Rasulullah s.a.w. telah berjaya menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakatnya sehingga menjadi insan yang berilmu, beriman dan bertakwa serta mempunyai sifat ihsan serta bersedia berkorban mempertahankan Islam semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.
Pendidikan berlaku dalam dua bentuk iaitu formal dan non-formal. Pendidikan tidak formal berlaku dalam berbagai keadaan dan bentuk penyampai termasuk oleh ibu bapa, rakan sejawat dan persekitaran. Sementara pendidikan formal berlaku di tempat yang khusus seperti di sekolah, madrasah, kolej dan universiti – di bilik-bilik darjah, dewan kuliah dan bilik seminar, laborateri, mempunyai kurikulum dan peperiksaan dan berakhir dengan pemberian sijil, diploma dan penganugerahan ijazah. Kedua-dua bentuk pendidikan ini saling lengkap melengkapi.
Pendidikan Islam memberi perhatian kepada dua bentuk pendidikan tersebut, bahkan menekankan tentang peranan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak. Ini dapat diambil daripada cerita Lokman menasihati anaknya seperti yang terdapat dalam surah Lokman, ayat 13-19. Antara perkara yang disebutkan adalah :
i. Jangan mensyirikkan Allah dengan apa jua. (ayat 13).
ii. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa. (ayat 14)
iii. Sesuatu yang baik dan buruk, sekecil manapun akan diadili di hari akhirat. (ayat 16)
iv. Dirikanlah sembahyang serta menyuruh berbuat kebajikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran serta bersabar di atas segala bencana yang menimpa. (ayat 17)
Dalam sebuah hadis oleh Umar Ibn Abu Selamah menceritakan ketika beliau kanak-kanak, nabi mengajaknya makan bersama dan baginda bersabda bermaksud:
Wahai anakku, mari dekatku. Mulakan dengan menyebut nama Allah dan mulai makan (mengambil makan) dari bahagian pinggan yang berhampiran dengan kamu dan gunakan tangan kanan.
Islam mengambil berat tentang pendidikan atau talim bahkan ayat yang pertama diturunkan adalah mengenai suruhan membaca iaitu Iqra dan memberi martabat yang tinggi kepada mereka yang berilmu. Sudah menjadi tradisi masyarakat Islam menghantar anak-anak mereka kepada muallim atau guru untuk menimba ilmu. Sejarah mencatatkan di zaman permulaan Islam anak-anak diberi kepada guru yang bukan Islam untuk belajar membaca dan menulis.
Pada peringkat permulaan, masjid dan rumah persendirian adalah tempat pembelajaran. Sejarah mencatatkan ulama besar dahulu merantau mencari ilmu pengetahuan seperti di Madinah, Damsyik, Baghdad serta Andalusia dan Kaherah. Khalifah dan mereka yang berada mengambil tutor atau guru persendirian datang ke rumah mengajar anak-anak mereka. Amalan kita ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka ke kelas tuition dan adakala di rumah. Lazimnya, pelajaran yang diberi tuition adalah mata pelajaran seperti Sains dan Matematik, tidak termasuk Pendidikan Islam.
Menurut Prof. Dr. Muhamad Abdul Rauf, pembahagian ilmu kepada ilmu agama dan ilmu dunia berlaku kerana salah tafsir dan salah faham maksud ayat dalam surah al-Najm, ayat 29-30. Ayat tersebut menegur sikap orang musyrik Makkah yang berpaling dari ajaran Islam dan mereka tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata dan menjadi matlamat terakhir mereka.
Sebenarnya Islam tidak mendiskriminasikan ilmu. Bahkan Islam menggalakkan umatnya menguasai segala bidang ilmu pengetahuan, sama ada sains, teknologi, sastera dan agama. Membezakan antara ilmu dunia dan ilmu agama akan menjadi penghalang kepada kemajuan umat Islam. Justeru segala usaha untuk membangunkan ilmu dalam apa jua bidang, dengan tidak mengabaikan asas-asas utama ajaran agama Islam, adalah sama dituntut oleh Islam. Ilmu dunia atau ilmu fardu kifayah juga dituntut oleh Islam. Ia tidak boleh didiskriminasikan oleh umat Islam. Umat Islam perlu menguasai kedua-dua bidang ilmu ini. Dengan demikian akan menjadi umat yang kuat dan maju.
