Bulan Ramadan adalah bulan suci dalam Islam, satu bulan yang lebih baik daripada seribu bulan. Kebaikan yang telah diberi oleh Allah di sepanjang bulan mulia ini amat banyak dan tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Ini menuntut setiap umat Islam supaya tidak melepaskan setiap saat untuk merebut pelbagai peluang yang ada demi kemajuan diri.
Sememangnya bulan Ramadan telah memberi peluang kepada umat Islam untuk memperbaiki dan memajukan diri dalam segenap lapangan kehidupan mereka. Memang sudah terlalu biasa didengar ia sebagai bulan memuhasabah diri atau bulan memperbaiki diri dengan memperbanyakkan ibadah dan amalan mulia. Dan inilah peluang yang seharusnya direbut oleh setiap Muslim.
Ramadan juga sering disebut sebagai bulan untuk melatih diri dalam membina ketakwaan dan meningkatkan kekuatan iman. Ia turut dikenali sebagai bulan untuk menyucikan diri daripada pelbagai dosa, perangai buruk dan perilaku yang tidak bermoral.
Umat Islam juga sering diperingatkan bahawa ibadah puasa yang telah dikerjakan secara sempurna dan diterima Allah akan menjadikan mereka sebagai seorang hamba yang taat, bertakwa dan tidak lagi melakukan kegiatan dosa dan jika sebaliknya, bermakna ibadah puasanya tidak diterima.
Oleh yang demikian, bagi memastikan ibadahnya itu diterima Tuhan, mereka akan berusaha untuk memastikan agar tiada lagi amalan berunsur dosa dan maksiat dilakukan dalam kehidupan. Mereka telah berazam seboleh-bolehnya tidak akan mengulangi lagi dosa yang telah dilakukan, baik dari yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada dosa yang lebih besar.
Satu perkara yang dianggap remeh oleh kebanyakan umat Islam kini adalah berkaitan gejala ketagihan rokok dan tembakau. Mereka seolah-olah keliru dan tidak jelas akan perihal hukum merokok pada pandangan Islam, walaupun terdapat bukti dan hubung kait yang jelas antara rokok dan pelbagai gejala penyakit berbahaya, di samping fatwa berkaitan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Walhal dalam Islam, merokok dilihat sebagai satu amalan yang tidak berfaedah langsung, malah lebih banyak mengundang kemudaratan dan pembaziran. Perkara ini sudah tentu menjadi satu dosa dan amat dilarang.
Ulama Islam di seluruh dunia termasuklah Mufti Mesir, Dr. Nasr Fareed Wassil telah memutuskan bahawa amalan merokok adalah dilarang dalam Islam dan perbuatan ini amat bercanggah sama sekali dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan seorang Muslim.
Dan jika ditinjau dari sudut kesihatan pula, terdapat sejumlah 90 peratus kes barah paru-paru adalah disebabkan oleh amalan merokok dan risiko penyakit ini turut dikongsi oleh perokok pasif.
Lebih kurang 95 peratus perokok yang telah disahkan menghidapi penyakit ini akan mati dalam tempoh lima tahun selepas menjalani pemeriksaan atau rawatan. Ini kerana tidak terdapat lagi rawatan yang benar-benar efektif dapat menyembuhkan penyakit barah jika tidak dikesan di peringkat awal, manakala rawatan pemindahan paru-paru pula amat sukar diperoleh.
Sama ada mereka keliru atau dikelirukan oleh rasa ketagihan yang melampau, hakikatnya, umat Islam negara ini merupakan penagih rokok yang teramai meliputi hampir 1 juta orang atau 35 peratus daripada 2.4 juta orang perokok.
Begitu juga, jumlah penagih rokok dan tembakau di kalangan remaja semakin ada peningkatan baik lelaki ataupun anak gadis. Adalah dianggarkan terdapat seorang perokok remaja perempuan bagi setiap empat orang perokok remaja lelaki pada masa ini.
Dan nisbah ini akan menjadi kepada seorang remaja perempuan untuk setiap seorang remaja lelaki untuk tempoh sepuluh tahun akan datang jika tindakan pencegahan tidak dilakukan. Pada masa itu, jumlah penagih rokok wanita dewasa juga akan mencecah kepada 30 peratus.
Dalam usaha mendidik dan menyedarkan umat Islam daripada kelalaian kerana ketagihan rokok dan tembakau, satu kempen berhenti merokok peringkat kebangsaan dikenali Nafas Baru Bermula Ramadan telah dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama dari beberapa agensi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Clearing House for Tobacco, Universiti Sains Malaysia (USM).
Usaha yang murni ini diadakan bersempena bermulanya bulan Ramadan, memandangkan kadar umat Islam yang merokok di bulan ini didapati telah menurun secara mendadak berbanding pada masa lain. Malah ada yang terus berjaya melepaskan diri dari belenggu ketagihan dalam bulan yang mulia ini.
Oleh demikian, umat Islam yang merokok wajarlah mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk meninggalkan tabiat buruk amalan merokok, di samping ia dapat meningkatkan tahap kesihatan diri yang baik, ia juga turut menghindarkan mereka daripada dosa akibat pembaziran dan kealpaan yang beriringan dengannya.
Kini hampir sebulan umat Islam negara ini menjalani ibadah puasa di bulan yang suci ini. Berakhirnya Ramadan ini tidak bermakna akan berakhir juga keinginan dan usaha untuk berhenti merokok. Sewajarnya usaha baik ini diteruskan pada setiap masa.
Ketibaan Syawal dengan menjelangnya Aidilfitri minggu depan tidak pula wajar dicemari dengan asap rokok selepas selesai menikmati juadah ketupat dan rendang. Semoga amalan berpuasa sebulan yang telah dilaksanakan itu diterima Allah dan tidak menjadi sia-sia dengan hanya berlapar dan dahaga semata-mata.