Al-Syirazi menyatakan bahawa ‘al-hisbah’ ialah tindakan mencegah perbuatan atau perkara yang boleh mengakibatkan bencana dan mudarat kepada orang ramai. Ada juga yang memaksudkan tugas dalam hisbah ialah menjalankan amal makruf dan nahi munkar dalam semua urusan yang tidak menjadi tugas khusus pegawai-pegawai tinggi kerajaan, hakim-hakim dan pegawai-pegawai jabatan kerajaan yang lain. Petugas badan hisbah mempunyai bidang kuasa untuk menggesa mana-mana orang untuk menunaikan solat Jumaat, bercakap benar, menunaikan amanah dan amalan-amalan baik yang lain. Ia juga boleh melarang atau mencegah seseorang daripada berdusta dan melakukan khianat.
Dalam urusan yang berkaitan dengan muamalah umpamanya, hisbah berperanan mencegah peniaga daripada melakukan perbuatan menyorok barang, ataupun memaksa peniaga terbabit untuk mengeluarkan barangan yang disorok dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan. Selain itu mereka yang bertugas dalam bidang ini mempunyai kuasa untuk membuat pemantauan terhadap harga barang dan timbangan atau sukatan sehinggalah kepada urusan jual beli atau perjanjian yang haram. Hisbah turut berperanan melindungi golongan petani yang tinggal jauh di kawasan-kawasan pedalaman daripada menjual hasil tanaman kepada orang tengah tanpa sebarang manipulasi.
Dalam keadaan sara hidup yang semakin tinggi ini, kebimbangan rakyat adalah terhadap kuasa beli mereka terutamanya kepada barangan keperluan asas (barangan daruriyyah). Keadaan ini juga memungkinkan pihak peniaga atau pengeluar produk mengeluar atau menjual barangan yang rendah mutu supaya hasil keluaran dapat terus dibeli oleh orang ramai.
Bagi pandangan penulis, pesanan bagi rakyat supaya berjimat cermat sebenarnya kurang tepat kerana modal yang ada pada mereka mungkin jauh lebih kurang daripada kuasa beli yang ada. Di peringkat ini apa yang lebih tepat bagi golongan pengguna mahupun rakyat adalah dengan membuat tindakan/pilihan secara bijaksana supaya kelangsungan hidup dapat diteruskan dengan selesa. Umpamanya pada bulan lepas rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga beras secara mendadak antara 10 hingga 20 peratus. Bagi kalangan yang kurang mampu, maka pilihan yang boleh dibuat adalah dengan membeli beras dengan gred yang lebih rendah daripada sebelumnya. Yang malang adalah bagi kalangan yang sememangnya kurang mampu.
Dalam kemelut kenaikan harga ini, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh dengan menipu pengguna; menjual beras yang bergred rendah tetapi dimasukkan ke dalam kampit beras yang menyatakan ia bergred tinggi. Di sinilah hisbah harus dilaksanakan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa yang dipertanggunjawabkan oleh pihak kerajaan.
Walaupun demikian, pada hemat penulis hisbah bukan sahaja tertumpu kepada soal pemantauan terhadap sebarang kegiatan yang sedang berjalan. Apabila Syirazi menyebut mengenai pencegahan kemudaratan, bermakna hisbah juga berkenaan tindakan proaktif yang harus dibina supaya maslahat rakyat dapat terus dilindungi.
Dalam Surah Yusuf ayat 47, terkandung saranan supaya umat manusia dengan kebijaksanaan yang dianugerahi oleh Allah supaya membuat perancangan bagi jangka pendek dan panjang.
Ayat tersebut merupakan sabda Nabi Yusuf a.s. dalam mentadbir mimpi Raja Mesir. Baginda dalam mentadbir mimpi tersebut menerangkan kepada pihak pemerintah apa yang harus dilakukan bagi menghadapi musim kemarau dan kesukaran yang bakal menimpa negara tersebut dan penduduknya. Persediaan yang perlu mereka lakukan adalah dengan menanam gandum dengan lebih giat selama tujuh tahun berturut-turut tanpa putus. Biji gandum yang telah matang perlu dituai dengan tangkainya sekali dan disimpan dengan cara tertentu bagi mengelakkannya daripada dimakan ulat. Dengan pendekatan begini gandum yang tersimpan dapat dimanfaatkan mengikut jangka masa yang dirancangkan. Ia juga dapat dijadikan sebagai biji benih apabila tiba masa yang sesuai.
Melalui al-Qur’an, agama Islam menyeru kita supaya sentiasa berfikir dan bertindak supaya mutu hidup kita dalam keadaan sentiasa terjamin walau apa keadaan sekalipun. Beringat semasa berada harus diiringi dengan tindakan supaya apa yang dimiliki dapat memberi manfaat dalam jangka masa yang panjang. Saranan ini bukanlah hanya menyentuh tentang soal makanan ruji tetapi juga melangkaui kepada keperluan yang lain seperti petrol dan keperluan kesihatan.
Kalau kita menyentuh hisbah dalam sudut barangan makanan, seharusnya kita meniru pendekatan yang telah diajar oleh Nabi Yusuf a.s. Bukan sahaja kita sentiasa memantau mutu dan harga barangan yang dijual dalam pasaran, termasuklah sikap penjual dan pengeluar, tetapi lebih daripada itu, memikirkan bagaimana barangan daruriyyah ini dapat disediakan kepada rakyat dalam keadaan rakyat sentiasa mampu mendapatkannya. Kajian secara berterusan harus dilaksanakan supaya negara mampu mengeluarkan barangan atau hasil yang diperlukan oleh rakyat. Dan hasil tersebut adalah cukup menampung keperluan malah mampu membuat lebihan dan simpanan. Istilah agroteknologi mungkin baru kepada kita, tetapi al-Qur’an telah membuktikan ia telah dilaksanakan sekurang-kurangnya seawal zaman Nabi Yusuf a.s.
Dalam hal ini, sesiapa sahaja boleh memainkan peranan. Ia bukan tanggungjawab pihak-pihak tertentu sahaja seperti FAMA atau MARDI, tetapi juga orang-perseorangan dari kalangan masyarakat awam yang mempunyai pemikiran yang boleh memberikan manfaat kepada manusia sejagat.