Sesungguhnya cabaran abad ke-21 terasa amat getir sekali kepada umat Islam, apatah lagi ianya datang dalam pelbagai bentuk serta menikam umat ini dari pelbagai sudut. Cabaran itu pula bukan sahaja dari luar tetapi juga dari kalangan golongan Muslim sendiri. Hasilnya dapat kita lihat hari ini apabila ada sebahagian golongan tersebut yang berpaut pada budaya yang tidak seiring dengan apa yang dituntut oleh agama Islam. Juga pada masa yang sama ada sebahagian umat Islam yang ingin kembali kepada jalan benar dengan hanya cenderung kepada unsur-unsur tertentu tetapi malangnya mengabaikan unsur-unsur lain yang lebih penting, seperti memelihara kebajikan rakyat, meningkatkan pendidikan, dan mengembangkan pemikiran akli umatnya.
Sesungguhnya kita umat Islam tiada pilihan lain kecuali untuk kembali kepada petunjuk, panduan dan arahan Allah Taala sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, sunnah Rasulullah s.a.w., dan hidayah daripada para ulama’dahulukala. Al-Qur’an dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa jatuh bangun umat Islam amat bergantung kepada sejauh mana penghayatan umat terhadap al-Qur’an itu sendiri. Sekiranya teguh pegangannya, kuatlah umat tersebut. Umat menjadi kuat dan bersatu lantaran rahmat dan nikmat yang diberikan Allah kerana ketaatan mengikuti arahan dan perintah-Nya. Sebaliknya, jika longgar penghayatannya, maka umat akan menjadi lemah dan berpecah belah.
Di dalam persoalan membangunkan umat, kita harus mengkaji keseluruhan pendekatan yang telah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. Adalah amatlah penting untuk diteliti dan dipelajari bagaimana baginda membina masyarakat Islami yang unggul dari kelompok yang kecil dan tertindas sehinggalah berjaya menegakkan agama Islam di Madinah, kemudiannya ke seluruh tanah Arab.
Ketika umat Islam masih lagi kecil dan lemah, sementara kuasa Quraysh semakin kuat menindas, kaedah yang digunakan oleh baginda ialah pendekatan ‘sabrun jamil’ yang bermaksud menanamkan sifat sabar yang terbaik, dan tidak meledakkan kekuatan sebelum waktunya. Sabrun jamil merujuk kepada Surah Yusuf, ayat ke-18 yang memaparkan kesabaran Nabi Yaakub ketika disampaikan berita oleh anak-anaknya akan ‘kematian’ Nabi Yusuf, anak kesayangannya.
Pendekatan sabrun jamil ini digunakan oleh Rasulullah s.a.w di sepanjang perjuangannya di Makkah. Walaupun baginda sendiri dianiaya dan cedera parah dalam usaha untuk menyebarkan agama Allah, baginda tetap bersabar malah mendoakan pula orang yang menganiayanya. Bahkan ketika Malaikat penjaga gunung memohon izin baginda untuk menghancurkan penduduk Taif yang telah menyakitinya, baginda sebaliknya memohon doa agar keturunan mereka nantinya beriman kepada Allah Ta`ala.
Pendekatan ini pula tidaklah bermaksud kita menyerah kalah dengan hanya mengharapkan pertolongan Allah semata-mata tanpa berusaha membina jaringan dan kekuatan sendiri. Ketika Rasulullah s.a.w mendidik pengikut-pengikutnya supaya bersabar, baginda tetap berusaha untuk mendapatkan sokongan dan dokongan, sehinggalah hati masyarakat Madinah dapat dilembutkan dengan nur Islam.
