Syukur alhamdulillah kita baharu sahaja menyambut hari memperingati kemerdekaan negara yang ke-63 beberapa hari yang lalu. Tahun ini, tarikh 31 Ogos juga bersamaan dengan permulaan bulan Muharam, bulan pertama tahun baru Islam 1442H. Bagi ramai yang mendepani era norma baharu hari ini sudah pasti pertembungan ini mempunyai signifikannya yang tersendiri. Dari sudut bahasanya, ‘merdeka’ adalah daripada perkataan Sanskrit ‘maharddhika’ yang bermaksud kaya, makmur, di samping bebas dari penjajahan atau perhambaan. Satu perkara yang merupakan “signature phenomenon” dan banyak diperkatakan hari ini dan yang pasti menuntut perhatian yang serius adalah perubahan iklim yang sebenarnya merupakan kemuncak kepada pemasalahan alam sekitar yang sudah pun lebih lima dekad berbunyi loceng penggeranya. Tindak balas kita terhadap loceng penggera ini mendambakan kita berhijrah di dalam pemahaman dan kelakuan kita terhadap alam sekitar yang dicipta untuk kita hidup.Para saintis menyenaraikan 10 masalah alam sekitar yang sangat serius dan kritikal pada hari ini dan perubahan iklim adalah yang paling besar impaknya.
Sebenarnya segala kekayaan, kemakmuran dan seterusnya kekuasaan atau maharddhika tersebut tidak mungkin wujud tanpa segala sumber yang dicipta, disusun rapi dan di kawalselia kejadian dan kefungsiannya oleh Allah SWT. 30 hingga 40 trilion sel yang membentuk tubuh badan seorang manusia misalnya semuanya hidup dan dihidupkan berdasarkan segala bentuk sumber air, udara dan berbagai mineral daripada tanah-tanih yang masuk ke tubuh manusia melalui tumbuhan dan haiwan yang menjadi makanannya. Hari ini, hasil daripada kealpaan manusia tentang apa dan siapa dirinya dan hakikat kebergantungan mutlaknya kepada alam tabii yang bermula dengan jasadnya sendiri telah mengakibatkan kerosakan alam yang begitu parah. Rata-rata masyarakat dunia mengambil cakna akan perubahan iklim dan berbagai pertemuan, perjanjian, protocol dan ketetapan telah dimeterai sebagai kaedah mitigasi, namun pengurangan peningkatan suhu bumi yang mesti tidak melampaui 2⁰C masih amat sukar dicapai.
Jika dihuraikan satu persatu senarai masalah/krisis alam sekitar yang berlaku hari ini akan mengambil masa yang panjang. Namun maklumat, ilmu atau kefahaman tentang kerosakan alam sekitar yang terbit daripada pelanggaran batas/had/hudud yang wujud di dalam alam sekitar (yang dihuraikan secara eksplisit dan implisit di dalam Al-Quran dan hadith serta diperjelaskan oleh sains tabii) harus dilihat sebagai ilmu fardhu kifayah oleh umat Islam khasnya dan ilmu asas kelestarian kehidupan yang wajib oleh umat manusia amnya. Sebagai rujukan segera, mereka yang berminat boleh merujuk dokumentari The Inconvenient Truth (Kebenaran Yang Tidak Disenangi) yang diterbitkan oleh Al-Gore, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat1. Dokumentari yang mula disiarkan pada tahun 2006 ini begitu berkesan dan di samping memenangi beberapa anugerah kini telah ditontoni lebih daripada 22.5 juta penonton di seluruh dunia.
Kegagalan manusia mentadbir dan memakmurkan alam ini (melanggar hudud yang telah ditetapkan Allah) telah menyebabkan berlakunya pelbagai kerosakan dan bala bencana, sama ada di darat dan lautan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagain dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(Surah Ar-Ruum: 41)
Kerosakan alam sekitar (contohnya pencemaran dan lain-lain) telah memberi kesan langsung kepada kelestarian hidupan lain serta kepupusan pelbagai spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan di muka bumi ini. Kerosakan alam yang hari ini giat diperkatakan melalui fenomena perubahan iklim (climate change) berkaitan antara lainnya dengan peningkatan suhu bumi, hasil dari pencemaran udara yang dihasilkan melalui kilang-kilang serta bahan pencemar, dan aktiviti manusia yang tidak terancang. Kemusnahan hutan yang merupakan sumber asli yang tidak ternilai dan habitat telah mengakibatkan munculnya pelbagai masalah lain, seperti penularan wabak penyakit melalui virus dan juga krisis makanan akibat fenomena cuaca yang tidak menentu, seperti kebakaran hutan, peningkatan paras air laut, kemarau, banjir dan lain-lain. Di dalam negara kita, peningkatan suhu melalui perubahan iklim di antara lain telah mengakibatkan pembiakan nyamuk aedes dengan lebih cepat dalam cuaca panas. Ini telah menyumbang kepada peningkatan kes-kes demam denggi sehingga hampir 50% di Malaysia kebelakangan ini.
