Sejarah telah membuktikan bahawa wilayah-wilayah yang diperintah oleh pemerintah Islam di zaman Khulafa ar-Rashidun memberi kebebasan kepada masyarakat bukan Islam menggunapakai undang-undang peribadi mereka. Masyarakat bukan Islam tidak dikenakan zakat tetapi dikenakan cukai yang dinamakan jizyah sebagai jaminan keselamatan dan perlindungan kepada mereka daripada ancaman luar. Menurut Khalifah Ali bin Abu Talib “Kita terima jizyah daripada mereka untuk memberi perlindungan kepada harta dan nyawa mereka sehingga harta mereka dihormati seperti harta kita dan begitu juga darah mereka”
Masyarakat bukan Islam juga diberikan layanan yang baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara. Satu peristiwa telah berlaku apabila Khalifah Umar bertemu dengan seorang Yahudi tua yang meminta sedekah. Khalifah sangat terharu melihat keadaan Yahudi itu lalu baginda bertanya akan hal keadaan yang menyebabkan demikian. Yahudi itu menjelaskan bahawa keadaan fizikal yang tua dan tidak lagi berkemampuan untuk bekerja adalah yang mengundangnya meminta sedekah. Setelah mendengar jawapan itu, Khalifah lantas membawa Yahudi itu ke rumahnya dan kemudian menghantarnya ke Baitulmal dan mengeluarkan perintah supaya diberi bantuan dan begitu kepada orang sepertinya. Khalifah Umar mengatakan “Tidak ada keadilan, kita kutip jizyah dari mereka ketika masa muda dan meninggalkan mereka apabila mereka tua.”
Peristiwa ini menunjukkan pelaksanaan keadilan tidak membezakan agama dan ras kaum. Undang-undang dilaksanakan dengan saksama tanpa mengira perbezaan kaum, kecuali dalam perkara-perkara kepercayaan dan amalan keagamaan. Dalam perihal pengerjaan ibadat, masyarakat bukan Islam bebas beribadat mengikut cara mereka. Tiada halangan dalam Islam yang melarang mereka mengerjakan ibadat mereka. Pembuktian ini termaktub dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 yang menegaskan wujudkan kepelbagaian agama dan larangan mencampur-adukkan amalan-amalan agama lain ke dalam Islam. Ayat ini jelas memberi kebebasan keagamaan kepada orang bukan Islam namun haruslah jelas bahawa ianya tidak bermaksud bebas mempersendahkan agama lain.
Keagungan pemerintahan Islam di zaman tersebut telah menyebabkan ramai penganut agama lain berhijrah ke wilayah Islam untuk menyelamatkan diri daripada penindasan di wilayah mereka. Sewaktu pemerintahan Kristian menawan semenanjung Sepanyol, ramai kaum Yahudi berpindah bersama orang Islam ke Afrika Utara, iaitu ke Maghribi, Al-Jazair, Tunisia dan Mesir. Begitu juga dengan wilayah-wilayah yang diperintah oleh Turki, terdapat ramai orang Kristian dan Yahudi yang diberi perlindungan oleh Pemerintah Turki yang diketuai oleh Sultan bergelar Khalifah.
Masyarakat bukan Islam juga dilibatkan dalam urusan pentadbiran di beberapa wilayah Islam. Contohnya di Andalusia, terdapat orang Yahudi yang menjadi menteri dalam pemerintahan wilayah-wilayah tertentu. Masyarakat Kristian dan Yahudi menerima wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam tanpa sebarang tekanan dan paksaan.
Dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama diamalkan mengikut lunas-lunas yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara, namun penganut agama lain boleh mengamalkan agama mereka tanpa sekatan. Pendekatan ini selaras dengan kehendakan dan semangat agama Islam itu sendiri, “tiada paksaan dalam agama”.
Kepelbagaian agama dan kaum itu merupakan hakikat yang dijadikan oleh Tuhan supaya manusia boleh bekerja-sama dan kenal mengenal di antara satu sama lain. Bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hujurat ayat ke 49. Semangat bekerja-sama secara kolektif tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi kebaikan antara manusia sangat dituntut dalam ajaran Islam. Namun Kerjasama itu hendaklah ke arah kebaikan dan bukannya ke arah melakukan keburukan.
