, sukar untuk berhujah bahawa orang Islam secara keseluruhannya bersepakat untuk menutup kekejaman masa lalu. Memang benar ada orang Islam yang menafikan beberapa perkara tertentu dalam sejarah, sebagaimana adanya orang-orang British yang menafikan kekejaman penjajahan; orang Amerika yang menafikan pembunuhan beramai-ramai Penduduk Asli Amerika; orang Jerman yang menafikan pembunuhan beramai-ramai 6 juta Yahudi. Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah bahawa Tamadun Kristian telah menjadi punca kepada kekejaman yang jauh lebih dahsyat daripada apa yang berlaku dalam Tamadun Islam, bahkan jika diambilkira rakyat yang lebih ramai dan jangka waktu yang lebih panjang sekalipun.
KEGANASAN KRISTIAN
Tidak mungkin ditemui dalam sejarah Islam suatu doktrin yang boleh dibandingkan dengan yang diajarkan oleh Saint Augustine, cognite intrare (“bawa mereka masuk”, yakni, “paksa mereka masuk (kristian)”). Al-Qur’an menyatakan sebaliknya: “tiada paksaan dalam agama”. Pandangan Augustine yang menakutkan itu, bahawa semua orang mesti dipaksa menerima “kebenaran agama Kristian” telah membuahkan kurun-kurun yang penuh dengan pertumpahan darah, yang tiada tandingannya dalam sejarah manusia. Bahkan orang Kristian sendiri lebih teruk menderita di bawah pemerintahan tamadun Kristian berbanding pemerintahan Rom sebelum Kristian atau pemerintahan lain dalam sejarah. Jutaan manusia diseksa dan dibunuh pada zaman-zaman Arian, Donatist dan Albigensian yang dianggap sesat, belum mengambilkira berbagai Inquisition, perang-perang salib, apabila tentera-tentera Eropah berkata, semasa mereka menyembelih orang-orang Arab Muslim dan Kristian: “Bunuh mereka semua, Tuhan tahu siapa hambaNya.” Sebenarnya tidak perlu untuk dinyatakan bahawa segala dosa-dosa ini-bahkan segala dosa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian sepanjang zaman-langsung tiada kena-mengena dengan Nabi Isa ataupun New Testament sekalipun. Hakikatnya tidak pernah orang Islam sekali-kali menyalahkan Nabi Isa. Bagaimana pula Sookhdeo menyalahkan al-Qur’an terhadap dosa-dosa yang dilakukan oleh orang Islam?
Harus diingat bahawa keganasan yang tidak mengenal batas itu tidak terhad semata-mata kepada zaman kegelapan Eropah atau kepada suatu zaman dari sejarah Kristian. Reformation dan Counter Reformation membawa pembunuhan sesama Kristian ke tahap baru; dua pertiga penganut Kristian yang merupakan penduduk Eropah telah disembelih pada zaman ini. Ini diikuti oleh (antara sekian banyak peperangan, pogrom, revolusi, dan penghapusan kaum) perang Napoleon (1792-1815); perdagangan hamba di Afrika yang mengorbankan 10 juta jiwa; dan penaklukan untuk menjajah. Anggaran jumlah orang-orang Asli Amerika yang dibunuh oleh bangsa Eropah di Utara, Tengah, dan Selatan Amerika mencecah 20 juta nyawa dalam tempoh tiga generasi.
Tidak cukup dengan sejarahnya yang penuh dengan keganasan, pada kurun ke-20, tamadun Barat membawa peperangan ke tahap yang baru. Anggaran konservatif meletakkan jumlah kematian akibat keganasan pada kurun ke-20 melebihi 250 juta. Daripada jumlah ini orang Islam bertanggungjawab terhadap kurang dari 10 juta kematian. Orang Kristian, ataupun mereka yang datang dari latar belakang Kristian bertanggungjawab terhadap lebih dari 200 juta pembunuhan! Jumlah terbesar kematian dicatatkan dalam Perang Dunia 1 (kira-kira 20 juta, 90% disebabkan oleh orang Kristian) dan Perang Dunia ke-2 (90 juta, sekurang-kurangnya 50% disebabkan oleh orang Kristian, kebanyakan bakinya berlaku di Timur Jauh). Berdasarkan kenyataan sejarah, kita bangsa-bangsa Eropah harus belajar menerima hakikat bahawa tamadun Islam sebenarnya tidaklah seganas tamadun Kristian. Adakah pembunuhan beramai-ramai (holocaust) bangsa Yahudi berlaku di dalam tamadun Islam?
