Dalam Islam, bekerja bukan sahaja dituntut demi mencari rezeki untuk diri dan keluarga, tetapi juga dilihat sebagai satu ibadah. Untuk sesuatu kerja itu menjadi ibadah, tentulah ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti niat melakukan kerja kerana Allah, melakukan pekerjaan yang halal, ikhlas dan jujur dalam melaksanakan kerja, rajin dan bersungguh-sungguh dan sebagainya. Dari segi jantina, Islam tidak melarang umatnya untuk bekerja, baik lelaki, mahupun wanita asal sahaja prasyarat-prasyarat tertentu dipatuhi.
Awal tahun ini, Simposium Gender tentang Pekerjaan Yang Baik (Decent Work) Untuk Wanita telah diadakan di Gineva. Decent work mencerminkan harapan kaum wanita dan lelaki di merata dunia tentang pekerjaan yang memberi mereka jaminan keselamatan dan standard hidup yang baik (decent) kepada mereka dan keluarga mereka.
Dalam Laporan Ketua Pengarah ILO, matlamat decent work dilihat sebagai berikut, “The goal is not just the creation of work but the creation of jobs of acceptable quality …quality of employment can mean many things. It could relate to the different forms of work, and also to different conditions of work, as well as feelings of value and satisfaction. The need today is to devise social and economic system which ensure basic security and employment while remaining capable of adaptation to rapidly changing circumstances in a highly competitive global market.”
Menurut Angela King pula, secara mudah, decent work bermaksud, “…work which is productive, available, safe, protected and personally fulfilling. It also embraces such concepts as freedom of association, absence of discrimination and forced labor as well as rejection of child labor.”
Menurut Ketua Pengarah ILO, konsep decent work untuk wanita ini diperjuangkan kerana kebanyakan pekerja wanita masih tidak mendapat hak mereka. Sebagai contoh pekerjaan wanita lebih kerap tidak dibayar berbanding pekerjaan lelaki, wanita dibayar gaji yang lebih rendah berbanding lelaki untuk pekerjaan yang sama, malah kadangkala pekerjaan yang dibuat oleh wanita itu langsung tidak dianggap sebagai kerja.
Angela King juga senada dengan pandangan ini. Menurut beliau, terlalu banyak ketidakadilan dalam laluan wanita untuk mendapat peluang-peluang dan penguasaan ekonomi. Menurut beliau, di kebanyakan tempat di dunia, wanita masih tidak ada kawalan terhadap mahupun terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan dengan modal, kredit, hartanah, teknologi, pendidikan atau maklumat sedangkan semakin ramai wanita bekerja dan fenomena “feminization of labor” adalah satu proses yang disedari dan diakui ramai.
Menurut Angela lagi, majoriti wanita yang bekerja diberi pekerjaan yang tidak terjamin dan gaji yang rendah. Kebolehan wanita terus dipandang rendah, dan mereka seringkali bekerja dalam sektor perkhidmatan sama ada sebagai pekerja sambilan atau pekerja yang tidak berbayar. Mereka yang paling sengsara menurut Angela ialah wanita (berbanding lelaki), wanita miskin terutamanya wanita petani.
Di samping layanan yang kurang memuaskan di tempat kerja, wanita bertanggungjawab sepenuhnya kepada kerja-kerja domestik dan penjagaan keluarga. Jadi, cabaran kita menurut Angela ialah bagaimana untuk membantu golongan wanita supaya usaha mereka yang luarbiasa ini [penglibatan di rumah dan di tempat kerja] memberi manfaat kepada mereka.
Melihat kepada skop decent work yang diberikan oleh beberapa orang di atas dapatlah kita simpulkan bahawa decent work menekankan kepada pekerjaan yang berkualiti dan tidak kepada kuantiti pekerjaan semata-mata. Jadi, mengikut konsep ini, kita perlu memikirkan tentang penyediaan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk masyarakat kita terutamanya untuk wanita.