Nabi Muhammad s.a.w. telah menerangkan hal ini dengan satu perumpamaan yang amat dalam maknanya iaitu hidup ini diibaratkan seperti keselamatan sebuah kapal di lautan bergantung kepada setiap kelasinya. Tiada seorangpun yang boleh membuat lobang di kapal itu atas nama kebebasan individu kerana perbuatan ini akan mengancam keselamatan semua orang. Hadis ini berbunyi “Satu perumpamaan mengenai orang yang patuh kepada perintah Allah dan orang yang melanggarinya; mereka ialah seperti satu kumpulan manusia yang sama-sama memiliki sebuah kapal. Sebahagian dari mereka berada di tingkat atas dan sebahagian lagi berada di tingkat bawah. Jika golongan yang berada di bawah ingin mendapatkan air, mereka terpaksa melintasi mereka-mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata, ‘kenapa tidak kita buatkan sebuah lubang (di lantai) kapal. Dengan cara itu kita akan mendapat air tanpa mengganggu golongan di atas’. Sekiranya mereka melaksanakan cadangan mereka itu semua akan binasa. Tetapi sekiranya mereka ditegah daripada melakukan perbuatan itu, mereka akan selamat dan semua akan terselamat”.
Setiap individu bertanggungjawab untuk berlaku adil bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Agama Islam menyuruh kita senantiasa berusaha menegakkan keadilan kerana sikap adil itu adalah ketakwaan kepada Ilahi sebagaimana firmanNya dalam Surah an-Nisa ayat 135 dan al-Maidah ayat 8.
Agama Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap jiwanya dengan mengimbangi antara hak dirinya, hak Tuhannya dan juga hak orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abdullah Ibn ‘Amr r.a. apabila Abdullah mengaibkan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamulai pada malam hari “Puasalah tetapi berbukalah (pada masa-masa yang sesuai) dan berdirilah dalam sembahyang dan ibadah di waktu malam, tetapi (jangan sampai tidak tidur) – kerana sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamumu ada haknya” (Disepakati antara al-Bukhari dan Muslim).
Agama Islam mengkehendaki pelaksanaan keadilan itu dilaksanakan tanpa ada sebarang perasaan berat sebelah dan prejudis. Dengan maksud perasaan sayang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan dan perasaan benci itu tidak menghalangnya dari berlaku adil serta memberi hak kepada yang berhak. Perkara ini jelas kerana Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada kita agar berlaku adil sekalipun terhadap orang yang kita musuhi. Inilah keindahan Islam yang mementingkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum.
Selain dari memerintahkan serta menganjurkan agar berlaku adil, Islam juga mengharamkan kezaliman sekeras-kerasnya dan menentangnya habis-habisan, sama ada kezaliman itu adalah kezaliman terhadap diri sendiri atau orang lain. Paling keras jika kezaliman itu dilakukan oleh golongan yang kuat ke atas golongan yang lemah, golongan yang kaya ke atas golongan yang miskin dan kezaliman pemerintah ke atas orang yang diperintah. Semakin manusia itu lemah maka semakin besarlah dosa orang yang menzaliminya.
Antara bentuk keadilan yang paling jelas yang ditegaskan oleh Islam ialah apa yang kita kenali di zaman moden ini sebagai “keadilan sosial”. Keadilan sosial bererti keadilan dalam membahagikan kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada anak bangsa, memberi kepada para pekerja hasil titik peluh mereka tanpa diselewengkan oleh mereka yang berkuasa serta berpengaruh di kalangan mereka, mendekatkan jurang yang luas antara individu dan kumpulan manusia dengan membataskan kerakusan orang-orang kaya serta berusaha untuk mengangkat mertabat orang-orang miskin.
Sejak merdeka, kerajaan Malaysia telah menggubal pelbagai dasar untuk mencapai tahap keadilan sosial yang maksimum agar setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman dan harmoni. Pendekatan evolusi dalam usaha memantapkan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara senantiasa diteruskan. Pendekatan ini tidak menjejaskan kestabilan masyarakat. Perkongsian kuasa secara syura yang digunakan sejak merdeka, memang menjadi nadi dalam kerajaan Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w di zaman kerajaan Madinah. Ketika itu, kehadiran Yahudi turut diambil kira dan cara ini telah membolehkan kerajaan ditadbir dengan cara lebih selesa.
Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, masyarakat bukan Islam perlu diberi perhatian dan dijaga. Malah setiap tindak tanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat. Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara adalah satu perkongsian kuasa yang bijak dan memberi manfaat dan faedah kepada pembangunan negara. Ketenteraman ini penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan yang serius untuk melaksanakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.
Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia daripada masyarakat Antarabangsa khasnya negara-negara Islam adalah amat jelas memperlihat kejayaan negara sebagai sebuah negara Islam yang berjaya melaksanakan dan mengendalikan keperluan umat Islam dan penganut agama lain secara adil. Kita telah mendahului negara-negara Islam lain dalam memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Demi meastikan pencapaian ini terus berkekalan, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan yang dipilih betul-betul faham dan serius mendukung pengiktirafan ini.