Dalam abad ke-20 sahaja, kuasa-kuasa Barat/Kristian bertanggungjawab terhadap lebih dua puluh kali ganda kematian berbanding dengan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Islam. Dalam abad yang paling kejam ini, kita telah mengakibatkan lebih banyak kematian penduduk awam berbanding dengan apa yang orang Islam lakukan dalam seluruh sejarah Islam. Ini berlaku sehingga ke hari ini-saksikan penyembelihan 900,000 rakyat Rwanda pada tahun 1994 dalam negara yang 90% penduduknya adalah Kristian; atau pembunuhan lebih 300,000 Muslim dan perogolan secara terancang lebih 100,000 wanita Muslim oleh bangsa Serb Kristian di Bosnia antara 1992 dan 1995. Suatu hakikat yang dahsyat bahawa, berdasarkan angka dan perangkaan, tamadun Barat adalah tamadun yang paling ganas dan kejam di antara tamadun-tamadun yang pernah wujud, dan ia telah bertanggungjawab terhadap kematian beratus juta nyawa.
Pembinaan dan penggunaan senjata nuklear sahaja cukup untuk meletakkan Barat pada kedudukan yang memalukan di kalangan masyarakat dunia. Amerika mencipta senjata nuklear. Amerika adalah satu-satunya negara yang pernah menggunakannya, dan negara-negara Barat berusaha keras memastikan mereka mengekalkan monopoli terhadap senjata nuklear. Merujuk kepada rekod, kita tiada asas moral untuk membantah pemilikan senjata berkenaan sehingga kita buktikan kita bersedia untuk menghapuskannya semua sekali.
Patut juga ditegaskan di sini, walaupun Islam mempunyai konsep peperangan yang dibenarkan untuk mempertahankan diri (seperti juga dalam agama Kristian, bahkan Buddha), tidak wujud dalam kebudayaan Islam (ataupun budaya-budaya lain yang masih wujud hari ini) kekaguman, bahkan pemujaan terhadap keganasan sebagaimana wujud dalam kebudayaan Barat. Orang-orang Barat menganggap diri mereka pencinta keamanan, sedangkan ciri-ciri kelembutan dan ketinggian New Testament, dan prinsip-prinsip teras demokrasi yang mencintai keamanan, jarang sekali tergambar dalam budaya popular masyarakat Barat. Sebaliknya, seluruh kecenderungan budaya popular-filem Hollywood, rancangan televisyen, permainan video, musik popular dan hiburan sukan-adalah untuk menyanjung dan menerapkan keganasan. Sejajar dengan itu, secara perbandingan kadar pembunuhan (khususnya pembunuhan rambang dan bersiri) adalah lebih tinggi di negara-negara Barat (khususnya di AS, bahkan juga di Eropah secara keseluruhannya) berbanding dengan negara-negara Islam yang tidak terjebak dengan perang saudara. Inilah yang berlaku, walaupun negara-negara Barat itu jauh lebih kaya dari negara-negara Islam. Oleh itu, kita bertanya: pernahkah Sookhdeo membaca kata-kata berikut?:
Jangan menghukum, kelak kamu pula dihukum. Kerana, sebagaimana kamu menghukum begitulah kamu akan dihukum: dan apa sahaja cara yang kamu gunakan akan digunakan ke atas kamu. Bagaimana kamu nampak bintik hitam pada mata saudaramu, sedang kamu tidak melihat yang lebih besar pada matamu sendiri? Atau bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudaramu: “biar aku keluarkan bintik hitam dari matamu”, sedangkan yang lebih besar ada pada matamu? Hai kamu yang munafik, keluarkan dahulu bintik hitam pada matamu; kelak dapatlah kamu melihat dengan terang, dan dapatlah kamu mengeluarkan bintik hitam dari mata saudaramu! (Matthew 7:1-5)
