Pagi Ahad minggu lalu saya gagahi untuk bangun pagi seawal jam lima. Saya perlu sampai ke KLIA sejam sebelum penerbangan MAS berlepas ke Dubai jam 7.20 pagi, Ahad 20 Jun 2004. Minggu lalu agak ketat bagi saya.
Penerbangan dari KLIA ke Dubai memakan masa yang agak lama iaitu tujuh jam. Selepas Dubai ke Sana’a, Yaman dengan pesawat Gulf Air.
Saya dapatkan akhbar Malaysia untuk bacaan dalam penerbangan dari KLIA ke Dubai. Saya gunakan sepenuh masa membaca akhbar Mingguan Malaysia. Hampir setiap artikel saya baca dan saya tidak pernah lakukan sebelum ini.
Dari satu rencana ke satu rencana. Rencana Istanbul tawar peranan baru oleh Zin Mahmud, Damaikah Iraq selepas 30 Jun? oleh Datuk Seri Zaini Mohd. Said, Penyakit satu ingatan, amaran oleh Dr. Ismail Ibrahim, dan Di medan perang, wartawan adalah musuh oleh Norila Daud.
Dua artikel yang saya baca membawa kita kepada erti peperangan dan akibatnya. Betapa yang memusuhi manusia itu adalah manusia sendiri, peluru tidak mengenali mangsa termasuk orang awam. Betapa orang yang tidak berdosa seperti wartawan menjadi sasaran. Atas sesuatu kepercayaan, dan perbezaan matlamat, kemanusiaan bukan lagi neraca pertimbangan. Nafsu besar dan keangkuhan yang dibina atas kemajuan teknologi menguasai pertimbangan rasional.
Di sini saya ingin menyentuh artikel yang ditulis oleh rakan saya Zin Mahmud dan Dr. Ismail Ibrahim. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah satu pertubuhan negara-negara Islam. Kita masih ingat lagi Sidang Kemuncak OIC di Putrajaya tidak lama dahulu, ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.
Hasil persidangan ini Malaysia telah diberikan kepercayaan mengikut giliran menjadi pengerusi pertubuhan yang besar ini.
Banyak pandangan terhadapnya diselubungi kecurigaan tentang keberkesanannya. Ada pandangan mahu pertubuhan ini disusun semula supaya lebih berkesan dan lebih bermakna kewujudannya.
Beberapa negara seperti Malaysia dan Bangladesh telah mengemukakan calon bagi jawatan Setiausaha Agung OIC. Baru-baru ini dalam satu persidangan yang diadakan di Turki – negara yang pada suatu ketika dikenali dengan empayar Islam Uthmaniah – pemilihan ke jawatan tersebut telah diadakan. Republik Turki telah berjaya mendapatkan jawatan yang penting ini.
Dengan kejayaan tersebut masyarakat Islam menaruh harapan kepada usaha dan tenaga yang akan dibuat oleh Ankara terhadap dunia Islam, seperti hasrat yang sama dikemukakan oleh Malaysia.
Bagi sesetengah orang, Istanbul dan Ankara dilihat dari aspek pelancongan dan sejarah semata-mata. Istanbul masyhur dengan Masjid Biru dan Muzium Tapcapy yang memuatkan pelbagai artifak sejarah Islam termasuk pedang Rasulullah dan pedang bermata dua kepunyaan Saidina Ali.
Dalam muzium itu juga dipamerkan permata-permata yang bermutu tinggi dan `peta perjalanan’ dalam pemerintahan Uthmaniah.
Seperkara yang mungkin orang tidak perasan apabila melawat makam kenangan Mustafa Kamel Attaturk – katanya sebagai simbol bukan jasad yang ada di situ – mereka yang memakai songkok atau topi akan dikehendaki menanggalkannya. Rakan saya yang juga memakai songkok terpaksa melakukannya, atas arahan tentera yang mengawal.
Bangunan Masjid Ankara dilengkapi dengan pejabat dan di bahagian bawah terletak pasar raya. Di Turki tidak ada Menteri Agama. Islam bukan agama rasmi walaupun ramai penganut Islam. Identiti agama tidak boleh ditonjolkan di tempat tertentu.
Pelajar negara kita mengalami kesan dari dasar ini apabila tudung tidak dibenarkan kepada pelajar-pelajar wanita di universiti. Bahkan tidak boleh dipakai dalam Parlimen Turki. Ini kerana dalam Perlembagaan Republik Turki meletakkan negaranya adalah negara sekular.
Peruntukan sedemikian tidak terdapat dalam Perlembagaan Malaysia. Dalam lawatan saya ke Istanbul dan Ankara, Turki sebagai negara sekular adalah jelas. Bahkan di hotel yang kami tinggal ada kasino. Dan kami diberi ingatan tentang makan di hotel.
Dalam pada itu Turki adalah di antara negara Islam yang mempunyai banyak harta wakaf dan menyalurkan bantuan kepada masyarakat minoriti Islam negara lain.
Mustafa Kamel dikenali sebagai bapa Turki Moden. Beliau telah membawa pembaharuan dengan berkiblat kepada Barat. Ini nyata berlaku dalam pembaharuan undang-undang yang dibawa ke negara tersebut dengan berpandukan kepada beberapa undang-undang Barat.
Bagaimanapun terdapat satu pembaharuan dalam bidang undang-undang muamalah/sivil. Turki telah berjaya mengkanunkan undang-undang muamalah dalam majalah al-Ahkam Adliyah. Buku ini mempunyai pengaruh yang luas di negara ini, bahkan menjadi rujukan kepada sarjana-sarjana dan diterima oleh mahkamah oleh Kerajaan Negeri Johor.
Pesawat Airbus A330-200 yang saya menembusi awan biru dan sekali sekala digoncang oleh pukulan angin kencang yang boleh menekan ketenangan. Seterusnya saya ingin menyatakan sesuatu mengenai artikel yang ditulis oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim.
Saya menerima berita pemergian Datin Fatimah yang saya panggil kakak ke rahmatullah pada 12 Jun yang lepas dan ketika itu saya berada di Madinah dengan sekumpulan Mufti dan Pengarah Jabatan Agama yang sedang melawat Arab Saudi atas undangan Kementerian Hal Ehwal Islam dan Wakaf, Arab Saudi. Kami berkesempatan menghadiahkan sembahyang ghaib di Masjid Nabawi, Madinah.
Apabila saya pulang ke Malaysia Khamis lalu, saya berkesempatan berkunjung ke rumah Dr. Ismail pada hari Sabtu, 19 Jun, seminggu selepas peristiwa sedih itu. Saya atas nama keluarga dan warga IKIM mengucapkan takziah di atas pemergian Datin – seperti katanya `Kini segala-galanya hanyalah tinggal kenangan”. Saya beritahu beliau, semasa di Madinah saya ada hantar SMS – ucap takziah, tetapi katanya tidak terima.
Saya pasti mesej dihantar. Mungkin ada kesilapan teknikal menyebabkan tidak diterima.
Sebenarnya semua pasangan hidup di dunia fana ini akan mengalami peristiwa yang sama. Yang kekal hanyalah Allah s.w.t. Yang selain-Nya akan berakhir dan binasa.
Hanya masa yang menentukan giliran masing-masing.