Sememangnya ibadat haji memerlukan tenaga dan pemikiran yang kental, sekaligus memerlukan kesabaran dan ketenangan. Semasa saya menulis artikel ini, umat Islam baru sahaja selesai menyempurnakan ibadat haji dengan berakhirnya acara melontar jamrah pada hari ke-13 Zulhijjah dan selamat menunaikan tawaf dan sa’i haji.
Tawaf dan sa’i selepas melontar jamrah merupakan satu kerja yang amat mencabar. Kalau ketika melontar jamrah, umat Islam berpusu-pusu menyerbu untuk melontar ke sasaran tanpa mempedulikan sesiapa pun, maka ketika tawaf dan sa’i ini, mereka akan bertindak dengan cara yang sama, malah lebih hebat lagi.
Setiap orang mahu menyelesaikan urusan ibadatnya, dia harus ke hadapan dengan menolak dan merempuh sesiapa saja yang berada di hadapannya, tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, yang kuat atau yang lemah, yang pentingnya dia dalam menyempurnakan ibadat dan mengharapkan pahala dan ganjaran Allah s.w.t. dari ibadatnya akan bertindak dengan apa cara sekalipun untuk mencapai matlamatnya iaitu melengkapkan segala rukun dan wajib hajinya.
Dalam proses inilah seorang Muslim itu boleh bertindak agresif, menolak dan merempuh orang lain, mengadu otot dan kekuatan fizikal, menyinggung dan menyiku, malah dalam keadaan-keadaan yang tertentu mungkin akan terpijak orang lain yang terjatuh di hadapannya seperti yang pernah terjadi di Mina dan di sekeliling Kaabah.
Matlamat jemaah haji untuk mencapai kesempurnaan ibadatnya dan menyempurnakan amalannya dengan baik merupakan matlamat yang unggul bagi setiap orang jemaah haji yang pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadatnya itu. Bagaimanapun tujuan ini kadang-kadang melupakan seseorang itu terhadap keselesaan orang lain, kelemahan orang-orang tua dan wanita, orang-orang yang uzur dan sebagainya.
Sikap ego dan mementingkan diri sendiri inilah yang nampaknya agak mencemarkan niat suci dan matlamat unggul sesetengah jemaah yang bertindak di luar batas-batas peradaban dan nilai akhlak kerohanian Islam yang sepatutnya dipupuk dengan sebaik-baiknya ketika berada di tanah suci untuk menunaikan ibadat yang amat penting ini.
Namun dalam keadaan mana sekalipun saya merasakan bahawa ketika manusia berlumba-lumba mencari sesuatu, maka manusia sering menjadi terlalu taksub dengan dirinya sendiri sehingga melupakan saudara seagamanya, melupakan kepentingan orang lain yang lebih ramai darinya dan kadang-kadang menjadi terlalu kasar, agresif dan tidak beradab.
Apa beginikah juga yang akan berlaku ketika manusia dibangkitkan Allah s.w.t. pada hari akhirat nanti untuk dihitungkan dosa pahalanya, kerana pada ketika itu manusia akan secara individu menghadapi perhitungannya di hadapan Allah s.w.t. terhadap apa yang telah dilakukannya di dunia? Maka pada hari itu tidak ada sesiapa lagi yang akan menolong dan membantunya.
Tetapi di tanah suci bukan lagi di akhirat. Manusia ketika menunaikan ibadat haji tentulah masih boleh mengikut peraturan dan menghargai nilai-nilai akhlak kerohanian yang baik. Yang diperlukan mungkin satu penguatkuasaan peraturan yang agak ketat untuk mendidik jutaan manusia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan cara hidup yang amat berbeza. Dan untuk menguatkuasakan peraturan itu pula, satu sistem yang kemas dan baik seharusnya digubal bagi melicinkan perlaksanaan ibadat dan peraturannya, pergerakan logistik dan lain-lain lagi.
Selagi ibadat ini menjadi sesuatu yang tidak terkawal dengan baik, ditambah pula oleh kejahilan sesetengah masyarakat Islam sendiri, dan latar belakang budaya yang kurang berperadaban, maka selama itulah keadaan ini akan berterusan.
Tetapi walau apa pun yang berlaku di tanah suci ketika umat Islam yang berjumlah 1.8 juta orang yang menunaikan ibadat haji tahun ini, jemaah haji Malaysia nampaknya masih dapat mempertahankan nama baik dan maruah rakyat Malaysia dengan ilmu pengetahuan dan nilai akhlak yang baik.
Jemaah Malaysia masih tetap tenang dan sabar walaupun ditolak dan dirempuh dengan kuat oleh jemaah lain yang lebih gagah dan besar bentuk badannya. Jemaah kita tetap masih mampu menunaikan ibadatnya dengan baik walaupun terpaksa berjalan berbatu-batu untuk melontar jamrah di Mina.
Keadaan yang baik ini adalah hasil dari kegigihan jemaah kita mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebelum musim haji dan risalah bimbingan serta panduan, termasuk juga khidmat nasihat dan ceramah-ceramah yang diadakan di tanah suci ketika jemaah sedang mengerjakan ibadat haji mereka oleh Lembaga Tabung Haji.
Umat Islam amat mengharapkan pahala dan keampunan dari Allah s.w.t. melalui ibadat hajinya ini, tetapi sesetengah mereka nampaknya telah lupa bahawa mereka sedang berbuat dosa ketika mencari pahala dan ganjaran Allah itu.
Agenda inilah yang rasanya perlu diusahakan oleh semua negara Islam dalam mendidik umat masing-masing tentang disiplin dan peraturan mengerjakan haji. Syukur nampaknya negara kita telah mengambil langkah itu dan dalam proses untuk mempertingkatkannya dengan lebih sempurna lagi. Itulah doa dan harapan saya dari tanah suci.