Pendekatan seterusnya yang diamalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ialah mengukuh dan memperbaharui ukhuwwah. Kemakmuran antara pelbagai bentuk kefahaman dan pendekatan dalam masyarakat Islami merupakan asas untuk membina wahdatul ummah. Perpaduan ummah tidak mungkin wujud tanpa asas ukhuwwah yang kukuh. Ukhuwwah yang kental hanya mungkin dapat dijelmakan dengan iman yang jitu. Justeru itu unsur utama kejayaan Rasulullah dalam matlamatnya menyebarkan agama Islam di Madinah ialah menanamkan iman yang kukuh dan membina ukhuwwah Islamiah yang kental di kalangan pengikutnya. Cara yang diamalkan oleh Rasullullah di dalam membina ukhuwwah ini melalui beberapa peringkat yang dilaksanakan dengan penuh cermat dan berhati-hati.
Pertama, pembinaan persaudaraan dalaman yang dilambangkan melalui ikatan ukhuwwah Islamiah antara kaum Aus dan Khazraj yang sebelum itu sentiasa berperang sesama sendiri akibat adu domba kaum Yahudi di Madinah. Baginda menghantar dua orang sahabatnya, iaitu Mus`ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum, untuk tujuan memantapkan lagi kefahaman Islam di kalangan penduduk Madinah. Perdamaian antara kaum Aus dan Khazraj telah membentuk satu kesatuan yang kemudiannya dinamakan golongan Ansar.
Usaha dalaman yang seterusnya ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan Ansar. Ini dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Kemudiannya, setelah berjaya dengan usaha ukhuwwah ini barulah dilaksanakan usaha yang seterusnya iaitu ukhuwwah wataniyah, iaitu persaudaraan peringkat kebangsaan yang disempurnakan dan dilambangkan melalui Piagam Madinah.
Piagam Madinah yang melibatkan semua pihak sama ada golongan orang Islam mahupun yang bukan Islam, menggariskan hak dan tanggungjawab masing-masing sebagai satu ummah di bawah kepemimpinan Rasulullah s.a.w. Piagam ini menekankan perhubungan yang melibatkan umat Islam dan bukan Islam dalam ikatan ummah di bawah perjanjian yang membangunkan masyarakat yang aman sentosa, adil, berkasih sayang, dan bebas daripada sebarang bentuk kezaliman dan penindasan. Masyarakat yang dibina ini merupakan masyarakat yang bertanggungjawab, berakhlak, dan memahami pula tanggungjawab kemasyarakatannya. Selain itu akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w. yang mulia itu pula berjaya mengikat dan menyatukan ummah yang sangat majmuk dan halus sifatnya.
Maka dengan itu, umat Islam hari ini mestilah berusaha untuk membina dan memperbaharui ukhuwwah kita sesama sendiri sebagai langkah ke arah kesatuan ummah. Kesan daripada penjajahan Barat kononnya, telah memecah-belahkan umat Islam kepada faham negara-bangsa yang dipisahkan oleh sempadan-sempadan yang palsu. Lihat sahaja kepada dunia Arab yang walaupun dihuni oleh satu bangsa dan satu bahasa, tetapi terbahagi kepada berpuluh buah negara-negara kecil yang tidak sehaluan. Percakaran menyebabkan mereka menjadi lemah sehingga begitu mudah dipermainkan oleh negara Israel yang begitu kecil. Tetapi, adakah unsur utama percakaran tersebut disebabkan penjajahan Barat? Atau adakah kemelut yang terhasil disebabkan ketamakan orang Arab sendiri?
Sementara di rantau ini pula, khususnya dalam ruang lingkup umat Islam di alam Melayu ini, amat wajarlah kita memupuk semangat ukhuwwah umat Melayu untuk kita bangun sebagai satu umat yang mampu berdiri sendiri tanpa menumpang kepada kekuatan mana-mana kuasa besar. Namun sayangnya, umat Islam lebih suka bertelagah sesama sendiri dan membiarkan hasil buminya di punggah oleh orang lain, sehingga kita hilang tumpuan untuk membangunkan anak bangsa sendiri.
Maka dengan itu wajar untuk sama-sama kita merenung dan kembali memuhasabah diri dan umat ini agar tumpuan untuk membangunkan umat ini diberi perhatian dan berada di atas landasan yang betul, dan bukannya menghabiskan masa dengan bercakaran sesama sendiri ataupun sibuk mengumpul harta hanya untuk hidup yang seketika ini.