Kualiti yang dimaksudkan di sini merangkumi beberapa bidang berikut:
a) Gaji
Yang paling penting, gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut. Ia juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja tersebut menikmati taraf hidup yang baik.Gaji ini juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja itu memberi pendidikan kepada anak-anaknya .
b) Jaminan
Pekerjaan itu pula perlulah dapat menjamin kehidupan pekerja tersebut. Jaminan ini boleh dilihat dari beberapa segi. Pertama, jaminan bahawa ia tidak akan dibuang kerja sesuka hati kerana itu adalah mata pencariannya. Ia juga hendaklah memberi jaminan keselamatan fizikal kepada pekerja baik dari segi tempat kerja yang selamat mahupun bahaya kesihatan. Jaminan-jaminan yang lain adalah seperti insuran nyawa, insuran kemalangan serta wang yang mencukupi untuk menampung hidup pekerja itu di masa tua, baik dari segi pencen, mahupun wang simpanan yang terkumpul.
c) Kesihatan
Pekerjaan itu tidak berbahaya kepada kesihatan dan sekiranya berbahaya, langkah-langkah keselamatan hendaklah diambil oleh majikan demi kesihatan pekerja. Selain itu, majikan juga perlu membiayai kos rawatan kesihatan kepada pekerjanya.
d) Layanan sebagai manusia
Majikan perlu melayan pekerja seperti manusia. Ini bermakna pekerja tidak boleh dikasari, baik secara fizikal, verbal, mahupun mental. Dalam kata lain, pekerja tidak boleh dipukul mahupun dihina. Jika majikan menyediakan makanan, makanan itu hendaklah makanan yang berkhasiat dan bukannya makanan yang disediakan secara sambil lewa. Sebagai manusia, pekerja mengalami rasa letih dan lelah dan perlukan rehat yang cukup. Sebagai penyumbang kepada syarikat dan majikan, pekerja perlu dihargai, baik secara lisan, mahupun material.
e) Kepuasan bekerja
Decent work juga dilihat dari segi sejauhmana pekerjaan yang dilakukan itu memberi kepuasan kepada pekerja dan bukannya mereka bekerja kerana terpaksa bekerja.
Niat ILO untuk mewujudkan decent work untuk wanita memanglah disambut baik oleh Islam. Apa sahaja usaha yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan wanita digalakkan oleh Islam. Ini tidak bermakna Islam tidak menganjurkan usaha-usaha seumpama ini. Sebenarnya, sejak Islam wujud lagi, ia telah memberi prasyarat-prasyarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh wanita sebelum keluar bekerja. Walaupun ada yang melihat prasyarat ini sebagai menyukarkan, tetapi sebenarnya ia ada kaitan dengan konsep decent work yang ingin diketengahkan pada tahun 2000 ini. Prasyarat-prasyarat itu ialah:
a) Menutup aurat
b) Mendapat keizinan bapa atau suami
c) Pekerjaan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan fitrah mereka sebagai wanita dan tidak menjejaskan fungsi mereka sebagai anak, isteri dan ibu
d) Maruah mereka terpelihara sepanjang masa berada di luar rumah
e) Keselamatan mereka terjamin semasa berada di luar rumah.
Melihat kepada prasyarat-prasyarat ini, selain dari pekerjaan yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Islam, Islam melihat pekerjaan itu perlulah dapat memelihara wanita dari segala bahaya yang boleh menimpa mereka.
Dari segi aurat misalnya, Islam menuntut wanita memelihara aurat mereka sekiranya berada di luar rumah. Tuntutan ini bukanlah untuk menyekat wanita tetapi agar mereka dikenali (sebagai wanita Muslim) dan tidak diganggu.
Dari segi perlunya keizinan ayah atau suami, kedua-dua orang ini merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap wanita. Jadi, keizinan perlu agar mereka tahu ke mana orang yang di bawah tanggungjawabnya pergi dan apa kerja yang dilakukannya. Ini penting kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Dari segi jenis kerja yang dilakukan, ia hendaklah kerja yang tidak bertentangan dengan fitrah wanita serta tidak menjejaskan fungsi kewanitaannya. Misalnya, kerja melombong arangbatu mungkin tidak sesuai dengan wanita. Begitu juga, shif malam mungkin akan menjejaskan fungsi wanita itu sebagai isteri dan ibu.
Dari segi maruah, wanita tidak dibenarkan terlibat dengan kerja-kerja yang boleh menjejaskan maruah mereka seperti pelacuran, pelayan dan seumpamanya.
Dari segi keselamatan pula, kerja itu hendaklah tidak membahayakan nyawa wanita, termasuklah dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.
