Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Kemerdekaan
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala oleh kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat meraikan Hari Kemerdekaan bagi kali yang ke-63 pada tahun ini.
2. Kejayaan kita dalam mencapai Kemerdekaan, dan mengekalkan dan mengisi Kemerdekaan sehingga kini, adalah hasil semangat nasionalisme yang tinggi rakyat negara ini. Sepanjang 63 tahun ini, musuh yang tidak nyata seperti kejahilan dan kemunduran pemikiran masyarakat telah sebahagian besarnya ditangani sehingga negara kita mampu melahirkan generasi yang lebih terdidik dan berilmu pengetahuan. Rakyat yang dahulunya tidak pandai melabur sekarang beramai-ramai melabur dalam skim-skim amanah saham yang berjaya meningkatkan taraf hidup mereka.
3. Dasar-dasar dan program-program negara banyak
berdasarkan
kepada prinsip-prinsip Maqasid Syariah yang
bertujuan memelihara semua aspek-aspek penting
dalam diri
manusia seperti agama, nyawa, akal, keluarga harta dan keturunan. Sebagai contoh, dalam usaha kita menghadapi ancaman pandemik covid-19, langkah-langkah pencegahan termasuk pengawalan tempat awam termasuk pasar, sekolah, masjid dan surau adalah berdasarkan prinsip pemeliharan nyawa dalam Maqasid Syariah. Kita rakamkan penghargaan kepada barisan hadapan (frontliners) seperti para doktor, jururawat, pasukan keselamatan dan lain-lain yang telah bertungkus-lumus berusaha mengawal serangan pandemik covid-19. Semoga usaha murni ini diberi ganjaran yang besar dari Allah Subhanahuwata’ala.
4. Kemerdekaan sebenar ialah menurut Firman Allah Subhanahuwata’la yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dzariyat:ayat 56). Tanpa ketundukan yang sebenar kepada Allah Subhanahuwata’ala, manusia akan dipengaruhi dan dirosakkan oleh hawa nafsunya, seperti diresapi oleh sifat tamak, hasad dengki dan takabbur yang mendorongkan kepada amalan- amalan penyelewengan seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kemerdekaan sebenar bukanlah sekadar bebas dari penjajahan yang berbentuk fizikal, bahkan ia juga meliputi kebebasan jiwa dan minda dari segala bentuk pengaruh asing yang bertentangan dengan nilai dan budaya oleh sesebuah masyarakat itu.
5. Gabungan perkataan
‘Malaysia’ dan ‘Prihatin’
dalam
tema sambutan kemerdekaan tahun ini juga memancarkan semangat
tinggi rakyat Malaysia untuk menggembleng usaha dan tenaga dalam memerangi wabak COVID-19, serta keprihatinan Kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat. Al-Qur’an menekankan kepentingan untuk manusia saling bantu-membantu dalam urusan yang baik dalam kehidupan. Dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebaikan dan ketakwaan, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaannya.” Umat Islam diperingatkan oleh al- Qur‘an dalam surah an-Nahl ayat 90, innallaha ya’muru bil’adli wal-ihsan (“sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) agar berlaku adil dan berbuat kebaikan”). Peringatan ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap masalah-masalah masyarakat seperti ketidakadilan, kemiskinan, rasuah, keruntuhan akhlak, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
6. Pada kesempatan ini,
pihak IKIM mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah berjuang
memerdekakan
negara ini, dan juga kepada mereka yang
telah mempertahankan kedaulatan
negara dari ancaman musuh sama
ada dari luar
atau dari dalam. Saya memohon supaya disedekahkan bacaan surah al-Fatihah ke atas roh al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra al- Haj, Bapa
Kemerdekaan dan
Bapa Malaysia.
7. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63
‘Malaysia Prihatin’.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.