Hukuman sebatan dalam undang-undang jenayah syariah sering kali menjadi subjek perbincangan yang kontroversial. Di sebalik pelaksanaan hukuman ini, timbul persoalan utama iaitu adakah sebatan ini bertujuan untuk mendidik pesalah atau sekadar mencederakan tubuh badan mereka? Dalam konteks di Malaysia, isu ini terus menjadi topik perbahasan hangat baik di media arus perdana dan media sosial.
Dalam hukum syariah, sebatan adalah satu bentuk hukuman yang diperuntukkan untuk beberapa jenayah seperti zina, qazaf (tuduhan zina tanpa bukti) dan perbuatan meminum arak. Hukuman ini bukanlah bertujuan untuk mencederakan pesalah secara fizikal semata-mata tetapi untuk mendidik dan memberikan pengajaran kepada pesalah dan masyarakat umum agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini juga dilihat sebagai satu cara untuk memulihkan pesalah dengan harapan mereka akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Syariat Islam telah mengangkat martabat manusia dengan memastikan hak asasi mereka terpelihara. Dalam Islam setiap individu dilindungi daripada sebarang bentuk penindasan atau pencerobohan terhadap haknya. Nyawa seseorang tidak boleh diambil, darahnya tidak boleh ditumpahkan, tubuhnya tidak boleh dicederakan, anggota badannya tidak boleh dicacatkan tanpa alasan yang sah dan maruah seseorang itu sentiasa dipelihara. Selain itu, tindakan ini hanya dibenarkan melalui undang-undang yang ditentukan oleh Allah SWT seperti hukum hudud dan qisas atau oleh pemerintah melalui hukum ta’zir, asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini menunjukkan keadilan dan kesempurnaan syariat dalam menjaga hak-hak manusia.
Di Malaysia, pelaksanaan sebatan syariah telah disesuaikan dengan undang-undang negara dan mengambil kira faktor perikemanusiaan. Sebagai contoh, sebatan yang dilaksanakan di mahkamah syariah menggunakan rotan yang kecil dengan ukuran lilit tidak melebihi 0.5 sentimeter dan ringan serta dilakukan dengan cara yang tidak mencederakan malah kesihatan pesalah juga diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan keselamatannya terjaga berbeza dengan sebatan di bawah undang-undang jenayah sivil yang lebih menyakitkan. Pelaksanaan ini juga dilakukan oleh pegawai penjara yang terlatih dan di bawah pengawasan pihak berkuasa.
Namun, terdapat segelintir pihak yang masih mengkritik hukuman ini, dengan alasan bahawa ia melanggar hak asasi manusia. Mereka berhujah bahawa sebatan, walaupun dilaksanakan dengan “beradab” tetap merupakan satu bentuk hukuman fizikal yang boleh meninggalkan kesan trauma kepada individu. Namun kurang kedengaran suara sumbang dalam sebatan sivil yang menggunakan rotan besar dan berat yang menyebabkan kecederaan teruk, luka yang dalam dan trauma kekal pada pesalah. Pendekatan ini lebih menyakitkan dan kurang mengambil kira kesan jangka panjang terhadap fizikal dan emosi individu.
Antara garis panduan yang ditetapkan dalam Islam adalah sebatan tidak boleh dilakukan dengan niat mencederakan atau menyiksakan. Contohnya, alat yang digunakan untuk sebatan tidak boleh terlalu keras dan pukulan tidak boleh diarahkan ke bahagian anggota yang sensitif seperti muka, kepala dan alat sulit.
Dalam menjawab isu sebatan yang dilaksanakan, penting untuk memahami falsafah di sebalik hukuman syariah. Sebatan bukanlah bertujuan untuk mencederakan tetapi untuk mendidik dan memberi pengajaran. Hukuman ini adalah sebahagian daripada sistem tarbiah Islam yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat. Dengan adanya hukuman seperti sebatan ia berfungsi sebagai peringatan kepada umat Islam terutamanya agar tidak terjebak dalam perbuatan dosa dan maksiat.
Syah Waliyullah al-Dahlawi mengatakan ada maksiat yang disyariatkan Allah SWT ke atasnya hukuman tertentu bagi pelakunya. Ini kerana setiap maksiat itu terhimpun padanya mafsadah dengan sudut yang pelbagai. Ada mafsadah berbentuk kerosakan di atas muka bumi dan gangguan terhadap ketenangan manusia. Ada pula maksiat bersifat rangsangan (naluri) yang sedia ada dalam jiwa anak Adam yang tidak mungkin hilang. Ada pula maksiat yang mendatangkan ketagihan, sehingga para pelakunya tidak mampu mencabut ketagihan itu daripada jiwa mereka apabila sudah meminumnya. Maksiat-maksiat seperti ini tidak cukup hanya dengan ancaman azab di akhirat tetapi mesti ditegakkan hukuman yang mendatangkan keinsafan ke atas pelakunya.
Pakar undang-undang negara Almarhum Tan Sri Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim mengatakan bahawa, kita harus menyedari bahawa hukuman sebat sivil seperti yang dijalankan di penjara-penjara di Malaysia dan Singapura tidak mengikut undang-undang Islam dan mungkin tidak sesuai dengan kehendak undang-undang Islam. Tujuan sebatan dalam undang-undang Islam bukan untuk menyakitkan dan mencederakan seseorang akan tetapi tujuannya ialah untuk mendidik dan memberi pengajaran dan amaran kepada orang-orang yang melakukan jenayah tersebut dan juga orang ramai.
Namun, cabaran terbesar adalah memastikan masyarakat memahami tujuan sebenar hukuman ini dilaksanakan. Salah faham sering berlaku apabila pelaksanaan hukuman syariah dipolitikkan atau tidak dijelaskan dengan baik kepada umum. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, penerangan yang jelas dan berterusan diperlukan bagi memastikan masyarakat khususnya bukan Islam memahami bahawa hukuman syariah hanya terpakai kepada orang Islam dan bertujuan untuk menegakkan keadilan untuk manusia.
Sebatan dalam undang-undang jenayah syariah adalah satu instrumen yang bertujuan untuk mendidik dan bukan mencederakan. Ia dilaksanakan dengan penuh adab dan pertimbangan perikemanusiaan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam yang menitikberatkan keadilan dan rahmah. Sehubungan itu, untuk memastikan hukuman ini diterima dan difahami dengan baik, usaha pendidikan dan penerangan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu memastikan pelaksanaan hukuman ini mematuhi garis panduan syariah dan undang-undang negara bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan Islam. Dalam masa yang sama, perlu diadakan program pemulihan yang holistik dengan mengadakan bimbingan rohani, kaunseling intensif dan latihan kemahiran sebagai sebahagian daripada bentuk hukuman.