Sesungguhnya bekerja keras dan mencari pendapatan itu suatu perkara yang sangat dituntut agama. Rasulullah s.a.w bersabda dengan antara maksudnya, “Bekerjalah kamu dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kamu hidup selama-lamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olahnya kamu akan mati esok hari”.
Setiap minggu kita akan bercuti selama dua hari sama ada Sabtu dan Ahad, atau Jumaat dan Sabtu bagi sesetengah negeri, kerana negara telah menyediakan sistem kerja sedemikian. Walau bagaimanapun terdapat sektor swasta yang menyusun hari-hari cuti yang tersendiri bagi pekerjanya kerana ia bersangkutan dengan operasi, produktiviti dan perkhidmatan. Dan rata-ratanya semua orang menanti-nanti hari tidak bekerja kerana pada hari tersebut mereka boleh berehat dan melakukan aktiviti bebas.
Walaupun selama ini kita menganggap bahawa bekerja adalah ibadah yang memperuntukkan pahala kepada mereka yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, tetapi kalau diamat-amati, bercuti juga sebenarnya ibadah yang bila diisi dengan perkara yang bermanfaat akan memperoleh pahala juga.
Sekalipun tujuan bercuti itu adalah untuk memberi kerehatan kepada jasmani, baik dari segi perasaan dan pemikiran, akan tetapi ia sebenarnya pelaksanaan terhadap hak yang mempunyai nilai ibadah. Mungkin kita boleh mengambil pengajaran daripada sebuah Hadis; Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdullah ibn Amru ibn Al-‘As, “Wahai Abdullah! Aku diberitahu bahawa engkau berpuasa pada siang hari dan bersembahyang sepanjang malam. Betulkah begitu?” Abdullah menjawab, “Betul ya Rasulullah”. Maka, Rasulullah berkata kepadanya, “Jangan lakukan begitu. Puasa dan berbukalah. Bangun dan tidurlah. Sesungguhnya jasad kamu ada hak, mata kamu ada hak dan isteri kamu ada hak ke atas kamu”.
Berdasarkan kepada pengertian Hadis ini juga, kita boleh memanjangkan pengajarannya dalam sudut bercuti, iaitu cuti juga adalah masa berkualiti untuk dimanfaatkan bagi mempereratkan hubungan di antara ahli keluarga. Dan ini boleh dipanjangkan untuk mengeratkan silaturahim antara kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga dan ahli kariah. Di sini kita dapat melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai anggota masyarakat.
Apabila Kerajaan Arab Saudi memberikan hari kelepasan istimewa ketika sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan dan dilanjutkan kepada lima hari selepasnya, iaitu pada bulan Syawal, ini merupakan suatu insentif daripada pihak kerajaan yang diberikan untuk kaki tangan kerajaan bagi negara tersebut untuk melakukan ibadah dan melaksanakan amal kebajikan mengikut cara masing-masing. Walaupun negara kita tidak memberikan cuti sebanyak itu, tetapi dengan cuti tahunan yang diperuntukkan kepada setiap kaki tangan mahupun pekerja, kita sebenarnya masih boleh merancang untuk bercuti dengan tujuan sedemikian. Dan yang menariknya, apabila berlaku hari-hari perayaan utama di negara kita seperti ketika kita menyambut Aidilfitri, kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Baharu akan lengang kerana warganya yang pulang bercuti ke kampung masing-masing. ‘Balik kampung’ di negara kita telah menjadi satu budaya yang menjadi ‘identiti’ kepada negara dan tidak banyak negara di dunia memiliki budaya seperti ini.
Secara umumnya juga kita mempunyai 12 hari kelepasan umum, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Negeri-negeri mempunyai cuti tertentu masing-masing seperti Hari Keputeraan Sultan atau Raja.
Sistem yang dilaksanakan Malaysia yang turut memperuntukkan cuti sebagai cuti umum kepada penganut agama lain, bukan sekadar selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan pertimbangan keadaan negara yang memiliki rakyat yang berbilang kaum dan agama, ia juga sebenarnya mempunyai nilai dari aspek siasah syar’iyyah. Ini disandarkan kepada pengiktirafan Rasulullah s.a.w sebagai pemerintah negara kota Madinah kepada kaum-kaum Yahudi dan Nasrani untuk mereka mengamalkan agama masing-masing. Tasamuh (toleransi) ini wujud dengan tujuan memelihara keseimbangan dan kestabilan negara dari semua segi seperti ekonomi, sosial dan keselamatan.
Maka, memperuntukkan cuti kepada rakyat merupakan satu tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Ia sepatutnya diguna dan dilaksanakan oleh rakyat dengan membuat perkara-perkara yang berfaedah dan memberikan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara bagi kesejahteraan bersama.