Bila nak amah, kena bayar beribu.
Tapi tiada jaminan dapat amah kelas satu
Ada amah , masak pun tak tahu
Menyeterika hingga koyak baju
Dengan anak kasar selalu
Ada juga yang tak betah, minta pulang kerana rindu
Dalam tempoh jaminan amah boleh ditukarkan
Tapi majikan perlu bayar untuk amah yang baru lagi seribu
Datang yang baru, khidmatnya belum tentu
Mungkin lebih baik atau lebih teruk dari dulu
Kalau amah banyak kerenah
Harapan majikan punah ranah
Kalau amah buat onar
Mata majikan berpinar
Kalau amah lari
Majikan gigit jari
Penjaga baru perlu dicari
Didenda dek Imigresen majikan tak boleh lari
Semua peraturan demi kebajikan amah
Kebajikan majikan siapa endah?
Terkini, cuti seminggu sekali untuk amah
Majikan engkar, boleh dibawa ke mahkamah!
Sebagai pengguna khidmat pembantu rumah, penulis mendapat ilham untuk menukilkan seloka di atas bila mengenangkan nasib semua majikan yang mempunyai pembantu rumah di negara ini. Demi kebajikan pembantu rumah warga asing, pelbagai peraturan dibuat dan dilaksanakan. Sebagai majikan, secara peribadi, penulis merasakan peraturan yang ada agak berat sebelah dan kerap kali yang terhukum ialah majikan.
Sebagai pihak yang memerlukan khidmat pembantu rumah, kebanyakan majikan mematuhi peraturan yang ada. Walau semahal mana kos yang diperlukan, majikan akan bayar demi memastikan kesejahteraan ahli keluarga apabila suami-isteri keluar bekerja. Apa yang pasti, kos yang perlu dibayar kepada agen dan gaji pembantu rumah, meningkat setiap tahun. Tetapi, apa yang belum pasti ialah mutu pembantu rumah yang diperolehi. Ia banyak bergantung kepada nasib. Nasib baik, dapat pembantu rumah yang baik. Nasib tak baik, majikanlah tanggung sendiri.
Memang benar, majikan berkuasa untuk memilih pembantu rumahnya. Majikan diberi antara tiga hingga enam bulan untuk mempertimbangkan sama ada mahu pembantu rumah tersebut atau menukarkannya dengan yang baru secara percuma. Namanya sahaja percuma, tetapi majikan masih perlu membayar levi dan yuran FOMEMA (hampir RM1000 juga) untuk membawa masuk pembantu rumah yang baru. Itupun belum tentu bermutu. Itu belum dikira masa menunggu. Sekali lagi, majikan juga yang kena tanggung!
Umum maklum bahawa ramai pembantu rumah yang lari dari majikan. Ada yang lari kerana majikan kejam. Namun, ramai juga yang lari kerana mahukan hidup bebas dan menjadi pembantu rumah merupakan batu loncatan yang memudahkan mereka masuk ke negara ini. Bila pembantu rumah lari, majikan perlu melaporkannya kepada pihak imigresen dan perlu membayar denda lebih kurang RM250. Sudahlah pembantu rumah melarikan diri dan majikan perlu mencari penjaga baru untuk anak-anaknya, majikan juga perlu membayar denda RM250. Seolah-olah majikan yang bersalah apabila pembantu rumahnya lari.
Terkini, majikan perlu memberi cuti seminggu sekali kepada pembantu rumah demi kebajikan mereka. Bagaimana dengan kebajikan majikan? Jika pembantu rumah bercuti di hujung minggu, tentulah kerja-kerja pembantu rumah akan diambil alih oleh majikan. Bila pula majikan boleh berehat dan bercuti? Jika majikan hendak membenarkan pembantu rumah bercuti pada hari bekerja, majikan perlu mengambil cuti rehat. Cuti majikan juga terkorban. Jika peraturan ini tidak dipenuhi, majikan boleh didenda sebanyak RM10,000. Nasib, nasib!
Hakikatnya, pengalaman seorang pembantu rumah berbeza dari pembantu rumah yang lain. Ada yang ringan bebannya, ada pula yang sebaliknya. Jadi, mengapa diwujudkan satu peraturan untuk semua seolah-olah semua pembantu rumah mempunyai beban tugas yang sama? Bukankah lebih wajar jika hal ini diserahkan kepada budibicara majikan? Kebanyakan majikan di Malaysia masih bertamaddun dan waras. Janganlah hanya kerana satu dua yang tidak bertamaddun itu, semuanya terhukum.
Apa yang lebih penting ialah untuk menyedarkan kedua-dua belah pihak, majikan dan pembantu rumah bahawa setiap mereka ada hak dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Jika masing-masing melaksanakan amanah ini dengan sempurna, maka hubungan baik antara kedua belah pihak akan terjalin.
Bagaimana dengan agensi pembekal pembantu rumah, baik di Malaysia mahupun di negara pembekal? Mereka merupakan pihak yang paling beruntung dalam hubungan ini. Sekiranya mereka membekalkan pembantu rumah yang tidak bermutu sekali pun, mereka tidak rugi apa-apa kerana yang menanggung kosnya (kewangan dan kesulitan) ialah majikan. Bagaimana dengan tanggungjawab mereka untuk memastikan calon yang dibekalkan itu adalah calon yang bermutu dan terlatih? Bagaimana dengan tanggungjawab mereka menyedarkan calon untuk bersungguh-sungguh melaksanakan amanah yang dipikul? Bagaimana dengan tanggungjawab mereka untuk memastikan calon tidak suka-suka hati melarikan diri dari majikan? Tidak bolehkah mereka juga dikenakan denda apabila calon yang dibekalkan itu – yang kononnya berminat dan amat terlatih untuk menjadi pembantu rumah – melarikan diri?
Penulis pasti pergantungan keluarga Malaysia kepada pembantu rumah asing akan berterusan. Justeru, amat penting diwujudkan peraturan-peraturan yang seimbang dan adil untuk semua pihak. Dalam hubungan ini, agen-majikan-pembantu rumah saling memerlukan antara satu sama lain. Adalah amat tidak adil jika hanya majikan yang terbeban dalam hubungan ini. Malah, jika ini yang berlaku, ia sebenarnya amat tidak produktif kepada negara. Ini kerana peraturan yang membebankan majikan semata-mata amat tidak membantu kaum ibu yang bekerja khususnya, serta institusi keluarga di negara ini secara amnya.