Rajah 1 ini memperincikan 10 masalah besar yang dialami oleh alam sekitar hasil daripada tindakan-tindakan yang tidak lestari oleh kegiatan manusia.
Rajah 1: Had-had (hudud) bumi yang telah dilangkaui (Rockström et al., 2009)2
Rajah 2: Kesan Perubahan Iklim
Termutakhir, agama diakui oleh semua pihak sebagai jalan keluar untuk memulihkan keadaan. Ini adalah kerana agama mencakupi kepercayaan yang menjadi asas kepada nilai dan moral manusia, termasuklah etika moralnya terhadap alam sekitar.
Pada tahun 2015, Deklarasi Islami Mengenai Perubahan Iklim (Islamic Declaration on Global Climate Change)3 atau singkatannya “DIPI” yang disokong oleh badan bukan kerajaan, wakil-wakil agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan juga wakil-wakil pelbagai agama telah dilancarkan di Istanbul, Turki. Deklarasi ini telah dipersembahkan di The Conference of the Parties (COP21) di Paris pada 2015. Ia juga telah diserahkan kepada Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung PBB ke-70, HE Morgens Lykketoft pada 18 April 2016 di New York.
Di samping menegaskan realiti-realiti penting seperti sistem-sistem teras fizikal bumi menghadapi perubahan yang mendadak dan boleh bersifat kekal serta keseluruhan peradaban manusia itu sendiri semakin terancam, DIPI menegaskan semula kebenaran Al-Quran dan hadith yang wajar menjadi panduan kehidupan yang lestari seperti yang diungkap di dalam prinsip maqasid shariah dan kini dihuraikan melalui 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals). Di antara ayat-ayat yang dinukilkan termasuklah Q1:1; Q59:24; Q32:7; Q44:38-39 “Dan tidaklah Kami bermain-main menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Tidaklah Kami ciptakan keduanya melainkan dengan benar”; Q4:26 dan lain-lain. Daripada ayat-ayat ini, DIPI menggariskan bahawa:
- Allah menciptakan bumi dalam keseimbangan yang sempurna (mizan)
- Dengan Rahmat-Nya yang luas telah diberikan kepada manusia tanah yang subur, udara segar, air bersih dan semua perkara yang baik di bumi yang menjadikan kehidupan kita di atas muka bumi berdaya maju dan sejahtera
- Bumi berfungsi dalam sistem dan kitaran bermusim: iklim yang membolehkan makhluk-makhluk (termasuk manusia) berkembang maju
- Bencana perubahan iklim adalah hasil daripada gangguan manusia terhadap keseimbangan alam
Dalam konteks alam Melayu pula, Tenas Effendy, pengkaji alam Melayu yang termashyur di dalam bukunya “Tunjuk Ajar Melayu” telah pun menjelaskan betapa hidup sederhana, tidak berlebih-lebihan, tidak bermewah-mewah dan membazir adalah di antara indicator penting kekuatan orang Melayu, seperti bait ungkapannya4:
Apa tanda Melayu jati
Bermewah-mewah ia tak sudi
Apa tanda Melayu jati
Tahu dunia, akhirat mengerti
Apa tandaMelayu terpuji
Berlebih-lebih ianya benci
Apa tanda Melayu terpuji
Hidup sederhana sampai mati
Apa tanda Melayu bertuah
Hidup sederhana mengikut Sunnah
Apa tanda Melayu terpandang
Hidupnya selalu dalam seimbang
Apa tanda Melayu terbilang
Di dunia cukup, di akhirat lapang
Seterusnya, sebagai langkah ke hadapan, DIPI menggariskan 21 langkah yang perlu diambil oleh para pemimpin masyarakat, pemain industry dan orang awam sebagai langkah ke hadapan atau “way forward”. Bagi umat Islam yang merupakan 25% penduduk dunia dan 63% rakyat di Malaysia, memelihara alam sekitar yang diamanahkan oleh Maha Pencipta kepada khalifah-Nya sudah pasti boleh dilihat sebagai agenda hijrah demi kelestarian peradaban manusia. Ayuhlah kita melestarikan MAHARDDHIKA kita!
Rujukan:
1 An Inconvenient Truth (2006). https://www.algore.com/library/an-inconvenient-truth-dvd
2 Rockström, J., Steffen, W. L., Noone, K., Persson, Å., Chapin III, F. S., Lambin, E., … & Nykvist, B. (2009). Planetary boundaries: exploring the safe operating space for humanity. Ecology and society.
3 The Islamic Declaration on Global Climate Change. https://www.ifees.org.uk/about/islamic-declaration-on-global-climate-change/
4 Tenas Effendy (2006). Tunjuk Ajar Melayu (Butir-butir Budaya Melayu Riau). Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu