Dalam Forum Kewangan Islam Global 2018 yang berlangsung pada awal Oktober lepas, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah menyarankan agar satu rangka kerja bagi menilai impak sistem kewangan Islam ke atas ekonomi seharusnya menjadi agenda seterusnya bagi sistem kewangan ini dalam membentuk hala tuju pembangunannya.
Menurut Tan Sri Dr. Zeti, impak utama kewangan Islam terhadap ekonomi adalah kurang jelas. Justeru beliau mencadangkan agar sistem kewangan Islam pada masa akan datang perlu mempunyai ciri nilai tambah (value added) dan perlu berasaskan nilai (value-based).
Apa yang diutarakan oleh Tan Sri Zeti ini mencerminkan pandangan jauh beliau terhadap peranan yang sepatutnya dimainkan oleh sistem kewangan ini kepada ekonomi dan masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam suasana persaingan perniagaan sekarang.
Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak BNM pun telah memulakan langkah ke arah itu. Sebagai contoh pada Mac 2018 BNM telah mengeluarkan kertas strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based intermediation atau VBI). VBI ditakrifkan sebagai fungsi perantaraan yang dimainkan oleh sektor kewangan yang bertujuan untuk menghasilkan matlamat-matlamat kewangan yang digariskan oleh Syariah. Matlamat-matlamat ini boleh dihasilkan menerusi pelbagai pendekatan kewangan yang menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar; dan pada yang sama ia konsisten dengan pulangan yang mampan dan kepentingan jangka panjang para pemegang saham.
Berdasarkan definisi VBI ini, jelas kepada kita ia ada kaitan dengan usaha untuk mencapai matlamat kewangan yang digariskan oleh Syariah.
Sekiranya sistem kewangan Islam ini memenuhi apa yang diinginkan oleh Syariah, secara tidak langsung ia juga memenuhi apa yang disarankan oleh Tan Sri Dr. Zeti tadi iaitu ia memberi nilai tambah kepada ekonomi dan pada masa yang sama memberi nilai kepada kesejahteraan masyarakat.
Sebagaimana yang kita tahu sistem kewangan Islam merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Islam. Melalui kewujudan sistem kewangan Islam, umat Islam baik mereka ini merupakan golongan pengusaha, pelabur mahupun pengguna biasa dapat menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh sistem kewangan ini untuk memenuhi keperluan masing-masing.
Secara sepintas lalu, kalau kita lihat kepada sumbangan sistem kewangan Islam ini kepada masyarakat pelabur, pengusaha dan pengguna biasa, kita boleh buat satu rumusan kasar bahawa kewujudaan industri ini telah mewujudkan satu sistem kewangan baru yang membantu umat Islam untuk mengelak dari terlibat dengan unsur-unsur riba yang mana unsur riba adalah unsur tunjang sistem kewangan konvensional.
Memang benar, sistem kewangan Islam adalah satu sistem yang bebas riba. Namun kita perlu tahu apa falsafah dan matlamat sebenar disebalik penubuhan sistem kewangan dan perbankan Islam oleh para ahli ekonomi Islam beberapa dekad dahulu. Apa yang pasti selain daripada mewujudkan satu sistem kewangan sistem kewangan yang bebas riba, penubuhan bank Islam pada asalnya ialah untuk untuk menjadi satu platform di mana ia boleh menjadi pemangkin kepada proses pembangunan. Pembangunan yang dimaksudkan oleh para pemikir ekonomi Islam ialah pembangunan yang berasaskan kepada prinsip moral etika dan kebajikan.
Prinsip-prinsip pembangunan yang bermoral pula merujuk kepada satu bentuk pembangunan sosioekonomi yang adil, saksama yang turut didokong oleh semangat persaudaraan dan tolong menolong sesama Islam. Persoalannya adakah sistem perbankan sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhan bank Islam ini sepertimana yang diimpikan oleh pelopor serta ahli ekonomi Islam yang terdahulu?.
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu dilihat di mana kedudukan sistem kewangan Islam dalam konteks disiplin ekonomi Islam. Ini kerana pada hakikatnya sistem kewangan Islam hanyalah satu manifesto sistem ekonomi Islam. Para ahli ekonomi mengilhamkannya sebagai satu wasilah untuk merealisasikan matlamat sistem ekonomi Islam.
Jadi secara tidak langsung sistem kewangan Islam sebagai satu subset kepada sistem ekonomi Islam. Oleh yang demikian matlamat dan falsafah sistem kewangan Islam seharusnya selari dengan matlamat dan falsafah induknya tadi. Dengan kata lain falsafah dan matlamat kewujudan sistem kewangan Islam perlu sama dengan falsafah dan matlamat sistem ekonomi Islam.
Kebanyakan ahli ekonomi Islam seperti Khurshid Ahmad, MS Chaudhry, MA Khan, Maududi dan M Umer Chapra sebagai contoh menggariskan bahawa objektif utama yang melatari falsafah ekonomi Islam ialah untuk mencapai al-falah iaitu kejayaan yang sebenar di dunia dan akhirat. Caranya ialah menerusi pendekatan tawhid iaitu dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan dalam mengurus sumber-sumber yang ada di muka bumi ini. Manakala prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh Islam dalam pengurusan sumber-sumber ini adalah seperti keadilan (adalah); taqwa; persaudaraan (ukhuwwah); khilafah, ihsan dan sebagainya.
Secara ringkasnya jika semua pihak termasuklah sektor kewangan – bersikap adil, bertaqwa, mempunyai ihsan dan mengamalkan nilai-nilai persaudaraan Islam yang kukuh semasa berekonomi atau melakukan sebarang muamalat atau urusan seharian, maka masalah-masalah ekonomi seperti kemiskinan, ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan sebagainya tidak akan wujud. Realitinya ini tidak berlaku.
Dewasa ini masalah kemiskinan dalam kalangan umat Islam baik di negara ini mahupun di mana-mana tempat di dunia ini amat ketara sekali. Begitu juga dengan isu-isu ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan lain-lain.
Jadi berbalik kepada persoalan adakah sistem kewangan Islam sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhannya – maka jawapannya adalah bergantung kepada sejauh mana sistem kewangan Islam – selain daripada berjaya mewujudkan satu sistem kewangan yang bebas riba – berjaya menterjemahkan prinsip-prinsip keadilan, taqwa, persaudaraan, prinsip khilafah, kesatuan di dalam operasi harian mereka.
Hakikatnya adalah satu yang agak ideal atau utopia jika kita ingin lihat sistem kewangan Islam beroperasi secara total berdasarkan kepada teori sistem ekonomi Islam sepertimana yang digariskan oleh para ahli ekonomi Islam.
Bagaimanapun adalah lebih baik jika kita ada suatu matlamat yang hendak dicapai walaupun apa yang digariskan tadi agak ideal. Sekurang-kurang jika kita tidak dapat mencapainya pada tahap 100%, kita dapat 80% atau 90% daripada apa yang diinginkan itu adalah lebih baik daripada kita tidak mempunyai apa-apa sasaran yang realistik.
Walaupun secara relatifnya masih baru jika dibandingkan dengan sistem kewangan konvensional, namun dengan adanya sistem kewangan Islam, diharap ia boleh menjadi pemangkin dan alat bagi mencapai matlamat-matlamat ekonomi Islam yang digariskan oleh para cendekiawan Muslim tadi.