Falsafah Malaysia MADANI bukan sekadar slogan politik tetapi suatu gagasan pembangunan tamadun yang berakar umbi daripada ilmu, tamadun dan nilai Islam. Konsep ini bertujuan membawa masyarakat keluar dari kegelapan, kebelakangan dan kejumudan kepada perubahan, kebaikan dan pembinaan tamadun yang baik. Ia selari dengan maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang menjadikan MADANI sebagai manifestasi pentadbiran Islam yang relevan dengan konteks dunia moden. MADANI juga bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Konsep ini menekankan pendekatan pembangunan negara yang seimbang antara aspek rohani dan jasmani sejajar dengan prinsip keadilan, ihsan, dan kesaksamaan.
Istilah “Jahiliah” merujuk kepada keadaan sebelum Islam yang penuh dengan kezaliman, penindasan dan ketidakseimbangan moral. Falsafah MADANI ini mengambil inspirasi dari langkah Nabi Muhammad SAW yang menukar nama Yathrib kepada Madinah. Yathrib pada waktu itu berada dalam keadaan penuh kegelapan, kemunduran dan kelemahan. Dengan nama baharu ini, Nabi SAW membawa sinar perubahan yang berpaksikan nilai Islam untuk membina sebuah masyarakat berbilang agama dan kabilah yang lebih maju dan harmoni. Madinah kemudian menjadi model pentadbiran dan masyarakat yang mencerminkan keadilan, perpaduan dan kesejahteraan.
Dalam khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW semasa Haji Wada’, Baginda menekankan pembatalan diskriminasi berdasarkan keturunan atau kekayaan. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan:
“Wahai manusia, ketahuilah bahwa Tuhanmu adalah satu, dan ayahmu adalah satu (yaitu Nabi Adam). Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas non-Arab, dan tidak ada kelebihan bagi non-Arab atas orang Arab, tidak juga bagi orang kulit merah atas kulit hitam, dan tidak juga bagi orang kulit hitam atas kulit merah, kecuali dengan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad)
Pesanan ini menegaskan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah dan yang membezakan mereka hanyalah ketakwaan. Prinsip ini diterapkan dalam falsafah MADANI yang menawarkan keadilan kepada semua termasuk masyarakat bukan Islam.
Falsafah MADANI diinspirasikan oleh pemikiran tokoh-tokoh Islam seperti Imam Al-Ghazali, Ibn Khaldun dan Said Nursi:
- Imam Al-Ghazali: Menekankan pentingnya pendidikan dan akhlak sebagai asas pembangunan masyarakat. Prinsip ini diterapkan dalam MADANI melalui usaha meningkatkan sistem pendidikan dan membangunkan insan yang berintegriti.
- Ibn Khaldun: Dalam karya Muqaddimah, beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang lestari dan keadilan adalah teras kepada kestabilan politik dan sosial. Prinsip ini jelas tercermin dalam ekonomi MADANI yang berdaya saing.
- Said Nursi: Menyeru kepada perpaduan ummah dan nilai rahmah, yang menjadi salah satu prinsip utama dalam falsafah MADANI.
Kerajaan MADANI telah menunjukkan pelbagai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa membuktikan penerimaan masyarakat dunia terhadap gagasan ini. Pertama, kelantangan dalam isu Palestin. Perdana Menteri secara konsisten menegaskan sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin di forum-forum antarabangsa. Pendekatan ini mencerminkan prinsip keadilan dan rahmah yang menjadi tunjang MADANI.
Kedua, ekonomi MADANI berjaya menarik pelaburan. Malaysia telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang signifikan, termasuk dalam sektor teknologi hijau dan inovasi. Kejayaan ini menunjukkan keyakinan dunia terhadap kestabilan dan daya saing ekonomi negara.
Ketiga, diplomasi dan hubungan antarabangsa. Pendekatan kerajaan dalam membina hubungan erat dengan negara-negara sahabat telah meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global. Strategi diplomatik ini mencerminkan prinsip MADANI yang menekankan kerjasama dan keharmonian sejagat.
