Beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-57. Sebagai umat Islam kita patut mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini. Apatah lagi melihat kepada negara kita yang bebas daripada cengkaman kezaliman mahupun kejahilan.
Justeru, kita patut mengekalkan nikmat kemerdekaan yang dikecapi agar kemakmuran negara sentiasa dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Namun begitu, dalam mencapai nikmat kemakmuran dan kesejahteraan itu, apakah persediaan dan peranan generasi muda terutama dalam mengisi kemerdekaan ini?
Sebagai generasi muda yang merupakan kelompok terbesar mengisi ruang populasi kependudukan negara, pastinya peranan mereka terhadap tanah air tercinta amat diperlukan. Antaranya ialah menanam sikap jati diri. Keutuhan jati diri ini perlu ada dalam diri generasi muda supaya dapat menjadi benteng pertahanan kepada diri mereka. Pastinya benteng ini dibina daripada asas akidah dalam mentauhidkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sekiranya benteng ini kuat maka mudahlah menjinakkan hawa nafsu seseorang. Sebaliknya, rapuhnya benteng ini maka tumbang dan robohlah manusia menurut hawa nafsu.
Apabila robohnya benteng pertahanan dalam diri generasi muda sudah tentu mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ancaman daripada pihak yang sedang berusaha memesongkan akidah serta pegangan kepercayaan terhadap Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan generasi muda yang beragama Islam telah hilang keyakinan dan keimanan mereka kepada Islam. Sebagai contoh, ada yang mengaku sebagai Muslim tetapi tidak menunaikan solat. Ada pula yang mengaku beriman tetapi sanggup menghina rasulullah SAW dan sebagainya.
Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman ”Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain, kelak akan porak-peranda kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar bertakwa” (Surah Al-An’am,6:153)
Walau bagaimanapun, apa yang membimbangkan kita hari ini ialah ramai generasi muda yang mudah terikut-ikut dengan budaya barat sehingga melakukan sesuatu perkara yang boleh menggugat akidah. Ada segelintirnya seolah-olah hilang panduan dan pedoman, terutama dalam membezakan yang baik atau yang buruk; yang benar atau yang salah. Inilah permainan minda yang sedang dimainkan oleh pihak musuh untuk mengelirukan umat Islam. Percayalah, apabila umat Islam hilang jati diri dan pegangannya, rapuh pedomannya serta hilang sensitivitinya terhadap agama Islam, maka inilah saat yang dinanti- nantikan oleh musuh Islam.
Pelbagai cara cuba dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan jati diri terutama dalam kalangan generasi muda ini. Antaranya melalui pencemaran budaya, pembohongan fakta, penyebaran racun akidah sama ada melalui media massa seperti facebook, whatsApp, internet, email, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.
Penjajahan minda menerusi media massa seperti ini menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi. Segala maklumat memenuhi ruang sempadan tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan. Itulah sebenarnya media massa yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencanai pemikiran anak muda kini. Cuma jati diri yang utuh bersandarkan kepercayaan kepada Allah dan rasul yang ada dalam jiwa generasi muda ini menjadi benteng untuk menghadapinya.
Sehubungan itu, dalam mengisi kemerdekaan selain meletakkan kepentingan agama dan akidah di tempat yang teratas, pemikiran dan minda generasi muda masa kini perlu dicorak dengan betul bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara tercapai. Begitu juga dengan kapasiti intelektual mereka juga perlu dijana semaksimanya.
Sebagai contoh, dalam membentuk model mithali generasi muda ini terutama dalam mengisi kemerdekaan yang akan memasuki kali ke-57, anjakan paradigma diperlukan bagi membolehkan mereka memahami, menghayati dan mengamalkan kepentingan serta ketinggian falsafah ilmu. Budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya iqra’ yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemai dalam minda generasi muda sebagai pewaris kebanggaan bangsa dan agama.
Bahkan mereka hendaklah memenuhi masa dengan belajar dan mencari sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar. Apatah lagi dunia hari ini bukan sahaja mempertaruhkan keperkasaan semata-mata, bahkan apa yang lebih penting ketajaman fikiran untuk menentukkan untung nasib seseorang. Penumpuan sepenuh perhatian kepada pengajian dan sentiasa mempertingkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan membina sahsiah diri yang terpuji perlu turut dititikberatkan.
Minda sahaja tidak cukup tanpa dipandu oleh nilai-nilai sahsiah dan aspek kerohanian agama yang turut mendidik jiwa dan memandu menjadi insan yang berakhlak. Pembangunan intelektual yang tidak diiringi dengan kekudusan rohani akhirnya akan melahirkan robot-robot yang begitu bijak dalam menganalisa segala pengkajian dan maklumat tetapi realitinya kosong jiwanya. Sabda Rasulullah SAW ”Sesempurna keimanan dalam kalangan kamu ialah mereka yang indah akhlaknya”.
Ironinya, bekalan terbaik buat generasi muda dalam mendepani dan mengisi ruang-ruang di dunia dan gemilang di akhirat ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta. Ini selaras dengan nasihat Luqman al-Hakim yang merupakan mutiara berharga untuk dijadikan pusaka bermakna dalam kehidupan insan. Katanya,“Sesungguhnya kehidupan kita ini ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah ramai manusia yang karam di dalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, muatannya iman sedang layarnya pula adalah tawakal kepada Allah SWT.
Justeru, sebagai generasi muda negara, mereka tidak boleh berpeluk tubuh dan berasa puas hati dengan apa yang dikecapi selama ini. Janganlah menjadikan sambutan Hari kemerdekaan yang bakal tiba ini sebagai satu cuti umum sahaja ataupun sebagai satu pesta untuk bersuka ria. Sebaliknya, bagi memulakan agenda besar ini, generasi muda hendaklah mengisi Hari Kemerdekaan dengan menyuntik nilai-nilai keimanan dan ketakwaan yang sejati. Melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan sepenuhnya.
Di samping menjadikan generasi terdahulu sebagai satu inspirasi untuk terus berusaha gigih menjadi bangsa yang lebih maju. Dengan peranan dan persediaan generasi muda yang lebih utuh ini didoakan agar negara tercinta terus dikekalkan nikmat kestabilan politik, kemakmuran dan keamanan, keteguhan ekonomi dan dijauhkan daripada segala perbuatan buruk dan fitnah yang boleh membawa malapetaka serta kehancuran negara.
Hal ini penting bagi memastikan negara kita selamat, makmur, sejahtera dan sentiasa dibawah keampunan Allah SWT sebagaimana yang dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran “…baldatun taiyyibatun wa rabbun ghafur” yang bermaksud “…Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan Kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang amat baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu) adalah Tuhan yang maha pengampun”.(Surah Saba’, 34:15)