Sebenarnya syarat-syarat yang sama juga dikenakan kepada lelaki cuma kita tidak terlalu memikirkannya. Jadi, dalam melihat isu kerja ini, Islam melihatnya sama sahaja, baik terhadap lelaki mahupun wanita. Islam dari dahulu lagi melihat isu decent work bukan sahaja untuk wanita tetapi juga untuk lelaki. Dan dalam Islam, decent work tidak hanya melibatkan pekerjaan yang berkualiti dari segi gaji, persekitaran kerja, hubungan pekerja-majikan yang baik, kepuasan diri pekerja dan seumpamanya tetapi termasuk juga isu nilai kerja itu (bukan kerja yang bertentangan dengan Islam) serta maruah pekerja itu sendiri. Jadi, dalam Islam, maksud decent work adalah lebih luas yang bukan hanya keselesaan di dunia tetapi juga demi keselesaan di akhirat.
Selain prasyarat-prasyarat ini, ada juga beberapa contoh dari hadis Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bagaimana hubungan pekerja majikan itu harus berlaku yang merupakan lanjutan dari konsep decent work dalam Islam. Walau bagaimanapun, harus saya nyatakan di sini bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. kebanyakan contoh yang ada adalah dalam konteks hubungan tuan dan hamba. Namun, saya merasakan oleh kerana dalam Islam hamba itu bukanlah seperti apa yang kita fahamkan pada hari ini – boleh diperlakukan sesuka hati – maka saya rasa ia sesuai untuk digunakan dalam konteks majikan dan pekerja.
Sehubungan dengan itu, perkara pertama yang perlu kita tahu berkaitan dengan hubungan tuan dan hamba ialah tuan dilarang dari melambatkan memberi makan kepada hambanya. Muslim melaporkan bahawa dari Khaitsamah r.a. katanya, “Ketika kami sedang belajar dengan Abdullah bin Umar, tiba-tiba datang bendaharanya lalu ia masuk ke dalam majlis. Abdullah bertanya kepada bendaharanya itu, ‘Sudahkah kamu memberi makan kepada hamba sahaya?’ Bendahara menjawab , ‘Belum.’ Maka Abdullah berkata, ‘Pergilah beri mereka makan segera.’ Kata Abdullah selanjutnya, ‘Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.’” Jadi, dalam konteks hubungan majikan-pekerja, majikan tidak sewajarnya menagguhkan pemberian gaji kepada pekerjanya.
Kedua, dalam Islam tuan tidak dibenarkan memukul hambanya dan jika perbuatan ini dilakukan juga maka dendanya ialah hamba itu hendaklah dibebaskan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menampar hamba sahaya atau memukulnya maka dendanya ialah memerdekakan hamba sahaya itu” (Riwayat Muslim) Jadi, jika hamba sahayapun tidak boleh dipukul, apalagi pekerja yang memakan gaji dengan kita.
Ketiga, Islam begitu menekankan kebajikan golongan hamba ini sehinggakan pakaian tuan hendaklah sama dengan pakaian hambanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sahayamu adalah saudaramu yang dititipkan oleh Allah dalam pengurusanmu. Kerana itu, siapa yang mempunyai saudara yang berada dalam pengurusannya hendaklah diberinya makan yang serupa dengan yang dimakannya sendiri dan diberi pakaian yang serupa dengan yang dipakainya sendiri. Dan janganlah mereka kamu beri tugas yang melebihi batas kemampuan mereka. Jika akan kamu tugaskan juga, hendaklah kamu bantu ia.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa Islam begitu prihatin kepada golongan hamba. Dalam konteks hubungan majikan-pekerja, walaupun tidak mungkin pekerja memakai pakaian yang serupa dengan majikan, tetapi sekurang-kurangnya gaji yang diberi itu mencukupi untuk dia membeli pakaian yang dapat menutup auratnya (serta aurat ahli keluarganya) dan bukannya pakaian yang koyak-rabak, misalnya. Begitu juga dari segi kerja, jangan dibebankan pekerja sehingga majikan sudah berada di rumah bersenang-lenang dengan anak-isteri tetapi pekerja masih di pejabat menyiapkan kerja-kerja yang ditugaskan. Begitu juga, jangan sampai terjadi perbezaan yang terlalu ketara dari segi makanan sehingga majikan makan daging dan ayam manakala pekerja makan nasi dan ikan kering setiap hari.