AL-QUR’AN DAN PENGGUNAAN KEKERASAN
Seperti dalam kebanyakan polemik anti-Islam, baki makalah Sookhdeo adalah campur-aduk kebenaran dan kepalsuan. Sebagai contoh, beliau berhujah bahawa banyak ayat Qur’an yang menganjurkan keamanan dimansukhkan oleh ayat-ayat yang datang kemudian. Memang benar bahawa ramai ulama Islam mendakwa ayat-ayat yang kemudian memansukhkan yang terdahulu, tetapi sejauhmana kaedah itu terpakai masih boleh dibahaskan. Setengah ulama menyatakan hanya lima ayat yang dimansukhkan, manakala yang lain menyatakan lebih 150. Dakwaan Sookhdeo bahawa “di mana wujud pertentangan, nas yang terkemudian memansukhkan yang terdahulu” adalah dakwaan yang terlalu dangkal. Dakwaan bahawa semua ayat yang menganjurkan keamanan telah dimansukhkan oleh ayat-ayat perang yang datang kemudian adalah semata-mata palsu. Sebagai contoh, ayat-ayat yang diturunkan pada dua tahun terakhir da’wah Muhammad menganjurkan agar orang Islam tidak membalas dendam terhadap mereka yang menghalau mereka dari tanahair mereka:
Jangan biarkan kebencian terhadap mereka-kerana mereka menghalaumu keluar dari Masjid al-Haram-mendorong kamu melampau batas. Tolong-menolonglah mengerjakan bebaikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. (al-Qur’an, 5:2)
Wahai orang-orang yang beriman, berdiri teguhlah di sisi Allah sebagai saksi-saksi yang adil; dan janganlah kebencianmu terhadap sesetengah orang mendorongmu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana itu lebih dekat kepada taqwa. (al-Qur’an, 5:8)
Sukar untuk menggambarkan mesej yang lebih tegas dari ini dalam soal mempertahankan keadilan, menggalakkan kemaafan dan penyatuan.
Tambahan pula, ramai sarjana Islam yang berkelayakan tinggi telah memetik ayat yang pertama tadi bagi mengingatkan anak-anak muda Islam agar tidak terpengaruh dengan seruan pelampau. Adakah Sookhdeo lebih gemar golongan muda berkenaan mendengar seruan mereka yang mentafsirkan ayat ini berdasarkan kaedah pemansukhan yang dangkal tadi?
Apa yang menarik perhatian kita ialah, sebagaimana sifat golongan pelampau dalam mentafsir Islam, Sookhdeo telah turut memberikan makna yang salah tehadap maksud al-Qur’an dengan memetiknya di luar konteks sebenar. Beliau mendakwa ayat-ayat 8:59-60 membenarkan keganasan. Ayat 8: 60 sememangnya membenarkan memerangi musuh, akan tetapi ia diikuti oleh ayat 8:61: “sekiranya mereka cenderung ke arah perdamaian maka hendaklah kamu cenderung sama ke arah itu”-satu lagi ayat yang diturunkan kemudian. Sebenarnya ayat 8:60 menganjurkan bahawa kita tidak hanya berdiam diri apabila diancam musuh, akan tetapi ayat 8:61 membataskan perlaksanaannya. Ini bukanlah keganasan. Sekiranya Sookhdeo memahami bahasa Arab dengan sepatutnya pasti dia akan berupaya menanggapi apa yang dimaksudkan itu. Malangnya bukan itu keadaannya. Justeru, sukar untuk menerima tafsiran beliau tentang ajaran Islam, tidak kiralah apa pangkat atau gelaran yang dimilikinya.
