Bidang Agribioteknologi atau bioteknologi pertanian merupakan satu bidang yang sangat pesat berkembang dewasa ini. Penyelidikan-penyelidikan dalam bidang ini telah berjaya menghasilkan pelbagai hasil pertanian yang mempunyai ciri-ciri istimewa.
Sebagai contoh, tomato FLAVRSVRTM dengan ciri-ciri lambat ranum telah dihasilkan melalui kejuruteraan genetik dan diluluskan untuk dikomersilkan pada tahun 1994. Manakala, kacang soya yang diubahsuai secara genetik pula mempunyai ciri tahan racun rumpai (herbicide resistance). Tanaman ini mula ditanam di Amerika Syarikat pada tahun 1996. Selain tomato dan kacang soya, makanan ubahsuai genetik lain yang sudahpun berada di pasaran adalah jagung dan kentang.
Kehadiran makanan ubahsuai genetik dalam pasaran bukanlah satu perkara baru. Makanan jenis ini telah berada di pasaran bertahun-tahun lamanya. Misalnya tomato FLAVRSVRTM tadi telah 15 tahun berada di pasaran. Bukan itu sahaja, tanaman-tanaman itu telah ditanam secara meluas di seluruh dunia. Sebagai contoh, bagi tanaman kacang soya, ia telah ditanam di sembilan buah negara hanya selepas 10 tahun diperkenalkan. Malah, pada tahun 2007 sahaja, separuh dari tanaman kacang soya di seluruh dunia adalah dari jenis kacang soya yang diubah suai secara genetik.
Berdasarkan kenyataan di atas, kemungkinan kita mengambil makanan ubahsuai genetik dalam kehidupan seharian adalah tidak boleh dinafikan sama sekali. Lebih merisaukan, makanan ubahsuai genetik itu tidak sahaja wujud dalam bentuknya yang asal tetapi juga wujud dalam pelbagai bentuk yang lain. Misalnya, pembekal-pembekal tempatan mengimport kacang soya secara pukal dan dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha air soya, tauhu, tempe dan sebagainya. Akhirnya, kita sebagai pengguna membeli dan makan makanan tersebut.
Namun, adakah pengguna khususnya pengguna di Malaysia ini tahu bahawa mereka berkemungkinan besar makan makanan yang diubahsuai secara genetik? Penulis yakin, ramai pengguna yang tidak tahu. Malah, penulis juga yakin bahawa masih ramai pengguna di negara ini percaya bahawa makanan yang ada di negara ini bebas daripada diubahsuai secara genetik.
Jika keyakinan ini dipegang oleh pelbagai lapisan pengguna di negara ini, maka semestinya keyakinan tersebut hanya sia-sia. Ini kerana produk makanan ubahsuai genetik telah tersebar-luas di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Malah, harus kita ingat bahawa Malaysia banyak mengimport makanan daripada negara luar. Jadi, apakah jaminan makanan tersebut bebas diubahsuai secara genetik?
Dari perbincangan ini, jelas bahawa pelabelan produk bioteknologi pertanian adalah perlu. Ini kerana, pengguna perlu tahu kandungan makanan yang dimakannya. Ini adalah hak pengguna yang paling asas. Berdasarkan maklumat dalam pelabelan, maka pengguna boleh membuat pilihan. Jika pelabelan produk bioteknologi tidak dilaksanakan maka tindakan ini adalah satu usaha untuk menidakkan hak pengguna itu sendiri.
Selain kelebihan kepada pengguna, pihak pengusaha atau industri juga akan mendapat faedah tertentu daripada usaha pelabelan ini. Pihak industri yang tidak takut melabelkan produk bioteknologi ini akan dilihat sebagai satu pihak yang berani, bertanggungjawab dan sangat prihatin kepada pelanggannya. Tindakan ini akhirnya akan menaikkan imej mereka juga.
Di seluruh dunia, terdapat beberapa negara yang telah melaksanakan usaha melabelkan produk bioteknologi pertanian. Ada negara yang mewajibkan pelabelan produk bioteknologi misalnya negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan Australia. Namun, terdapat juga negara lain yang meletakkan syarat pelabelan secara sukarela, misalnya negara Kanada dan Amerika Syarikat.
Bagi yang tidak mengetahui, di Malaysia, melalui Akta Keselamatan Bio 2007, pelabelan produk bioteknologi adalah wajib. Ini bermakna, produk makanan ubahsuai genetik yang diimport mestilah dilabelkan. Namun, berapa banyakkah label yang boleh kita lihat? Bagaimana dengan pembelian produk secara pukal? Adakah pelabelan juga wajib?
Persoalan-persoalan ini menimbulkan lebih banyak persoalan lain. Antaranya, kenapa usaha pelabelan makanan ubahsuai genetik di negara begitu kabur? Adakah ia benar dilaksanakan atau sekadar wujud pada kertas semata-mata? Apakah pula yang mengekang usaha pelabelan tersebut?
Sebenarnya, dibanyak negara, usaha melabelkan ini mendapat tentangan dari pihak industri. Alasan mereka, tindakan ini akan meningkatkan kos dan oleh itu harga barangan akan meningkat. Hal ini memang benar dan pastinya pengguna akan menanggung akibatnya. Namun, alasan kenaikan harga ini bukan alasan baru. Terdapat banyak keadaan lain yang memungkinkan pihak industri meningkatkan harga barangan, misalnya ketika kenaikan harga minyak atau ketika kenaikan tariff elektrik. Jadi, berkaitan dengan pelabelan tadi, kenapa pula pihak industi risau akan kenaikan harga, sedangkan kesan kenaikan ituakhirnya akan diserap oleh pengguna.
Oleh itu, penulis meragui alasan ini dan merasa seolah-olah wujud keadaan “udang di sebalik batu”. Jika keadaan ini wujud sekalipun, ianya hendaklah bersandarkan kepada asas yang kukuh. Jika asasnya adalah disebabkan sikap keras kepala pihak industri atau untuk keuntungan semata-mata maka adalah lebih baik sikap itu dilupakan.
Namun, tidak kisahlah apa jua jenis jenis “udang di sebalik batu” itu, usaha pelabelan ini haruslah dilakukan dengan segera. Kesegeraan ini memerlukan sokongan banyak pihak. Paling utama adalah sokongan pembuat dasar itu sendiri. Dasar yang dibuat adalah untuk kepentingan rakyat. Dasar tersebut tidak ada gunanya jika ianya hanya di atas kertas. Jika dasar kekal di atas kertas maka selama-lamanya kepentingan rakyat akan terpinggir.
Dalam hal pelabelan ini, pengguna berhak mendapat maklumat tentang makanannya. Dengan label tersebut, biarkan pengguna yang membuat pilihan mereka sendiri. Pengguna negara ini sudah semakin bijak. Pengetahuan mereka terhadap makanan ubahsuai genetik juga semakin baik. Walaupun ada yang kisah, namun ramai juga yang tidak hirau makan makanan ubahsuai genetik. Oleh itu, biarkanlah mereka menentukan sama ada menerima atau tidak makanan tersebut.