Imam al-Ghazali dalam karyanya Kimiya’ al-Sa‘adah menyebut bahawa“Rumah tangga itu merupakan sebuah institusi agama, justeru perlu disantuni menurut panduan agama.” Apabila panduan agama mula diabaikan dan disempitkan kepada ritual semata, maka institusi asas ini sudah lagi tidak berdaya mewujudkan ketenangan dan kebahagiaan malah ini mendorong ahli rumah tangga mula mencari alternatif lain. Budaya healing atau penyembuhan diri merupakan fenomena yang semakin mendapat perhatian masyarakat umum. Impak budaya ini akhirnya mula menular ke banyak aspek seperti penerbitan buku, penghasilan kandungan di media sosial termasuklah penganjuran program bersifat motivasi.
Baru-baru ini dua pasangan suami isteri telah dibabitkan dengan penganjuran program motivasi pembangunan diri wanita mengandungi aktiviti yang bertentangan norma dan syariat Islam. Tujuan asal program ini untuk membantu emosi wanita atau isteri yang menghadapi cabaran rumah tangga. Namun semakin terkenal, semakin pelik dan mengarut pula ajaran yang dibawa. Sebenarnya, di manakah yang tidak kena?
Menurut Ketua Polis Selangor dalam kenyataan medianya, terdapat aktviti yang mengandungi elemen lucah dan tidak bermoral dalam program tersebut. Ini setelah meneliti ada program yang dipanggil “rebirth” atau “Queens Night yang dikatakan untuk menaikkan motivasi peserta. Aktiviti seumpama ni jelas mencabuli nilai akhlak Islam dan menyeleweng daripada akidah Islam yang benar. Islam sangat menekankan kepentingan menjaga aurat dan maruah seseorang dan tidak sewenang-wenangnya dizahirkan melainkan untuk tujuan mustahak seperti pendidikan atau kesihatan.
Upacara mandi rebirth sebenarnya salah satu contoh bentuk kebatilan dan penyelewengan akidah yang terjadi dalam program tersebut. Walaupun penganjur telah menafikan tiada sebarang unsur Islamik dalam aktiviti tersebut, ia tetap mengandungi unsur pluralisme agama atau sinkretisme agama yang mana mencampur aduk upacara dan ritual agama-agama lain untuk tujuan melepas trauma lepas atau mencari “diri baru”. Dalam Islam penyucian jiwa adalah dengan sentiasa bertaubat, berzikir dan memohon ampun kepada Allah SWT serta berdamping dengan para ulama yang baik.
Sebagai umat Islam, kita mestilah cakna dan menjadikan Islam sebagai neraca utama dalam menilai sesuatu perkara. Dalam kaedah fiqh disebut, “Kebaikan itu ialah apa yang dianggap baik oleh syarak, dan keburukan itu ialah apa yang dianggap buruk oleh syarak.” Penentu hakikat kebaikan dan keburukan adalah dari syarak iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan bukan ditentukan oleh kehendak, nilai budaya setempat atau logik manusia. Sebagai contoh, agama Islam mewajibkan wanita menjaga aurat dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan bagi menjaga kehormatannya. Berbeza dengan pemikiran Barat yang mengganggap penzahiran tubuh badan itu adalah hak asasi individu yang berasaskan manusia adalah ukuran atas segala sesuatu.
Antara faktor yang menyumbang kepada krisis kekeluargaan dan perceraian termasuklah keganasan rumah tangga, kegagalan memberi nafkah dan tekanan kewangan. Walau bagaimanapun, terdapat masalah yang lebih mengakar iaitu masih ramai yang terkeliru dengan makna sebenar “perkahwinan”. Sebahagian menyangka bahawa perkahwinan adalah suatu bentuk kontrak sosial atau perkongsian (partnership)di antara dua individu. Kontrak sosial yang difahami masyarakat Barat Moden ini tidak mempunyai unsur ketuhanan atau tidak bersifat suci, maka ia boleh diputuskan jika satu pihak tidak bersetuju. Di samping itu, konsep ini menganggap suami isteri mempunyai hak sama rata antara kedua-duanya, tidak membenarkan mana-mana pihak mempunyai kelebihan terhadap yang lain.
Perkahwinan dalam Islam jauh lebih mulia kerana ia adalah suatu ibadah dan perjanjian antara dua jiwa yang diikat dengan kalimah Lā Ilāha Illa Allāh. Suami isteri mestilah benar-benar menjaga hak-hak Ketuhanan dan menunaikan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing, agar memperoleh pahala ibadah seterusnya mencapai sakinah, mawaddah dan rahmah sebagaimana Firman-Nya dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Di samping itu, Islam menyifatkan hubungan suami isteri sebgai hubungan yang seimbang dan adil, sentiasa melengkapi keperluan masing-masing. Sebagai seorang ketua keluarga, suami mestilah memimpin dan mengasihani isteri dengan penuh kasih sayang. Suami wajib memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri bagi melengkapkan keperluannya. Manakala, isteri mestilah mentaati dan menghormati suami selagi mana menyuruh kepada ketaatan. Isteri melayani suami dan bersedia dipimpin.
Apabila jelas peletakan dan pelaksanaan hak ini, maka tidak akan timbul cemburu, persaingan atau berasa lemah dalam perkahwinan. Sebaliknya, suami merasa dihormati dan bersemangat menjaga isterinya manakala isteri merasa selamat dan tenang di bawah perlindungan suaminya.
Sebagai kesimpulan, keluarga adalah institusi asas dan utama dalam melahirkan zuriat yang soleh dan solehah serta membentuk masyarakat yang bertamadun. Mewujudkan institusi ini memerlukan usaha semua pihak baik individu, suami isteri, masyarakat setempat dan pemerintah. Bermula dengan individu, mesti mendalami ilmu fardu ain iaitu wajib ke atas setiap individu seperti ilmu Akidah, ilmu Fiqh dan ilmu Tasawwuf. Dengan penguasaan ini akan menjadikan seorang insan yang terpelihara akidahnya, terurus urusan dunianya dan terjaga akal budinya. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, fahami semula tanggungjawab dan hak masing-masing, amalkan komunikasi yang sihat serta berhikmahlah dalam menghadapi salah faham atau konflik. Bak kata pepatah Melayu: “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.” Akhir sekali, pemimpin dan institusi agama mestilah memberi sokongan dengan memperbanyakkan insentif dan program kekeluargaan terutama untuk pasangan yang baru berumah tangga. Semoga ikhtiar bersama ini dapat membina keluarga yang subur dengan kasih sayang dan berakhlak mulia.