Keempat, tuan dan hamba digalakkan makan bersama-sama. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila hamba sahayamu membuatkan makanan bagimu, kemudian makanan itu dibawanya ke hadapanmu dalam keadaan panas dan berasap, suruhlah ia duduk dan makanlah bersama-sama dengannya. Jika makanan itu hanya sedikit, letakkan di tangannya sesuap atau dua suap.” Dalam hubungan majikan-pekerja pada hari ini, tidaklah bererti majikan perlu makan dengan semua pekerjanya tetapi yang penting ialah kesudian majikan untuk makan semeja dengan pekerja agar hubungan antara mereka dapat dieratkan. Tidaklah seperti yang biasa kita lihat pada hari ini dalam sesuatu majlis di mana pekerja golongan rendah hanya duduk dalam lingkungan mereka manakala pegawai tinggi hanya duduk di kalangan mereka sahaja.
Demikianlah sikap Islam terhadap pekerja, baik yang wanita, mahupun lelaki. Seperti yang saya katakan tadi, konsep decent work dalam Islam begitu luas, bukan sahaja untuk keselesaan di dunia, tapi juga di akhirat. Hubungan majikan-pekerja yang berlandaskan kepasa perasaan kasih-sayang dan kasihan belas juga adalah satu komponen utama dalam konsep decent work dari perspektif Islam. Ternyata Islam lebih awal dalam mengenegahkan konsep decent work ini tetapi tidak ramai dari kita (orang Islam sendiri) yang menyedarinya.
————————————————————————————–
Oleh kerana saya tidak dapat menterjemahkan konsep “decent work” ini dalam Bahasa Malaysia, maka saya akan mengekalkan terminologi ini dengan menggunakan Bahasa Inggerisnya iaitu “decent work” dalam artikel ini.
Prasyarat-prasyarat ini akan dibincangkan sebentar lagi. Dalam Bahasa Inggerisnya “Gender Symposium on Decent Work for Women”.
Ucapan Ketua Pengarah International Labor Office (ILO) tentang Decent Work di Simposium Gender tentang Pekerjaan yang Baik (Decent Work) Untuk Wanita pada 24 March 2000 (www.ilo.org/public/english/…o/speeches/somavia/2000/gender.htm.) www. Ilo.org/public/english/standards/relm/ilc/ilc87/rep-i.htm.
Beliau merupakan Penasihat Khusus tentang Isu-isu Gender dan Pembangunan Wanita kepada Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kofi Annan.
Kenyataan beliau di Simposium tentang Decent Work Untuk Wanita (www.ilo.org/public/english/bureau/gender/beijing5/sympo/king.htm).
Sekurang-kurangnya dapat memenuhi segala keperluan asas pekerja itu dan keluarganya.
Ada pekerja yang gajinya begitu kecil sehingga tidak mampu untuk menghantar anak ke sekolah atau terpaksa memberhentikan persekolahan anaknya separuh jalan.
Jaminan seumpama ini akan membolehkan pekerja membina hidup dan keluarga yang lebih stabil dan tidaklah kucar-kacir kerana asyik keluar masuk dari alam pekerjaan.
Dalam kes pembantu rumah misalnya, mereka tidak sepatutnya diberi lebihan makanan semata-mata.
Mereka tidak boleh bekerja 24 jam sehari atau tujuh hari seminggu.
Tentu sahaja lelaki juga dituntut untuk menutup auratnya ketika bekerja. Mereka juga perlu memaklumkan kepada isteri tentang kerja yang mereka lakukan serta di mana tempat kerja mereka. Dengan itu tidaklah terjadi insiden di mana isteri tidak tahu apa kerja suaminya sehinggalah mereka ditangkap kerana mencuri ataupun tidak tahu di mana hendak mencari suaminya apabila berlaku kecemasan.
Lelaki juga tidak dibenarkan melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan fitrah mereka – menjadi pondan, misalnya. Dan lelaki juga tidak dibenarkan bekerja sehingga menjejaskan fungsi mereka sebagai suami dan ayah – bekerja dua puluh jam sehari misalnya dan balik ke rumah untuk tidur semata-mata. Begitu juga dengan maruah dan keselamatan. Lelaki tidak dibenarkan menjadi gigolo misalnya atau bekerja di tempat kerja yang boleh membahayakan dirinya (melainkan untuk mempertahankan negara).