Hati seorang ibu mana yang tidak terusik melihat satu kejadian di kaca televisyen swasta pada minggu lepas, adegan yang sangat dramatik dan mengharukan apabila melihat seorang ibu yang terpaksa menyerahkan kelima-lima puteranya kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan kesempitan dan desakan hidup.
Anak-anak itu dalam keadaan yang kurang terbela disebabkan si ibu tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar upah pengasuh sementara beliau keluar bekerja. Penyerahan anak-anak ini kepada JKM adalah pilihan terbaik dan terakhir yang mampu dilakukan oleh seorang ibu demi keselamatan dan kebajikan si anak.
Dalam kes ibu tunggal tersebut, memang sangat getir untuk berpisah kasih dengan darah daging yang sebelum itu menjadi penyeri dan penyempurna kehidupan sesebuah keluarga, tetapi penyerahan kelima-lima anak kepada JKM sememangnya tindakan bijaksana seorang ibu yang gagah mengorbankan keperluan insaninya demi kebajikan dan kebaikan anak-anak.
Hadanah atau penjagaan generasi muda adalah hak yang dimiliki oleh setiap manusia sejurus dia dilahirkan ke dunia ini. Secara fitrahnya, ibu yang melahirkan anak tersebut akan menjaga si anak. Bersama-sama si bapa, maka ibu bapa akan membesarkan dan mendidik anak sehingga mereka boleh berdikari dan matang untuk menjalani kehidupan seterusnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang antaranya bermaksud;
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka. Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Ibu, ayah, datuk, nenek atau ahli keluarga kepada si anak adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk anak ini menjadi seorang manusia yang sebenar.
Kalau ditinjau kepada prinsip maqasid al-syariah, hadanah sebenarnya berkaitan dengan hal menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan. Sebagai sebahagian daripada prasyarat untuk membina kehidupan masyarakat yang berkualiti.
Sekiranya tidak terdapat ahli keluarga yang boleh memainkan peranan sebagai ibu bapa, maka menjadi tugas pihak pemerintah melalui agensi yang ditentukan untuk mengambil alih tugas ini. Kerajaan Malaysia melalui JKM telah memainkan fungsinya yang sebenar dari aspek siasah syariah.
Hadanah ada kalanya menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan ibu bapa dan masyarakat. Juga sering kali kita dengar bagaimana segelintir masyarakat yang mudah menyalahkan pihak ibu bapa tidak memperuntukkan waktu yang berkualiti yang menjadi keperluan ahli keluarga termasuk anak-anak.
Ada kalanya ibu bapa yang bekerja keras untuk meraih pendapatan yang selesa dipersalahkan apabila anak-anak mereka terlibat dalam gejala salah laku atau tercicir dalam pelajaran. Menghantar anak-anak untuk dijaga oleh orang lain juga dikatakan bukan pilihan yang baik dalam proses pendidikan dan pembesaran anak-anak.
Kalau kita lihat sejarah awal Rasulullah s.a.w. dilahirkan dan dibesarkan, Baginda bukan hanya diasuh oleh bonda baginda. Aminah binti Abdullah mempunyai pembantu untuk mengasuh anaknya yang fenomena itu turut berlaku dalam masyarakat kita. Kita mengambil pembantu rumah asing untuk membantu seorang ibu mengasuh anak sekali gus membantu tugas-tugas rumah tangga.
Semasa Nabi sangat kecil, Baginda telah dihantar jauh ke kampung pedalaman Badwi Bani Sa’ad bin Bakr untuk disusukan dan dibesarkan oleh Halimah binti Abu Zu’aib bin al-Harits as-Sadiyyah. Dan selama empat tahun lamanya anak kecil ini berada dalam asuhan Halimah as-Sadiyyah.
Masih ramai anak-anak yang menjadi insan yang cemerlang walaupun mereka tidak dijaga seratus peratus oleh ibu bapa kandung atau ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah. Apa yang penting adalah kebijaksanaan ibu bapa dalam memilih pihak yang menggantikan mereka untuk menjaga anak-anak sama ada dalam tempoh yang singkat, berjadual ataupun panjang.
Kebijaksanaan itu juga seharusnya disertai oleh niat yang jelas dan bukannya hendak melepaskan tanggungjawab hakiki yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. Dan pihak yang menjadi pengganti kepada ibu bapa itu juga sewajarnya menyedari bahawa anak-anak yang mereka terima itu adalah amanah Allah yang mempunyai akal dan perasaan.