Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuahnya Cinta merupakan tema bagi sambutan kemerdekaan bagi Malaysia untuk kali yang ke-57. Frasa ini sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada sebuah lagu dendangan penyanyi berjiwa patriotik Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang bertajuk Warisan. Bahkan lirik lagu ini juga sebenarnya menzahirkan kecintaan kepada negara oleh setiap individu yang mempunyai negara.
Mungkin inilah tema yang paling tepat bagi ulang tahun yang ke-57 Malaysia. Hal demikian kerana pada hari ini kita menghadapi krisis dalaman yang cukup buruk tetapi sering dinafikan tahap keseriusannya. Perbalahan di antara kaum, perselisihan di antara penganut agama, cubaan mentafsir Perlembagaan Negara mengikut acuan sendiri, pendukungan ‘hak asasi manusia’ secara membabi buta dengan membuang nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri, isu-isu ekonomi, jenayah dan lebih malang perpecahan dalam bangsa sendiri.
Setiap krisis dalaman yang berlaku sejak akhir-akhir melambangkan betapa murahnya nilai cinta kita terhadap negara. Bahkan lebih malang lagi jika tiada langsung rasa cinta kepada negara. Yang tinggal hanya rasa tamak, benci dan ingin memonopoli nikmat negara itu. Apakah hakikat negara yang sebenarnya bagi seseorang individu? Negara yang sebenar-benarnya bukan hanya sebidang tanah yang luas tempat kita dan individu yang kita suka tinggal dan hidup secara sesuka hati tanpa peraturan.
Sebuah negara terdiri daripada pelbagai ciri sama ada yang kita gemari mahupun sebaliknya seperti masyarakatnya, agamanya, sejarahnya, budayanya, bahasanya, peraturannya, ekosistemnya dan lain-lain. Jika cinta kita hanya jatuh kepada hasil perut buminya sahaja, atau cinta kepada peluang memonopoli nikmat ekonominya tanpa berasa masyarakat lain juga berhak ke atasnya maka ada sesuatu dalam diri kita yang perlu dibaiki tentang pandangan kita terhadap makna sebuah negara.
Seperti seorang ibu dengan anaknya, betapa sukar bagi si ibu melepaskan si anak kepada orang lain dan betapa mudah si ibu menerima kembali si anak yang membuat kesilapan, begitulah analogi hakikat hubungan negara dengan warganegara. Bukan mudah bagi sebuah negara membuang kerakyatan warganegaranya. Sekalipun ada warganegara yang melakukan kesalahan di tempat selain daripada negaranya, negara pasti akan tetap dimaklumkan dan berusaha membantunya sekalipun mungkin usaha itu tidak berjaya. Justeru jika kita berasa negara tumpahnya darah ini merupakan satu bencana, maka hakikatnya sebahagian diri kita telahpun hilang nilai kemanusiaan.
Di Sini Lahirnya Sebuahnya Cinta mengajak setiap warganegara untuk kembali menyayangi dan mencintai negara. Kerana di sinilah tempat lahirnya kita, di sinilah tempatnya kita bercinta dan di sinilah tempatnya kita mencari rezeki buat keluarga. Tanpa negara tidak mungkin kita boleh berdiri di sini dengan ditemani insan-insan yang kita kasihi dan masih lagi boleh bergembira bersama mereka sekalipun mungkin hidup kita tidak mewah.
Pandangan bahawa generasi muda dan belia pada hari ini kurang menghayati maksud kemerdekaan perlu diubah. Hakikat kemerdekaan bagi kebanyakan generasi muda ialah mereka boleh hidup dalam keadaan stabil baik dari segi ekonomi dan sosial, mempunyai banyak pilihan dalam kehidupan, tidak dipaksa berhutang pada usia yang begitu muda, tidak perlu melihat perpecahan dalam bangsa sendiri dan tidak perlu menghadapi konflik di antara penganut agama.
Ini adalah berbeza dengan hakikat kemerdekaan para veteran dan generasi terdahulu yang melihat kemerdekaan adalah perjuangan jiwa dan raga demi mencapai sebuah kebebasan memerintah dan menetapkan hala tuju negara, perjuangan yang mengangkat senjata serta pengorbanan sosial yang terpaksa dilakukan demi membuktikan kesatuan demi mencapai kemerdekaan.
Hakikatnya kedua-dua pandangan ini tidak pernah bercanggah di antara satu sama lain. Malah boleh dikatakan generasi terdahulu memahami kemerdekaan dari sudut mencapai kemerdekaan manakala generasi muda memahaminya dalam konteks mempertahankan kemerdekaan.
Bahkah pengertian kemerdekaan bagi kedua-dua generasi ini saling melengkapi di antara satu sama lain seterusnya menjadikan ‘kemerdekaan’ itu sendiri lebih bermakna. Hal demikian kerana apa ertinya jika merdeka tetapi hidup merempat di tanah air sendiri, apa ertinya merdeka jika perlu menjual maruah agama dan bangsa demi kepentingan sendiri dan apa ertinya merdeka jika hidup sentiasa penuh syak wasangka sesama sendiri.
Pentingnya hakikat kemerdekaan yang sebenar-benarnya ini dipelihara agar anak cucu kita dapat merasa nikmatnya hidup mempunyai negara berbanding sebahagian masyarakat lain di dunia yang dinafikan hak bernegara mereka seperti komuniti Rohingnya di Myanmar dan rakyat Palestin yang terus dijajah hingga hilang tanah air mereka sedikit demi sedikit. Jika perpecahan, permusuhan dan persengketaan yang kita semai, tidak mustahil anak-anak kita akan membesar dengan perasaan benci kepada negara hasil daripada tindak tanduk kita pada hari ini.
Malaysia, tempat lahirnya sebuah cinta mengharapkan setiap individu untuk kembali bermuhasabah fungsi dan kepentingan mempunyai sebuah negara. Hidup dalam komuniti yang majmuk tidak dapat lari daripada mempunyai sifat toleransi dan sabar yang tinggi. Sungguhpun demikian tidak ada sekelompok ahli masyarakat yang dipaksa berkorban sehingga tergadainya agama dan jatidiri bangsa mereka. Inilah uniknya Malaysia, kerana kekuatan negara ini ialah kita ada antara satu sama lain.