TIDAK memahami konsep bekerja yang dituntut agama adalah antara faktor utama budaya kerja beretika gagal dihayati masyarakat, kata Pensyarah di Jabatan Fiqh Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.
Beliau berkata, ketidakfahaman itu berikutan pengaruh material yang lebih diutamakan berbanding matlamat bekerja untuk mendapat berkat.
Ramai yang bekerja hanya semata-mata bekerja. Setiap bulan dapat gaji dan pusingan kehidupan bekerja itu berlalu saban tahun,
Kerja sebegini tidak ada makna dari sudut agama kerana ia tersasar jauh daripada konsep bekerja dalam Islam.
“Seperti juga orang yang mengerjakan solat tetapi tidak memahami apakah tuntutan di sebalik solat yang perlu dilakukan dengan khusyuk dan tertib,” katanya ketika membentangkan kertas kerja ‘Etika Kerja Menurut Sunnah’.
Beliau berkata, konsep bekerja dalam Islam merangkumi beberapa perkara yang perlu difikirkan dan dihayati sepanjang masa iaitu niat bekerja, keikhlasan serta juga jenis kerja yang dituntut syariat.
Sehubungan itu, katanya pekerja yang menjadikan budaya kerja berasaskan acuan al-Quran dan sunnah termasuk dalam golongan syuhada’ (orang mati syahid).
“Untuk mati syahid bukannya susah dan tidak hanya perlu berperang fisabilillah (medan perang), tetapi jadilah pekerja yang disuruh menerusi al-Quran,” katanya.
Mahmood Zuhdi berkata, pekerja yang mempunyai komitmen tinggi dalam kerjayanya ialah mereka yang menjadikan diri sebagai pemimpin ketika bekerja.
Maknanya kata beliau, setiap pekerja perlu mengerti dan memahami bahawa sebagai pemimpin, dia akan dipertanggungjawabkan terhadap kerja yang dilakukan oleh Allah di akhirat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nik Mustapha Nik Hassan menyarankan majikan mengadakan lebih kerap kegiatan bagi menyemarakkan hubungan silaturahim sesama pekerja.
Katanya, menerusi kegiatan seperti itu secara tidak langsung dapat merapatkan jurang hubungan antara pekerja bawahan dan atasan.
Pada bengkel ini, beliau membentangkan kertas kerja “Peningkatan Kepada Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah: Mendorong Kepada Kecemerlangan Dunia dan Akhirat”.
Beliau berkata, motivasi bekerja yang berpaksikan kepada iman dan jati diri akan menghapuskan budaya pilih kasih, mengampu dan dendam ketika bekerja.
Sumber : Berita Harian 24/2/2005