Sookhdeo seterusnya mendakwa bahawa sesiapapun boleh memetik ayat-ayat al-Qur’an yang menganjurkan keganasan dan yang menganjurkan keamanan. Benar, tetapi bolehkah kita buktikan bahawa al-Qur’an lebih cenderung menyokong keganasan berbanding dengan Old Testament (katakan, sebagai contoh, Kitab Leviticus atau Kitab Joshua). Dan kalau kita katakan bahawa al-Qur’an cenderung kepada keganasan, apa pula pandangan kita terhadap ayat-ayat dalam Bible yang terang-terangan memerintahkan pembunuhan dan penghapusan kaum? Dalam Numbers 31:17 Musa membuat keputusan berikut terhadap tawanan Midian (yang kaum lelakinya telah mati dibunuh oleh Bani Israel): “Sekarang bunuh setiap anak lelaki yang masih kecil, dan setiap perempuan yang pernah disentuh lelaki.” I Samuel 15:1-9 menceritakan kisah Nabi Samuel memerintahkan Raja Saul menghapuskan kaum Amelekite: “Bunuh semua lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan bayi, lembu dan biri-biri, unta dan keldai.” Perbuatan melampau yang sedemikian ditegah oleh Nabi Muhammad yang memerintahkan umatnya (lihat Tafsir Ibn Kathir, perbahasan ayat 2:190-93): “Berperanglah pada jalan Allah menentang orang-orang kafir, tapi jangan bertindak kejam, jangan melampau batas, jangan mencincang tubuh manusia, jangan bunuh kanak-kanak dan biarawan!” Demikian juga (al-Waqidi, Kitab al-Maghazi): “Seranglah dengan nama Tuhan, tetapi janganlah sekali-kali kamu bersikap durjana; jangan bunuh kanak-kanak; jangan bunuh wanita; bahkan, jangan bercita-citapun bertemu musuh!”
Tuduhan bahawa peperangan seperti yang dianjurkan oleh al-Qur’an membenarkan keganasan sesuka hati telah tidak mengambilkira tafsiran-tafsiran klasik yang sentiasa menghadkan ruanglingkup ayat-ayat berkenaan. Sebagai contoh, satu ayat yang seringkali disalahtafsirkan pada hari ini ialah ayat 2:191-192: “Perangilah golongan musyrikin di mana sahaja kamu temui mereka, tangkap dan sekat pergerakan mereka, cari mereka di mana-mana sahaja. Kalau sekiranya mereka bertaubat dan menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, lepaskan mereka pergi.” Golongan pelampau, sebaliknya, menggunakan ayat ini bagi menghalalkan pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah. Pada masa yang sama, golongan bukan Islam yang menggemari polemik menggunakannya bagi menggambarkan al-Qur’an cenderung untuk mengapi-apikan perang yang berterusan. Walaubagaimanapun, jika kita merujuk kepada tafsiran tradisi klasik, ayat ini tidak boleh dianggap arahan umum memerangi semua golongan orang bukan Islam. Ia hanya ditujukan kepada golongan musyrikin tertentu yang menentang generasi awal Muslim, sekaligus mengancam kelangsungan agama Islam itu sendiri. Kita petik di sini kata-kata sarjana perundangan Islam yang termasyhur, Qadi Abu Bakr Ibn al-Arabi (kurun 11-12 M):
Ayat ini umum mengenai golongan musyrikin, tetapi ia dihadkan oleh larangan Rasulullah daripada membunuh wanita, kanak-kanak, ahli ibadat dan orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan termasuk juga orang-orang yang tidak memerangi kamu ataupun bersedia untuk berperang atau memusnahkan kamu. Ayat ini, ringkasnya, bermaksud: “perangilah golongan musyrikin yang memerangi kamu.”
Tafsiran-tafsiran seumpama ini boleh dijumpai di mana-mana. Ia membuktikan bahawa perbuatan Sookhdeo yang menyamakan pelampau Muslim dengan para ilmuan zaman pertengahan bukan sahaja tidak berasas bahkan suatu penyelewengan dari kebenaran. Sama ada Sookhdeo tiada kelayakan untuk menganalisa tradisi Islam klasik dan membandingkannya dengan penyelewengan masa kini, ataupun dia memang sengaja mahu memalsukan ajaran Islam. Walau apa sekalipun, dia telah membuktikan dirinya tidak boleh dipercayai.
