Kenaikan harga barangan kini adalah ekoran kenaikan harga minyak. Barang-barang yang naik harga termasuklah minyak masak, telur, ayam, daging, sayur-sayuran, kelapa dan beras – yang merupakan barangan keperluan harian.
Oleh kerana setiap daripada kita adalah pengguna, kita tidak dapat lari daripada merasa terbeban akibat kenaikan harga ini. Jika dahulu, bebanan seperti ini hanya dirasai oleh golongan yang berpendapatan rendah, kini, beban mereka menjadi lebih teruk lagi, malah turut dirasai oleh golongan yang berpendapatan sederhana.
Walaupun dari satu segi kita amat mengharapkan pihak kerajaan untuk mengawal harga barang bagi mengurangkan beban rakyat, dari segi yang lain, para pengguna sendiri perlu mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang ini terhadap pendapatan mereka.
Dalam situasi ini, pengguna perlu berjimat dan `berkira’ ketika berbelanja. Kalau dahulu, kita telah pun mengamalkan sikap jimat cermat ini, kini kita perlu lebih bersungguh-sungguh dan meluaskan lagi pengunaannya dalam lebih banyak bidang.
Sebagai contoh, jika dahulu kita berjimat dari segi penggunaan petrol memandangkan harganya yang meningkat, kini mungkin kita perlu luaskan amalan berjimat cermat ini dalam hal-hal lain seperti mengurangkan makan di luar, membeli ikan dan sayur di pasar dan bukannya di pasar raya, menyediakan bekalan kepada anak-anak di sekolah dan sebagainya.
Sehubungan dengan pengunaan wang dan harta, Islam menuntut kita untuk tidak kedekut dan tidak pula boros, sebaliknya, bersederhana. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud,
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (al-Furqan: 67).
Oleh yang demikian, umat Islam wajib memenuhi tuntutan ini, lebih-lebih lagi di zaman kenaikan harga minyak yang membawa bersamanya kenaikan harga barangan keperluan yang lain.
Perancangan
Untuk memastikan beban kenaikan harga itu dapat diminimumkan, perancangan kewangan amat penting. Lazimnya, ramai yang puas hati apabila pendapatan bulanan mereka dapat menampung perbelanjaan mereka untuk bulan tersebut. Ini bermakna, semua pendapatan mereka dibelanjakan pada setiap bulan.
Sebenarnya, pengurusan kewangan yang baik mengambil kira simpanan atau tabungan. Dalam kata-kata lain, pendapatan perlu diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Simpanan perlu ada untuk kegunaan masa depan.
Inilah pengajaran yang harus kita pelajari dari kisah Nabi Yusuf yang mentafsirkan mimpi khalifahnya dengan begitu baik sekali sehingga negara tersebut dapat mengelakkan kebuluran pada musim kemarau yang teruk.
Begitu juga dengan kita kini, walau berapa kecil atau besar pun pendapatan kita, peruntukan untuk tabungan perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan kita.
Di peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama oleh suami isteri supaya mereka faham dan jelas tentang keadaan ekonomi mereka dan dapat menyumbang idea tentang bagaimana sumber yang ada dapat digunakan seoptimum yang mungkin.
Hasil perancangan ini pula hendaklah dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham tentang masalah yang dihadapi oleh keluarga dan bersama-sama berusaha ke arah matlamat penjimatan yang ingin dicapai.
Banyak langkah penjimatan yang boleh dilaksanakan dalam keluarga. Selain penjimatan elektrik, air dan telefon, sumber keluarga dapat dipanjangkan hayatnya dengan mengurangkan kekerapan makan di luar, mendidik ahli keluarga membezakan antara `barangan keperluan’ dan `barangan kemahuan’, mengurangkan kekerapan kunjungan ke tempat membeli-belah bagi mengelakkan rambang mata dan sebagainya.
Dalam era kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak. Ini memerlukan ilmu dan ilmu diperoleh melalui pembacaan dan pembelajaran. Adalah sesuatu yang ironi bila mana untuk satu kemahiran hidup yang penting – kemahiran menguruskan kewangan – kita tidak diajar mengenainya secara formal.
Mengurus
Di sekolah, kita mungkin diajar tentang bagaimana menguruskan kewangan syarikat – satu kemahiran yang belum tentu diperlukan oleh semua. Tetapi, kita tidak pernah diajar tentang bagaimana menguruskan kewangan peribadi atau kewangan keluarga – satu kemahiran yang tentu diperlukan oleh semua.
Kini ada buku bertajuk Cukup Wang Hati Tenang yang merupakan satu panduan kewangan peribadi dan keluarga. Buku yang ditulis oleh Rohani Mohd. Shahir ini memberikan panduan yang lengkap mengenai pengurusan kewangan, perbelanjaan, pengurusan hutang, pelaburan dan seumpamanya. Ia boleh dijadikan rujukan sekiranya anda serius untuk menguruskan kewangan keluarga dengan baik.
Di tempat kerja, warga kerja perlu faham mengapa sesuatu langkah penjimatan itu perlu diambil. Arahan demi arahan, tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan mendapat respons yang baik.
Oleh itu, para pekerja perlu melihat jumlah bil elektrik dan air pada setiap bulan, untuk faham mengapa mereka perlu mengurangkan penggunaannya.
Begitu juga, para pekerja sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan menghantarkan isyarat-isyarat yang bertentangan. Misalnya, para pekerja disuruh berjimat cermat dalam penggunaan elektrik dan air, sedangkan pihak pengurusan sering dilihat berbelanja secara tidak berhemah.
Di pihak para peniaga Islam pula, inilah masanya untuk mereka beribadat melalui profesion tersebut. Menaikkan harga berlipat kali ganda ekoran kenaikan harga minyak memang menguntungkan.
Namun, dalam Islam, tujuan perniagaan bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata. Sebaliknya, ia juga merupakan satu platform untuk beribadah.
Tuntutan-tuntutan Islam agar peniaga bersifat amanah, tidak menindas dan tidak menyorok barang adalah ruang-ruang ibadah. Perkara-perkara ini juga yang membawa keberkatan dalam sembilan per sepuluh rezeki yang Allah janjikan melalui perniagaan itu.