Rakyat negara kita selama ini telah menunjukkan contoh yang baik dalam bertolak ansur sesama sendiri menerusi toleransi agama, budaya dan kehidupan sosial umumnya. Dalam beragama, kita telah menunjukkan model yang amat baik. Dengan kewujudan berbagai-bagai agama di negara ini, nampaknya kita telah dapat mengharmonikan penganut berbagai agama itu. Demikian juga dalam kesepaduan kehidupan budaya dan sosial, nampaknya kita tidak mempunyai banyak masalah dalam mengadaptasikan kepelbagaian budaya. Ini kerana setiap etnik dan kaum diberi kebebasan untuk mengamalkan cara hidup dan adat istiadat masing-masing tanpa menyinggung perasaan orang lain. Peraturan kita tidak pernah memaksa sebarang individu supaya menukar namanya menjadi nama etnik tertentu.
Dalam bidang pendidikan, pembangunan sekolah jenis kebangsaan memberi gambaran yang cukup jelas tentang dasar toleransi terhadap perkembangan bahasa dan budaya kepelbagaian etnik yang cukup luas, sehingga di dalam sekolah jenis tersebut terdapat pelbagai kaum pula yang memasukinya, seperti yang dijelaskan baru-baru ini tentang bilangan pelajar Melayu yang memasuki sekolah jenis kebangsaan Cina.
Kebebasan beragama merupakan satu perwatakan negara kita dengan kepelbagaian penganut agama, dan masing-masing mempunyai hak untuk mengamalkan ajaran agamanya secara aman dan harmoni. Maka dengan itu tumbuhlah rumah-rumah ibadat yang menjadi simbol tentang kebebasan beragama di negara kita.
Model terbaik dalam politik yang kita amalkan di negara kita merupakan satu model yang amat unik di dunia ini, iaitu amalan berkongsi kuasa di antara kepelbagaian kaum, kebebasan bersuara secara terkawal, amalan demokrasi secara persefahaman yang baik di antara berbagai-bagai kaum, pembahagian kekayaan negara secara adil, dan sikap bertolak ansur serta saling memberi dan menerima yang diamalkan selama ini. Hal ini semua menggambarkan satu cara hidup dan amalan baik secara persefahaman yang telah diamalkan selama ini dengan penuh kesedaran di antara rakyat pelbagai kaum.
Amalan kekerasan di antara manusia, iaitu yang gagah menindas yang lemah, yang berkuasa menjajah yang mundur, yang kuat melakukan kekejaman terhadap yang miskin dan jahil, merampas harta benda dan negara orang lain, memperlakukan amalan di luar batas-batas kemanusiaan terhadap sesiapa sahaja yang melawan dan berjuang untuk menegakkan keamanan atau membebaskan negara mereka, maka semuanya ini merupakan penyakit yang menular di dalam masyarakat manusia menjelang alaf baru yang telah berlalu itu.
Tidak syak lagi bahawa perbuatan itu merupakan perbuatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan yang merupakan penyakit pada abad lalu. Ia merupakan percaturan dunia moden di mana gergasi akan bertindak liar ke atas kancil dan tikus tanpa belas kasihan sedikit pun. Inilah salah satu penyakit hati manusia yang diterjemahkan ke dalam tindakan yang mengakibatkan penjajahan berlaku sesama manusia, penindasan amat berleluasa, pembunuhan dan kekejaman telah dapat dijustifikasikan sebagai satu helah yang halus untuk menghapuskan keganasan, sedangkan keganasan itu masih merupakan satu istilah yang ditafsirkan secara berat sebelah mengikut selera tekanan penjajahan dan perhambaan.
Sejak 11 September, dan sejak tersebarnya kenyataan-kenyataan yang mengakibatkan tudingan jari kepada individu-individu yang tertentu, terutamanya individu yang mempunyai nama Islam, maka bom jangka dan pekoung di dada yang selama ini belum meletup, tiba-tiba meletup dan terbuka, dengan itu orang Islam menjadi sasaran kecaman dan permusuhan. Segala macam label keganasan dan kejahatan mulailah dilemparkan ke atas orang Islam dan hal ini terus menerus menghantui orang Islam sendiri.
Di negara jiran kita sendiri, terdapat media massa yang tumpang menyiarkan tulisan-tulisan yang bukan sahaja mengecam orang Islam, malahan mengecam amalan agama Islam itu sendiri dengan menyatakan bahawa orang Islam yang khusyuk mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam itu mempunyai potensi untuk melakukan keganasan dan kekejaman kepada orang lain. Kita tidak akan merasa kesal sekiranya orang memusuhi individu yang ganas dan jahat, tetapi kita tentulah merasa kesal sekiranya hal itu dikaitkan dengan amalan dan ideologi agama kita sendiri. Dalam sebarang masyarakat mana sekali pun, akan terdapat individu yang jahat, tetapi hal itu tidak memberi ruang kepada sesiapa pun untuk mengecam agama orang yang jahat dan ganas itu.
Kita mengetahui bahawa peristiwa 11 September yang memakan mangsa lebih kecil daripada mangsa peperangan Bosnia telah menjadi berita dunia yang menunggang balikkan dunia seluruhnya sehingga mengubah senario alam keseluruhannya seolah-olah itulah penghujung kehidupan dunia ini.
Oleh itu dalam mengambil iktibar daripada peristiwa ini, saya merasa gembira dan bersyukur, bahawa masyarakat negara kita masih dapat mengerti dan memahami keadaan sebenar dalam kehidupan bermasyarakat dengan kepelbagaian kaum dan agama ini, serta dengan kepelbagaian jurang pendidikan dan ekonomi yang sedang melalui proses pemulihan dan pembaikan secara adil. Kita semua masih menghayati dan merealisasikan falsafah kehidupan bersama secara produktif yang menjadi amalan dan pegangan semua. Maka dasar toleransi dan persefahaman adalah merupakan jalan dua hala yang seharusnya dijaga dengan teliti oleh semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.