Setiap anak yang dilahirkan akan dinamakan oleh kedua orang tuanya agar ia dikenali dengan nama itu. Malah, ramai ibubapa telahpun memilih nama yang disukai lebih awal dari itu. Proses menamakan anak ini sering dilihat oleh ibubapa sebagai hak istimewa mereka. Berbeza dengan sepasang suami isteri dari New York yang bakal dikurniakan seorang anak lelaki tidak lama lagi. Mereka tidak mahu menggunakan hak istimewa ini sebaliknya melelong hak tersebut dengan harga AS$500,000 (RM1.9 billion).
Agak terperanjat juga saya ketika membaca berita luar negara yang bertajuk “Suami isteri lelong hak namakan anak dalam internet.” (Utusan Malaysia, 28 Julai 2001, ms. 17). Suami isteri tersebut yang sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga, berharap mana-mana penaja korporat akan sanggup membayar AS$500,000 (RM1.9 billion) untuk menamakan anak mereka itu. Ini bermakna anak itu kelak mungkin bernama ‘Heinz’ atau ‘Microsoft’ atau ‘Coke’ atau ‘Kraft’.
Tujuan pasangan tersebut membuat lelongan ini ialah untuk membolehkan mereka membeli rumah yang lebih besar dan membiayai kos pendidikan anak-anak mereka. Bagi kedua suami isteri ini, cara tersebut memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk mendapatkan publisiti ketika nama itu diumumkan kelak. Namun tidak bagi syarikat-syarikat yang ada kerana sehingga berita tersebut disiarkan, belum ada pihak yang membuat tawaran.
Demikianlah keadaan manusia bila hidup tidak ada bimbingan dan panduan. Hak menamakan anak yang menjadi hak istimewa mereka yang bergelar ibu dan bapa, kini menjadi seperti barang yang boleh dilelong. Malah, ia dijadikan aset untuk mendapatkan sejumlah wang yang besar untuk menikmati taraf hidup yang lebih selesa. Berbeza dengan umat Islam yang dibimbing oleh al-Quran dan hadis, hak menamakan anak dianggap amat istimewa dan umat Islam biasanya menggunakan hak ini dengan sebaik-baiknya.
Islam sebagai satu cara hidup, memberi panduan kepada umatnya tentang semua perkara termasuklah tentang hal yang berkaitan dengan hak memberi nama kepada zuriat yang dilahirkan. Dalam Islam hak ini begitu istimewa dan perlu digunakan sebaik-baiknya kerana nama itu akan bersama dengan anak yang dilahirkan itu sehingga ia meninggal dunia. Oleh itu, proses memberikan nama anak ini perlu dilakukan dengan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan oleh Islam.
Satu daripada garis panduan yang diberi oleh Islam ialah berkaitan dengan bila anak itu patut dinamakan. Ada yang mengatakan anak itu patut dinamakan pada hari kelahirannya. Ini berdasarkan kepada peristiwa di mana Nabi Muhammad s.a.w. menamakan anak Abu Usaid dengan nama al-Munzir pada hari kelahiran bayi itu.
Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa anak itu perlu dinamakan pada hari ketujuh setelah kelahirannya. Ini berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud, “Setiap budak tergantung kepada aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuhnya dan dinamakan serta dicukurkan kepalanya.”
Jadi, berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah ini, ada kelapangan dari segi masa untuk menamakan anak. Mereka boleh dinamakan pada hari kelahirannya atau pada hari ketiga selepas kelahiran. Jika masih belum dinamakan, digalakkan menamakan bayi pada hari melaksanakan aqiqah (hari ketujuh).
Selain memberi garis panduan tentang masa untuk menamakan anak, Islam juga memberi garis panduan tentang apakah nama yang harus dipilih untuk anak-anak kita. Umat Islam dituntut untuk menamakan anak mereka dengan nama yang paling baik dan paling indah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda yang bermaksud, “Kamu sekalian di Hari Kiamat akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa-bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelok nama-nama kamu.” (Riwayat Abu Daud).