Keempat, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan mengemudi organisasi serantau ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan“ yang mencerminkan tekad untuk membina komuniti ASEAN yang lebih inklusif dan mampan dalam menghadapi cabaran global masa kini untuk melakarkan hala tuju ASEAN yang lebih berdaya tahan, kreatif serta tiada yang tercicir. Tema ini selari dengan prinsip MADANI yang menekankan keadilan sosial, tatakelola yang baik dan pembangunan holistik.
Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW sendiri mengadakan perjanjian dengan pelbagai pihak termasuk yang bukan Islam seperti Perjanjian Hudaibiyah. Hal ini menunjukkan bahawa Islam tidak menolak hubungan antarabangsa bahkan menjadikannya alat untuk membina kerjasama yang membawa kebaikan kepada umat manusia. Dalam konteks MADANI, hubungan dengan entiti global seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun D-8 dan BRICS bertujuan untuk membawa manfaat ekonomi kepada negara, memelihara kesejahteraan rakyat dan membina tamadun berasaskan nilai Islam.
Konsep MADANI bukanlah tunduk kepada pihak luar tetapi satu cara untuk membawa suara Islam ke pentas global. Pengiktirafan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah seorang daripada 15 individu Muslim paling berpengaruh di dunia menunjukkan bahawa falsafah MADANI diterima baik di peringkat antarabangsa sebagai alternatif kepada sistem kapitalis dan sosialis yang gagal menyelesaikan krisis global.Pengiktirafan ini tidak hanya mengangkat falsafah MADANI di peringkat antarabangsa tetapi juga memperlihatkan kebijaksanaan dalam tadbir urus berdasarkan prinsip Islam yang syumul.
Falsafah MADANI juga telah mengarusperdanakan nilai-nilai Islam seperti keadilan, rahmah, dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negara. Tuduhan bahawa gagasan ini bertentangan dengan Islam adalah tidak adil dan bertentangan dengan aspirasi sebenar Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin. Sebagai contoh, penekanan MADANI terhadap pendidikan, pemerkasaan ekonomi rakyat dan kelestarian alam sekitar mencerminkan pendekatan holistik yang berpaksikan nilai Islam. Falsafah ini memberi keutamaan kepada pembangunan insan dan masyarakat secara menyeluruh, bukan hanya retorik politik semata-mata.
Kini, konsep MADANI turut diterima oleh masyarakat bukan Islam. Ini menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang terkebelakang tetapi sentiasa kehadapan dan sedia menerima perubahan. MADANI berjaya diintegrasikan ke dalam satu gagasan kerajaan Malaysia yang disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penerimaan ini membuktikan bahawa Islam menitikberatkan soal keadilan dan tatakelola yang baik.
Disamping itu, falsafah MADANI secara tidak langsung menjadi satu gerakan dakwah bil hikmah. Ia menunjukkan bahawa Islam sebagai sebuah agama mampu menawarkan kepada masyarakat Malaysia dan dunia suatu model kehidupan yang menekankan nilai ilmu, akhlak, keadilan sosial dalam pembinaan tamadun yang harmoni dan holistik.
Intihannya, MADANI adalah usaha untuk membangun sebuah negara yang makmur, adil, dan harmoni berdasarkan ilmu, tamadun dan nilai Islam. Ia adalah model pentadbiran yang sesuai untuk mendepani cabaran zaman moden tanpa mengkompromikan prinsip syariah. Tindakan untuk menerapkan falsafah MADANI bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan dalam tadbir urus tetapi juga kesungguhan untuk membawa negara ke arah tamadun yang berteraskan ilmu dan nilai-nilai Islam. MADANI adalah satu pendekatan progresif yang mengintegrasikan nilai Islam dengan keperluan semasa bertujuan untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan yang inklusif, adil dan berteraskan nilai rohani. Pendekatan ini lebih menonjolkan Islam sebagai agama yang relevan, dinamik dan bersifat rahmatan lil alamin.