KESARJANAAN PALSU
Pada keseluruhan artikel ini Sookhdeo telah mempamerkan kesarjanaan palsu, khususnya apabila beliau secara semberono menggunakan Istilah Dar al-Islam (wilayah Islam) dan Dar al-Harb (wilayah musuh) untuk berhujah bahawa orang Islam tidak menerima selain dari perang atau kemenangan. Istilah-istilah ini adalah adalah istilah klasik yang penting, akan tetapi para sarjana Muslim juga membicarakan tentang wilayah-wilayah lain selain dari dua yang dinyatakan tadi. Ada yang membuat tiga pembahagian, sesetengahnya lima, dan yang lain tujuh. Pada zaman sekarang, Eropah dan Amerika dianggap sebahagian besar umat Islam sebagai wilayah perdamaian (Dar al-Sulh). Ertinya seseorang Muslim itu boleh berurusan dengan negara-negara berkenaan pada berbagai peringkat dan dia mesti mematuhi undang-undang negara berkenaan sekiranya dia memilih untuk menetap atau semata-mata melawat. Berdasarkan perbezaan itu para sarjana Islam bahkan berpendapat harus bagi orang-orang Islam berkhidmat dalam tentera AS, walaupun dalam memerangi negara-negara Islam yang lain. Hanya mereka yang sukakan konflik akan terus menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat dengan menghadkan pembahagian wilayah dunia kepada dua: wilayah Islam dan wilayah musuh.
KESARJANAAN ISLAM
Salah faham Sookhdeo juga jelas kelihatan apabila beliau membicarakan tentang satu persidangan ulama Islam di Jordan baru-baru ini, yang pada penutupnya mengeluarkan perisytiharan melarang perbuatan mengkafirkan sesama Islam. Persidangan itu juga menggariskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dalam mengeluarkan fatwa. Beliau berhujah bahawa ini “telah menafikan satu fatwa yang sangat penting yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulama Islam di Sepanyol yang mengisytiharkan Osama bin Laden murtad.” Walaubagaimanapun, perang mulut yang berlaku apabila orang-orang Islam saling mengkafirkan antara satu sama lain adalah sebenarnya apa yang al-Qaida dan para pelampau lain inginkan. Dengan cara ini mereka akan labelkan sebagai murtad dan bunuh sesiapa sahaja yang tidak bersependapat dengan mereka. Jangan kita lupa bahawa dua hari sebelum 9/11, al-Qaida telah membunuh Ahmad Shah Massoud. Ini bukanlah kebetulan, sebaliknya hasil suatu perancangan strategik. Dengan menghapuskan pemimpin Islam tradisional yang paling berkarisma, al-Qaida telah menghapuskan halangan yang paling besar dalam usaha mereka menyelewengkan Islam, seorang pemimpin yang berwibawa yang mungkin akan mendedahkan kepalsuan dakwaan mereka bagi mewakili Islam.
Bagi mengelakkan orang ramai dibunuh akibat kesalahan kecil atau dosa, undang-undang Islam klasik tidak membenarkan seseorang memulaukan seseorang Muslim kerana dosa yang dia lakukan, apatah lagi mengisytiharkannya kafir. Dengan menegaskan kembali prinsip ini sekaligus menutup pintu takfir pada zaman ini, persidangan Raja Abdullah telah berusaha menjadikan dunia ini tempat yang lebih selamat. Ini adalah benar, bukan sahaja kepada orang Islam tradisional dan sederhana – satu-satunya golongan yang berupaya mengasingkan golongan pelampau sekaligus melindungi golongan bukan Islam – juga kepada golongan lain, seperti golongan Yahudi dan Kristian yang dirujuk oleh al-Qur’an sebagai jiran orang Islam dalam beragama – Sookhdeo mahu membuka pintu ini, supaya orang-orang Islam yang beliau tidak gemari “dipulaukan” (excommunicated). Dia mahu pedang ini dikeluarkan dari sarungnya tetapi lupa bahawa orang yang hidup dengan pedang juga akan binasa akibat pedang [Matthew 26:52].