Apa pula nama-nama yang baik dan apa pula nama-nama yang buruk? Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Namakanlah (anak-anak kamu) dengan nama para Nabi. Dan sebaik-baik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Yang bagus lagi ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.”
Jadi, jelas kepada kita nama-nama yang baik itu adalah seperti nama-nama para Nabi, nama-nama seperti Abdurrahman dan Abdullah serta nama-nama seperti Haris dan Hammam. Sebaliknya, nama yang tidak baik adalah seperti Harb dan Murrah.Ibubapa juga dilarang menamakan anak-anak dengan nama-nama yang buruk yang boleh merendahkan kehormatan si anak atau dijadikan bahan ejekan orang lain. Rasulullah sendiri pernah menukarkan nama anak perempuan Umar bin Al-Khattab daripada `Ashiyah yang bermaksud `penderhaka’ kepada Jamilah yang bermaksud `yang cantik’.
Ibubapa juga perlu menghindari dari memilih nama yang membawa maksud `sial’ agar anak-anak terpelihara dari kesialan yang dibawa oleh nama tersebut. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan seseorang yang bernama Hazan (yang bermaksud `dukacita’) lalu Baginda menyuruhnya menukar nama itu dengan nama Sahel (yang bermaksud `mudah’). Namun, orang yang bernama Hazan itu enggan menukar nama yang telah diberi oleh bapanya. Akibatnya, dia sendiri mengakui bahawa perasaan dukacita tidak pernah lekang dari dirinya.
Islam juga menuntut supaya ibubapa menghindari dari menamakan anak dengan nama-nama yang khusus bagi Allah seperti Al-Ahad (yang bermaksud `Yang Esa’), Ash-Shamad (yang bermaksud `Tempat Meminta’), Al-Khaliq (yang bermaksud `Yang Mencipta’), Ar-Razzaq (yang bermaksud `Yang Pemberi Rezeki’) dan seumpamanya. Ini amat tidak digalakkan sehingga Rasulullah s.a.w. pernah menukarkan nama seorang sahabat yang bernama Hani’ tetapi bergelar `Abul Hakam’ di kalangan kaumnya kepada Abu Syuraih. Ini kerana Abul Hakam itu seperti nama Allah `Al-Hakam’ yang bermaksud `terserah kepadaNya segala hukum’. Oleh yang demikian, Nabi menukarkan gelaran itu kepada Abu Syuraih iaitu `bapa Syuraih’, mengikut nama anaknya yang sulung.
Islam juga melarang ibubapa menamakan anak dengan nama-nama yang mengandungi unsur-unsur kemewahan atau unsur-unsur yang menunjukkan nasib yang baik. Ini bertujuan untuk mengelakkan kekeruhan apabila ternyata anak itu tidak seperti yang tergambar pada namanya. Sebagai contoh nama-nama seperti Aflah (yang bermaksud `sangat berjaya’), Nafi’ (yang bermaksud `sangat berguna’), Rabah (yang bermaksud `sangat beruntung’) dan Yasar (yang bermaksud `sangat mewah’). Ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud, “Ucapan yang sangat disukai Tuhan ada empat: Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaaha Illallaah dan Allahu Akbar. Jangan kau namakan anakmu Yasar atau Rabah atau Najihan atau Aflah kerana kau akan berkata: Apakah betul ia itu begitu? Jika tidak, engkau jawab: Ia tidak.”
Ibubapa juga harus menjauhkan diri dari menamakan anak dengan nama-nama hamba kepada selain dari Allah seperti Abdul Uzza (yang bermaksud `hamba berhala’), Abdul Kaabah (yang bermaksud `hamba Kaabah’), Abdun Nabi (yang bermaksud `hamba Nabi’) dan seumpamanya. Ulama bersependapat bahawa nama-nama seperti ini adalah haram.
Akhir sekali, ibubapa hendaklah mengelakkan dari menamakan anak dengan nama-nama orang kafir supaya umat Islam dikenal dengan nama-namanya yang istimewa dan sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri.