Pendidikan adalah merupakan sebahagian daripada hak asasi setiap orang. Ibu bapa mempunyai pilihan untuk menentukan corak dan jenis persekolahan yang hendak diberikan kepada anak-anak mereka.
Adalah menjadi matlamat pendidikan Islam di negara kita untuk membentuk sahsiah pelajar yang baik, sehingga dapat menilai di antara yang baik dan buruk dan di antara benar dan batil; dapat membezakan antara budi pekerti yang mulia dan keji. Ilmu yang diperoleh bukan untuk kepentingan ilmu atau mendapatkan sijil atau ijazah semata-mata akan tetapi untuk difahami dan dihayati di dalam kehidupan.
Dalam Islam tujuan memperoleh ilmu bukan terbatas kepada kemajuan kehidupan di dunia sahaja akan tetapi mencakupi alam selepas kehidupan di dunia. Memberi erti ilmu itu dapat memberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Janganlah menjadi seperti maksud firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 200 yang bermaksud :
Ada di antara manusia (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
Pada peringkat permulaan pendidikan Islam lebih memberikan penekanan kepada ulum syariah atau lebih khusus lagi mata pelajaran agama Islam. Dengan pendidikan agama orang Melayu dapat mempertahankan diri daripada pengaruh ajaran agama yang dibawa oleh penjajah Barat. Pegangan orang Melayu sukar dihakis adalah oleh sebab pegangan dan kepercayaan mereka yang kuat kepada ajaran Islam walaupun dari aspek penghayatannya tidaklah begitu menyeluruh. Pendidikan Islam di zaman penjajah telah diabaikan oleh pihak berkuasa ketika itu, bahkan dicurigai matlamatnya. Mereka lebih mementingkan perdagangan.
Apabila meneliti Pernyataan Dasar dan Strategi Perlaksanaan Pendidikan Islam dan Moral, jika dilaksanakan dengan berkesan adalah berkemampuan untuk membekalkan pelajar-pelajar Islam dengan pengetahuan Islam asas atau fardu ain. Di negara kita pelajar-pelajar Islam berpeluang mempelajari agama sejak dari umur enam tahun – bahkan di peringkat prasekolah bagi kanak-kanak yang berpeluang.
Persoalannya sejauh mana pengetahuan Islam yang diperoleh di sekolah dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian dan akhirnya meresapi di jiwa dan membentuk sahsiah pelajar.
Apa yang kelihatan diberi keutamaan oleh guru-guru atau ustaz-ustaz adalah memastikan sukatan pelajaran telah disampaikan semuanya dan tiada mana-mana bahagian yang ketinggalan. Ini jelas menunjukkan orientasinya adalah peperiksaan dan bukan tarbiah. Justeru dasar yang menyatakan tentang penekanan yang lebih besar kepada penerapan etika yang baik dan moral yang tinggi di kalangan pelajar Islam sukar untuk dicapai sepenuhnya. Begitu juga dengan strategi meningkatkan penghayatan fardhu ain di kalangan pelajar-pelajar Islam. Terdapat rungutan yang menyatakan bahawa ada di kalangan pemohon-pemohon pekerjaan yang ditemui tidak dapat menjawab beberapa soalan tentang sembahyang fardu. Ada kajian telah dibuat dan memperakui keadaan ini.
Sistem Pendidikan Kebangsaan telah berjaya melahirkan generasi yang boleh membaca dan masyarakat yang berilmu pengetahuan, akan tetapi kejayaan tersebut tidak memadai jika aspek sahsiah terabai atau runtuh. Gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mencerminkan kegagalan dalam aspek pembentukan sahsiah mulia.