Sookhdeo seterusnya menunjukkan kejahilannya terhadap undang-undang Islam apabila beliau bertanya: “Kenapa Raja tidak memanggil semula persidangan itu dan meminta mereka mengeluarkan fatwa yang mengharamkan keganasan terhadap orang-orang bukan Islam juga?” Sebenarnya ini telahpun dilakukan apabila para sarjana berkenaan mengisytiharkan fatwa-fatwa yang menyokong keganasan sesuka hati sebagai tidak sah. Tentunya sesiapa sahaja yang melakukan keganasan atas nama Islam akan terlebih dahulu cuba menghalalkan perbuatannya dengan mengeluarkan dan menyalahgunakan fatwa; tiada sesiapapun melakukan keganasan tanpa keyakinan bahawa ianya sah di sisi agama. Persidangan itu mengesahkan semula bahawa semua fatwa mesti terikat kepada tiga peringkat sistem pemeriksaan dalaman. Semua yang mengeluarkan fatwa mesti memiliki kelayakan peribadi dan pendidikan yang tinggi. Mereka mesti mengikuti kaedah 8 mazhab tradisional Islam, dan tiada fatwa yang boleh terkeluar daripada apa yang dibenarkan oleh mazhab-mazhab ini – semua ini menyanggahi apa yang cuba dilakukan oleh golongan pelampau berkenaan. Persidangan ini telah mengumpulkan lebih dari 180 ulama besar dari 45 negara dan telah mengeluarkan 17 fatwa penting, yang di dokong oleh tokoh-tokoh dunia Islam yang dianggap berwibawa [termasuk Syeikh al-Azhar, Ayatollah Sistani dan Yusuf al-Qardawi].
Persidangan ini bukan sahaja menolak asas perjuangan golongan pelampau, bahkan, memetik kata-kata Fareed Zakaria dalam Newsweek [Julai 18, 2005], merupakan serangan tepat terhadap method theologi al-Qaida. Ini sebenarnya adalah alat yang penting dalam perang menentang keganasan; oleh itu, Raja Abdullah dan persidangan yang dianjurkannya itu layak mendapat pujian.
MEMBASMI EKSTREMISME
Memencil dan menghapus pelampau nampaknya bukanlah agenda Sookhdeo. Sebaliknya beliau lebih berminat memberikan gambaran salah terhadap al-Qur’an, sejarah dan keadaan semasa umat Islam bagi membuktikan dakwaannya bahawa keganasan dan ekstremisme adalah sebati dengan agama Islam. Dengan pendekatan seumpama ini kita pasti akan gagal dalam perang menentang keganasan. Perang yang sebenar ialah perang pemikiran. Kunci kepada hujah Bin Laden, Zarqawi dan lain-lain ialah mereka berfikir bahawa merekalah wakil Islam. Sarjana Muslim tradisional seluruh dunia telah menegaskan bahawa pandangan-pandangan dan perbuatan-perbuatan yang menyeleweng itu bercanggah dengan prinsip-prinsip asal Islam. Hanya dengan bekerjasama dengan sarjana-sarjana sedemikian kita boleh menolong mereka mengukuhkan jalan tengah anjuran Islam tradisional dan seterusnya mendedahkan sifat sebenar golongan pelampau seadanya. Inilah senjata yang paling berkesan, aman dan ampuh di dalam peperangan menentang tafsiran-tafsiran golongan pelampau. Sekiranya kita tidak menggunakannya kita telah melepaskan kesempatan yang amat penting dalam peperangan pemikiran. Dengan tindakbalas yang juga merupakan satu bentuk ektremisme, Sookhdeo dan golongan sealiran dengannya telah mengizinkan para pelampau menentukan suasana hubungan antara agama dan seterusnya hala tuju peristiwa semasa. Sepatutnya mereka memberikan penjelasan yang munasabah tentang cabaran-cabaran yang kita hadapi kini dan mencadangkan penyelesaian-penyelesaian secara aman yang mungkin boleh dicapai, bukannya menangguk di air keruh bagi mengemukakan agenda polemik tersembunyi serta prejudis. Dengan berbuat demikian mereka bukan sahaja bersekongkol menentang umat dan agama Islam, bahkan seluruh umat manusia, termasuklah orang-orang Kristian (lebih-lebih lagi). Maralah wahai tentera Kristian, Reverend Sookhdeo?
[Vincenzo Oliveti adalah pengarang Terror’s Source: The Ideology of Wahabi-Salafism and Its Consequences-Punca Keganasan: Ideologi Wahabi-Salafi dan Akibat-akibatnya.]