Jadi ternyata, hak istimewa bagi ibu dan ayah dalam menamakan anak perlu digunakan sebaik-baiknya mengikut garis panduan yang diberi oleh Islam. Ternyata menamakan anak bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dianggap enteng lalu menamakan anak dengan anma-nama yang hanya sedap disebut dan didengar tetapi tiada makna yang baik. Sebaliknya, kita perlu memikirkan nama anak dengan baik dan teliti kerana dari nama mereka tercermin harapan serta doa orang yang memberi nama itu. Adalah diharapkan sifat baik yang ada pada nama-nama yang baik itu akan dimiliki oleh anak tersebut.
Kadangkala, dalam proses memilih nama ini, kedua ibubapa tidak mencapai persetujuan. Si ibu memilih nama A sedangkan si bapa memilih nama B. Jika persetujuan tidak dicapai, Islam melihat bahawa suami lebih berhak menentukan nama anak. Ini kerana al-Quran juga telah menetapkan bahawa anak itu menurut keturunan ayah, bukan keturunan ibu. Ini jelas dalam ayat 5, Surah al-Ahzab yang bermaksud, “Panggillah mereka dengan (nama) kepada bapa-bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi Allah.”
Islam juga melarang ibubapa dari memanggil anaknya dengan panggilan nama-nama yang tidak baik seperti si pendek, si comot, si buruk dan sebagainya. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud, “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…”. Ini kerana gelaran-gelaran buruk itu boleh mendatangkan kesan negatif dalam jiwa si anak tadi.
Dalam masyarakat kita, adalah sesuatu yang biasa bila nama yang diberi berlainan dengan nama panggilan anak itu. Biasanya nama panggilan ini lebih ringkas dari nama sebenar anak itu. Seringkali kita dapati anak yang mempunyai nama yang sedap dan baik maksudnya, dipanggil dengan nama pendek yang tiada makna. Misalnya anak yang bernama Muhammad, dipanggil “Boboy”. Anak yang memang sedap namanya yakni nama yang mengikut nama Jungjungan kita, Nabi Muhammad, kini dipanggil dalam Bahasa Inggeris yang tiada makna baik dari segi Islam. Hal sebegini hendaklah dielakkan kerana nama itu juga merupakan doa. Dengan memanggil nama itu kita seolah-olah berdoa agar unsur baik pada nama tersebut terjelma dalam peribadi anak kita. Oleh yang demikian, jika nama sebenarnya sudah baik, teruskan memanggilnya dengan nama itu agar harapan kedua ibubapa tadi terjelma dalam peribadi si anak.
Bersyukurlah kerana sebagai umat Islam, kita diberi panduan dalam setiap lapangan hidup kita hatta untuk menamakan anak sekalipun. Gunakanlah garis panduan ini dengan baik kerana anak kita akan menggunakan nama itu sehingga ke akhir hayatnya. Sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak kita. Oleh itu, pilihlah nama-nama yang baik untuk anak kita. Malah ketika menamakan anak, kita digalakkan berdoa agar nama yang dipilih itu mendatangkan berkat kepada anak tersebut.
Di pasaran juga, terdapat banyak buku panduan menamakan anak yang menyenaraikan nama-nama yang baik untuk lelaki dan perempuan dengan pengertiannya sekali. Malah, buku-buku ini juga memberi senarai nama-nama yang harus dielakkan. Jadi, gunakanlah buku panduan ini ketika ingin mencari nama yang sesuai untuk anak anda.
Ada juga di antara ahli masyarakat yang merujuk kepada orang yang lebih tua dalam memilih nama anak mereka. Malah ada juga yang memberi hak itu kepada ahli agama yang disegani kerana yakin orang tersebut dapat mencarikan nama yang baik untuk anak mereka. Buatlah apa sahaja untuk mencari nama yang baik untuk anak anda asal sahaja tidak melelong hak tersebut yang belum tentu dapat memberi nama yang baik untuk anak kita.