Bayangkan alam ini sebagai sebuah rumah bagi keluarga yang besar. Setiap daripada kita adalah ahli keluarga rumah tersebut. Sebab itu, apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti mempengaruhi ahli keluarga yang lain. Samalah juga dengan alam ini, apa sahaja tindakan pencemaran yang dilakukan oleh seseorang akan memberi kesan kepada individu yang lain, tidak kira di mana sahaja individu itu berada.
Hakikat ini dibuktikan oleh fenomena jerebu yang melanda negara kita. Jerebu merupakan satu bentuk pencemaran merentasi sempadan yang sungguh sukar diatasi. Fenomena jerebu bukan satu masalah baru. Masalah ini telah wujud sejak tahun-tahun 80-an lagi. Namun, masalah jerebu yang berlaku pada tahun 1997 telah mengundang perbincangan yang hebat termasuklah di meja-meja persidangan ASEAN.
Semua ini berpunca daripada kegagalan kita menghayati konsep alam sebagai satu rumah besar.
Walaupun pembakaran hutan berlaku di Sumatera, namun kesannya tetap dirasakan hingga ke Malaysia. Pada ketika para petani di sana membakar hutan, pastinya mereka tidak memikirkan betapa tindakan itu turut dirasai oleh negara jiran mereka.
Jika mereka memikirkannya pun, adakah itu penting? Ini kerana, bukan kali pertama pembakaran itu mempengaruhi negara jiran. Kejadian yang kerap berulang menunjukkan seolah-olah mereka tidak belajar daripada kesilapan lalu.
Namun, bersandarkan kepada semangat ASEAN, Malaysia sedia menghantar pasukan bantuan untuk memadamkan kebakaran di sana. Ironinya, sesetengah orang melihat bantuan ini sebagai satu tindakan melepaskan diri sendiri. Ini kerana, jika tidak dibantu, pembakaran itu akan berlanjutan dan pastinya langit Malaysia akan terus diselubungi partikel terampai dan gas-gas kimia berbahaya.
Ketika kita menyalahkan pembakaran hutan di Indonesia, di Malaysia juga apa kurangnya. Pembakaran terbuka oleh pesawah-pesawah di utara Semenanjung turut memberi kesan kepada masalah jerebu sedia ada. Lebih menyedihkan apabila dalam satu laporan berita televisyen, pesawah-pesawah menyatakan bahawa mereka tidak tahu bahawa tindakan mereka itu akan membawa kesan jerebu.
Hal ini menimbulkan beberapa persoalan. Pertama, adakah maklumat-maklumat sebenar tentang punca jerebu tidak sampai kepada pesawah? Kedua, adakah pendidikan alam sekitar negara ini tidak sampai kepada semua warganegara Malaysia?
Menjawab persoalan pertama, tidak mungkin maklumat punca jerebu tidak sampai kepada petani. Sejak beberapa tahun masalah jerebu melanda negara, maklumat tersebut begitu hebat diuar-uarkan di media cetak mahupun media elektronik. Namun, masalahnya mungkin dari segi pemahaman dan penghayatan.
Pesawah membakar jerami padi kerana itulah kaedah yang paling murah, cepat dan boleh menyuburkan semula tanah. Namun, pesawah perlu disedarkan bahawa tindakan itu boleh meningkatkan masalah jerebu.
Mungkin boleh disampaikan maklumat ini dengan bahasa yang mudah mereka fahami di samping memberikan contoh sebenar. Misalnya, asap tebal daripada pembakaran mengurangkan jarak penglihatan dan boleh mengakibatkan kemalangan seperti yang berlaku pada 21 buah kereta di Kilometer 59.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (di negeri Kedah) pada 25 Januari tahun ini.
Selain itu, mereka perlu diberikan alternatif lain untuk melupuskan jerami padi serta menyuburkan tanah. Mungkin boleh digunakan insinerator bagi tujuan pembakaran dan abu daripada hasil pembakaran boleh ditaburkan semula ke tanah bagi tujuan menyuburkan tanah. Kaedah ini adalah salah satu kaedah yang turut digunakan oleh pesawah padi kecil-kecilan di Jepun.
Berkaitan dengan pendidikan alam sekitar pula. Di Malaysia, tiada subjek alam sekitar diajarkan kepada pelajar sekolah. Ini kerana, pendidikan alam sekitar diajar dalam bentuk merentas kurikulum. Dengan kata lain, ilmu tentang alam sekitar disentuh secara tidak langsung dalam semua mata pelajaran di sekolah.
Dalam masa yang sama, persatuan-persatuan pencinta alam sekitar memainkan peranan utama dalam pendidikan alam sekitar di sekolah mahupun di kalangan masyarakat awam. Namun, usaha ini tidaklah begitu meluas kerana kekangan kewangan dan kakitangan.
Oleh itu, masanya telah tiba bagi pendidikan atau subjek alam sekitar diberikan secara khusus kepada pelajar. Sebagaimana pendidikan agama, sains atau kemahiran, pendidikan alam sekitar juga perlu diberikan seawal usia pelajar agar pemahaman dan penghayatan lebih berkesan dapat di capai. Memang ibu bapa boleh mengajar anak-anak kecil di rumah, namun bagaimanakah ibu bapa boleh mengajar jika mereka juga tidak pernah menerima didikan tersebut.
Perkara paling penting adalah menerima dan menghayati konsep alam sebagai satu rumah besar kerana biar siapa pun ahli rumah/keluarga itu, kita tentu tidak sampai hati menyakiti ahli rumah/keluarga yang lain.
Konsep ini akan lebih difahami serta dihayati jika diajar seawal usia kanak-kanak agar dapat meresap ke jiwa seluruh lapisan masyarakat tidak kira di mana sahaja mereka berada.