Tahun ini, tema sambutan Hari Guru ialah “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani.” Tema ini adalah seiring dengan matlamat Dasar Pendidikan Digital 2023 iaitu untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing bagi memenuhi keperluan era digital masa kini. Melalui tema ini boleh difahami bahawa bahawa kemahiran digital guru dalam dunia pendidikan moden kini penting dan tidak dapat dielakkan lagi. Kalau dahulu, guru antara insan pertama yang mengajarkan kita mengenal huruf, membaca dan mengira tetapi kini guru juga dituntut untuk membentuk pelajar berkemahiran digital.
“Guru Jauhari Digital” membawa maksud guru yang memiliki kecekapan digital yang tinggi dan menjadi pakar rujuk dalam usaha mengintegrasikan pendidikan dan kemahiran digital. Untuk mendidik kemahiran digital dalam kalangan pelajar, guru-guru semestinya perlu memiliki kemahiran itu terlebih dahulu. Oleh itu literasi digital para guru perlu diperkukuhkan. Jika ini diabaikan, para guru mungkin tidak dapat menyesuaikan dan menggabungkan kemahiran digital yang mereka miliki ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Literasi digital bermaksud para guru perlu memiliki kemahiran digital yang asas misalnya dalam konteks penggunaan peralatan dan sumber digital sedia ada. Ini termasuklah kemahiran menggunakan komputer, internet, e-mel dan perisian produktiviti seperti pemprosesan perkataan dan alat bantu mengajar digital.
Guru juga seharusnya dapat mengintegrasikan teknologi ke dalam kaedah pengajaran mereka untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran yang berkesan. Ini boleh melibatkan penggunaan papan putih interaktif, aplikasi pendidikan, persembahan multimedia, platform pembelajaran dalam talian dan sumber digital lain. Alat digital boleh memudahkan pengalaman pembelajaran pelajar dengan menyediakan akses kepada pelbagai sumber pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan dan pilihan individu. Guru yang mempunyai kemahiran digital yang baik boleh memanfaatkan alatan ini dalam pengajaran dan membuka ruang kepada gaya pembelajaran yang pelbagai.
Apakah kelebihan guru yang menguasai kemahiran digital? Pertamanya, kemahiran tersebut membolehkan guru menjalin kerjasama dengan rakan sekerja, pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain dengan lebih berkesan. Platform seperti e-mel, applikasi pemesejan, persidangan video dan forum dalam talian memudahkan komunikasi dan kerjasama serta memupuk semangat kemasyarakatan dalam persekitaran pendidikan.
Kedua, meningkatkan kemahiran digital memberi peluang kepada pembangunan diri atau profesional seorang guru. Pembangunan profesional yang berterusan penting untuk guru demi bergerak sejajar dengan kemajuan teknologi terkini dan strategi pengajaran terbaharu. Sesi latihan, bengkel, kursus dalam talian dan persidangan boleh membantu guru meningkatkan kemahiran digital mereka dan mempelajari cara memanfaatkan teknologi dengan berkesan di dalam bilik darjah.
Ketiga, guru yang mempunyai kemahiran digital yang mantap lebih bersedia untuk melibatkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, memudahkan pembelajaran dan menyediakan pelajar untuk berjaya dalam dunia moden yang beridentitikan kepelbagaian teknologi. Pembangunan kemahiran digital guru dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkasakan pelajar untuk berkembang maju dalam era digital.
Akhir sekali, kesedaran digital dalam kalangan guru membantu mendidik pelajar tentang kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab. Hal ini merangkumi keselamatan dalam talian, privasi, buli siber dan etika digital. Guru boleh menunjukkan contoh tingkah laku dalam talian yang sesuai dan mengajar pelajar cara menggunakan alatan digital secara bertanggungjawab dan beretika. Perkara keempat ini merupakan satu tanggungjawab yang kritikal. Jika dilihat situasi masa kini, telah timbul pelbagai isu berkaitan penggunaan teknologi digital yang merangkumi salah guna, manipulasi, penggunan tanpa had dan sebagainya. Semua perkara ini mendedahkan generasi muda terutamanya kanak-kanak kepada pelbagai ancaman digital.
Laporan daripada UNICEF pada 2020 menunjukkan bahawa dalam konteks buli siber dalam kalangan belia, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia. Satu kajian yang dijalankan oleh Ely Zarina Samsudin (UiTM) dan rakan-rakan berkaitan penganiayaan buli siber dan kaitannya dengan disfungsi keluarga, tingkah laku kesihatan dan tekanan psikologi dalam kalangan belia di Selangor menunjukkan bahawa perbuatan buli yang paling biasa dialami ialah komen jahat atau menyakitkan terhadap mangsa secara dalam talian (51.7 peratus) manakala persekitaran dalam talian yang paling kerap berlakunya buli siber ialah di media sosial (45.8 peratus).
Tingkah laku devian dalam penggunaan alatan dan aplikasi digital bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Masalah ini membawa kepada isu kesihatan mental yang serius dalam kalangan generasi muda. Jika ini dibiarkan, kualiti generasi muda masa kini akan merudum dan inikah generasi yang akan menerajui negara pada masa hadapan? Oleh itu, amat penting bagi kita membimbing, membentuk dan membantu generasi muda agar lebih beradab dan berakhlak mulia dalam amalan digitalnya. Adab adalah asas yang membentuk akhlak mulia masyarakat maju. Jika pincang adabnya maka rosaklah masyarakat.
Adab dan akhlak adalah intipati penting dalam ajaran Islam dan menjadi tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk mendidik manusia supaya menjadi manusia yang berakhlak mulia sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis, “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak” (HR Ahmad).
Oleh itu, guru dengan sokongan pelbagai pihak, mempunyai tugas berat untuk membentuk akhlak mulia golongan muda atau masyarakat digital masa kini. Generasi muda seharusnya dididik tentang sifat sabar dan tidak mudah terpedaya dengan segala ugutan serta maklumat yang salah, mencintai ilmu atau informasi yang baik dan bukannya ilmu yang merosak minda dan menyesatkan, tidak semberono dalam memberi komen apatah lagi komen yang menyakitkan hati orang lain, mengajak kepada kebaikan dan bukan kerosakan dan akhirnya mengambil tahu hal-hal yang bermanfaat dan bukannya gosip semata-mata.