Baru-baru ini, satu kajian yang menyentuh kemerosotan nilai akhlak remaja perempuan telah dijalankan. Hasil kajian ini menimbulkan tindakbalas yang berbeza-beza. Ada yang menerima dan mengakuinya. Anehnya, ada juga yang ‘terasa hati’ dan menganggap hasil kajian ini mempunyai kelemahan.
Bagi penulis, kajian ini dan hasilnya bukanlah satu masalah. Apa-apa kajian yang dijalankan, tidak kira bagaimana kaedah kajian itu dijalankan, akan dan boleh menunjukkan atau menghasilkan apa-apa keputusan. Walaupun keputusan sesuatu kajian boleh dijangka dengan menetapkan jangkaan (hipotesis) awal, namun hakikatnya, apa-apa sahaja hasil boleh ditemui. Hal ini difahami dan diterima oleh mana-mana pengkaji.
Namun perlu diingatkan bahawa masyarakat awam tidak semuanya tahu akan hal ini. Oleh itu, timbullah pelbagai kata-kata hentaman yang menidakkan sesuatu kajian. Hinggakan pada satu ketika penulis terbaca ada yang mempersoalkan kenapa pengkaji itu melaporkan hasil kajiannya di dalam akhbar.
Penulis tidak sekali-kali ingin mempertahankan hasil kajian tentang peri laku pelajar-pelajar perempuan itu. Namun, apa yang menimbulkan kemusykilan dalam hati penulis adalah kenapa kajian-kajian kemasyarakatan seperti ini begitu mendapat perhatian. Perhatian yang diberikan itu pula lebih mengarah kepada kesahihan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability) kajian itu.
Dalam masa yang sama, kenapa pula hasil-hasil kajian atau penemuan yang berasaskan sains dan teknologi tidak mendapat perhatian yang sebegini hebat daripada kalangan ahli masyarakat. Jika pembaca tidak percaya, selaklah mana-mana akhbar tempatan dan pasti anda akan menemui beberapa laporan yang menunjukkan hasil-hasil kajian atau penemuan baru bidang sains atau teknologi. Selalunya, kajian sebegini, tanpa banyak soal, diterima malah diiktiraf dengan baik sekali.
Cuba kita sama-sama fikirkan kenapa hal ini berlaku. Adakah kajian-kajian kemasyarakatan memang sukar dilakukan, oleh itu terdapat begitu banyak ruang yang boleh dipersoalkan? Atau, adakah kajian kemasyarakatan itu sebenarnya tidak bermakna, oleh itu ia dianggap tidak menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat? Dengan itu, adakah kajian kemasyarakatan di negara kita ini dianggap sebagai kajian-kajian kelas kedua berbanding kajian-kajian yang berasaskan sains dan teknologi? Atau, mungkinkah kajian-kajian kemasyarakatan itu lebih mudah difahami, oleh itu hasil kajian tersebut lebih terbuka kepada segala pandangan yang berat sebelah (bias) dan mengikut hati serta perasaan semata-mata?
Sebenarnya sesiapa sahaja boleh memberi pandangan tentang apa-apa kajian yang dilakukan. Namun pandangan-pandangan yang menidakkan hasil satu kajian kemasyarakatan, sains mahupun teknologi dianggap sebagai satu penghinaan kepada pengkaji itu sendiri. Bayangkan, seorang ahli sains mengumumkan penemuan sejenis katak yang baru dan hasil kajian itu diperlekehkan. Kononnya, hasil itu tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat atau negara.
Adakah pandangan sebegini adil? Hakikatnya, tidak kiralah penemuan tentang seekor katak atau lalat ataupun tentang manusia dan perilakunya, setiap satu kajian itu mempunyai makna tertentu kepada masyarakat dan negara. Sebaiknya, hasil kajian itu dilihat, diteliti dan dikaji secara adil dan tanpa berat sebelah. Jika ada kelemahan, cadangkanlah kaedah-kaedah memperbaiki kelemahan itu. Jika masih tidak puas hati, maka jalankanlah satu kajian yang sama dan buktikan bahawa hasil kajian yang awal itu salah atau ada kekurangannya.
Dalam keadaan semasa kini, kajian-kajian kemasyarakatan mahupun tentang sejarah dan tamadun sebenarnya sama penting dengan kajian berasaskan sains mahupun teknologi. Jika kita benar-benar ingin memahami keadaan masyarakat kita, kajian-kajian berasaskan masyarakat, sejarah dan tamadun memang wajar dilakukan. Malahan, tindakan berkongsi hasil kajian itu juga adalah baik kerana masyarakat perlu tahu apa yang berlaku di sekelilingnya kini. Jika ada kajian dan hasilnya hanya disimpan maka kajian itu tidak membawa apa-apa makna.
Janganlah kita begitu cepat mempersoalkan sesebuah hasil kajian. Takut nanti kita dicap sebagai mengidap penyakit penafian (denial syndrome). Jangan juga kita begitu cepat terasa kononnya kajian itu hanya ingin membuka keburukan orang lain. Ini kerana, jika keburukan yang ada ini sentiasa ditutup kita akan dianggap sebagai masyarakat jahil (ignorant) pula. Saya percaya, mana-mana pengkaji yang berpegang kuat kepada tingkahlaku penyelidikan tidak sekali-kali mempunyai niat yang serong dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Malahan, mana-mana pengkaji, sama seperti ahli masyarakat yang lain, ingin melihat dan membantu masyarakat memahami keadaan masyarakat itu sendiri.
Namun begitu, kelemahan-kelemahan dalam kajian kemasyarakatan itu sememangnya wujud. Oleh kerana inilah, mana-mana kajian harus dijalankan dengan begitu teliti dan dibentangkan di hadapan ilmuan-ilmuan tersohor dari dalam mahupun luar negara. Kajian itu akan dilihat, dikaji dan diteliti sehinggalah memenuhi syarat-syarat yang perlu. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab pengkaji sendiri untuk mengawal hasil kerjanya agar tidak terpesong daripada matlamat awal.