Mutakhir ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengkritik beberapa aspek amalan kehidupan masyarakat yang dikatakan tidak memenuhi piawaian antarabangsa dan bercanggah dengan konsep hak asasi manusia. Dari sudut pandang ini, hak asasi manusia dijelaskan sebagai hak yang dipunyai oleh seseorang individu atas kapasiti sebagai manusia dan meliputi pelbagai skop kehidupan seperti antaranya hak untuk hidup, hak untuk menyuarakan pendapat, kebebasan untuk bergerak dan juga hak untuk berfikir. Jika mengikut kacamata Barat, hak asasi seorang manusia adalah hak yang mutlak bagi dirinya.
Walau bagaimanapun, dari perspektif Islam, hak asasi manusia adalah tidak mutlak dan bermatlamatkan melindungi maruah dan karamah insan yang membezakan antara manusia dari makhluk Tuhan yang lain. Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Islam sebagai agama yang bersumberkan wahyu dari Allah SWT, Islam adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak-hak asasi manusia. Sebagai contoh, perubahan dari zaman jahiliyyah di mana kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dizalimi dan dibunuh kerana jantina mereka ke zaman Islam dimana kedudukan wanita dimartabatkan dan dipelihara merupakan satu titik tolak kepada elemen penting terhadap hak kebebasan dan kesamarataan bagi manusia. Ini ditegaskan di dalam surah Al-Isra’ ayat 70:
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan (status) anak-anak Adam.”
Dan di dalam surah Al-Hujarat, Ayat 13:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.”
Islam meletakkan penghormatan yang mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang itu. Sebaliknya, apa yang penting dalam Islam ialah komitmen seseorang individu itu kepada usaha memperkuatkan aqidahnya dan juga peningkatan taqwanya kepada keesaan Allah SWT. Jika apa yang diperjuangkan oleh mana-mana individu itu dilihat sebagai usaha menjatuhkan kemuliaannya sebagai manusia dan juga lebih menjauhkan dirinya dari Tuhan, maka, tidak rasional usaha atau pandangan itu dilihat sebagai satu bentuk tindakan menegakkan haknya sebagai seorang insan. Penghormatan atau ruang juga tidak perlu diberikan kepada golongan yang memperjuangkan satu bentuk hak asasi yang membelakangi nilai-nilai moral sejagat dan juga prinsip-prinsip asas etika kerana ianya akan menjadi satu kecelaruan kepada kebenaran dan keadilan yang menjadi matlamat pemeliharaan hak seperti yang sepatutnya.
Berbeza dengan perspektif Islam, pemikir-pemikir Barat lebih cenderong mengaitkan hak asasi manusia dengan kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata. Bagi golongan ini dan para pendokongnya, hak asasi manusia dan kebebasan individu adalah bersifat mutlak dan kepentingan individu lazimnya mengatasi kepentingan manusia sejagat. Dari kefahaman inilah lahir pelbagai corak kehidupan manusia moden yang kadangkala dilihat seolah-olah membawa ketamadunan manusia itu beberapa langkah ke belakang dan mengulangi kesilapan golongan manusia lampau yang pernah wujud dalam zaman sebelum kedatangan Islam dan juga jauh dari cara hidup yang didakwah oleh para Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah SWT untuk golongan manusia.
Penting untuk difahami bahawa Islam meletakkan hak asasi manusia sebagai satu bentuk anugerah Allah SWT kepada khalifahNya di muka bumi ini. Ia bersifat syumul dan ajarannya selari dengan fitrah kejadian insan disamping merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Oleh itu, satu prinsip penting dalam pemahaman ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia ada batasannya. Semestinya, hak tersebut juga perlu bertunjangkan kepada prinsip keadilan serta penegasan kepada usaha pencapaian matlamat syari’ah iaitu penyuburan 5 kepentingan asas merangkumi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Perlu dijelaskan bahawa bagi umatnya, Islam bukan sekadar satu agama yang berbentuk ritual tetapi merupakan satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Malangnya terdapat golongan dalam masyarakat yang memperlekehkan aspek kesempurnaan Islam ini dengan melabelkan Islam sebagai agama yang sempit, jumud dan tidak seiring dengan arus pemikiran baru yang terdapat pada hari ini. Kemunculan fahaman sebegini yang dilihat seolah-olah menolak elemen agama merupakan satu ancaman kepada kepada pemikiran masyarakat. Bagi golongan ini, umat Islam khususnya harus lebih bersifat terbuka dan menerima kepelbagaian yang ada walaupun ianya bertentangan dengan norma masyarakat. Yang amat membingungkan ialah dalam keasyikan mereka ‘memperjuangkan’ hak untuk ‘bersuara’, mereka juga lebih mudah melenting apabila ada pihak lain yang mengkritik perjuangan mereka, sedangkan pihak ini juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat. Pada hakikatnya, tanpa mereka sedari, sikap yang tidak konsisten ini telah menzahirkan kelemahan semulajadi di dalam perjuangan mereka.
Hak bagi seorang manusia seharusnya berupaya memartabatkan kemulian dirinya sebagai makhluk di sisi Maha Pencipta dan juga yang mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat. Sejujurnya, hak asasi manusia dalam Islam adalah mengenai penegakkan hak-hak yang sesuai dengan fitrah seorang insan. Insan yang dimaksudkan disini bukan hanya terhad kepada kehidupan individu tetapi juga mencakupi tugasnya sebagai seorang hamba kepada Allah SWT dan khalifah di muka bumi ini. Islam sebenarnya membawa satu sistem nilai yang hakiki yang mampu memberi makna dan bentuk kepada kerangka hak asasi manusia demi kelangsungan peradaban manusia masa kini.