Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering dilaporkan tentang kes-kes kematian yang melibatkan spesies penyu di persisiran pantai negara ini. Menurut Jabatan Perikanan Pahang, sepanjang tahun 2017 hingga 2019 sebanyak 80 kes kematian penyu agar dan lipas direkodkan yang membabitkan daerah Pekan dan Rompin.
Dalam kes yang lain, turut dilaporkan bahawa kadar kematian penyu di Terengganu juga berada pada tahap yang membimbangkan apabila sebanyak 55 kes telah direkodkan oleh Jabatan Perikanan Terengganu sepanjang tahun 2020. Manakala, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 20 kes kematian telah dilaporkan kepada pihak jabatan. Angka-angka kematian ini pastinya membimbangkan kerana ia hanya menunjukkan kadar kematian yang dilaporkan sahaja. Mungkin jumlah sebenar adalah lebih besar kerana tidak mustahil terdapat juga kes-kes kematian yang tidak dilaporkan kepada jabatan.
Kebanyakan kes-kes kematian penyu yang dilaporkan adalah disebabkan oleh tersangkut pada pukat nelayan, kemalangan akibat kipas bot pelancong, perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mencuri telur, dan pencemaran plastik di laut yang turut menyumbang kepada kematian penyu apabila reptilia berkenaan memakan sisa plastik yang disangkakan obor-obor.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan, kerana kepupusan penyu akan memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada ekosistem marin tetapi juga kepada manusia yang banyak bergantung kepada sumber marin untuk kelangsungan hidup seharian. Justeru, usaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan memelihara penyu perlu dipergiat dan dipromosikan dengan meluas. Usaha ini penting agar masyarakat lebih prihatin dalam tindak tanduk seharian dan juga aspek penjagaan alam sekitar supaya tidak menjadi penyumbang kepada kemerosotan spesies berkenaan.
Masyarakat perlu disedarkan bahawa setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini mempunyai peranan masing-masing, yakni saling berinteraksi dan berkesinambungan antara satu sama lain bagi memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Quran menerusi firman-Nya dalam Surah al-Qamar, ayat 49 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” Dalam Surah ar-Ra’ad, ayat 8 Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “…dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu.”
Bagi spesies penyu, ia memainkan peranan yang cukup besar dan penting di dalam ekosistem marin. Antaranya, spesies ini merupakan sebahagian daripada rangkaian ekosistem marin. Dalam konteks ini, rangkaian yang terbentuk akan saling mengikat antara satu sama lain. Sekiranya ikatan ini terpisah, maka ia akan memusnahkan hidupan marin yang lain.
Sebagai contoh, spesies yang memakan rumpai laut seperti penyu agar akan membantu merapikan rumpai laut. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan membolehkan lebih banyak cahaya matahari sampai ke dasar laut, sekali gus membantu rumpai laut untuk tumbuh dengan lebih subur dan sihat. Rumpai laut yang subur dan sihat ini pula akan berperanan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida sebagai proses fotosintesis. Dalam kitaran ini, oksigen yang dibebaskan akan bertindak menstabilkan kandungan oksigen di dalam laut, sekali gus membantu kelangsungan hidup spesies marin lain seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya.
Selain itu, kewujudan penyu juga dapat membantu menstabilkan jumlah populasi pemangsa dan mangsa di dalam ekosistem marin. Misalnya, terdapat spesies penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman dan obor-obor. Sekiranya penyu pupus, ia akan menyebabkan berlakunya kemusnahan yang serius terhadap ekosistem marin.
Dalam konteks ini, ia akan menyebabkan sesetengah kawasan dipenuhi oleh spesies obor-obor sahaja kerana sistem rangkaian di dalam ekosistem berkenaan telah terganggu. Apabila obor-obor membiak dengan banyak, ia akan memakan hidupan marin yang lain terutamanya ikan. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan merencatkan pertumbuhan dan pembiakan populasi ikan pada masa akan datang. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan jumlah ikan berkurang dan paling membimbangkan ia akan menyebabkan ikan mengalami kepupusan.
Begitu juga, sekiranya penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman pupus, ekosistem terumbu karang juga akan diancam kemusnahan akibat di makan oleh tapak sulaiman kerana sudah tiada lagi pemangsa di kawasan tersebut. Bagi penyu yang memakan alga merah pula, apabila spesies tersebut pupus, alga merah akan membiak dengan banyak dan seterusnya membunuh ekosistem terumbu karang. Apabila ekosistem terumbu karang musnah, ia akan turut merencatkan populasi ikan di dalam habitat berkenaan.
Justeru, melihat kepada peranan penting yang dimainkan oleh penyu, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kelangsungannya terus terpelihara. Sementelah, terdapat beberapa prinsip penting yang telah digariskan oleh Islam berkaitan hubungan antara manusia dengan alam dan segala komponen yang ada di dalamnya yang sewajarnya dihayati oleh kita dengan baik.
Prinsip pertama yang digariskan ialah, Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Setiap ciptaan-Nya menjadi bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Seterusnya prinsip yang kedua ialah, manusia merupakan sebahagian daripada alam ciptaan Allah SWT dan mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar. Manusia juga ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk menguruskan bumi dan segala komponen yang ada di dalamnya dengan sebaik mungkin sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya…”
Prinsip yang ketiga ialah, konsep keadilan dalam Islam meliputi semua makhluk termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya di atas muka bumi. Seterusnya prinsip yang terakhir ialah, manusia tidak berhak untuk mengeksploitasi sumber alam dengan sewenang-wenangnya kerana segalanya adalah milik mutlak Allah SWT. Justeru, sama-sama kita renungkan dan hayati prinsip-prinsip yang telah digariskan ini agar ia dapat diterjemah dan dipraktikkan dengan baik demi kelestarian alam sekitar dan kelangsungan seluruh hidupan di dalamnya.