Islam amat menuntut umatnya berlaku adil dalam segala hal. Takrifan keadilan dalam Islam merangkumi maksud keseimbangan, kesaksamaan dan pemberian hak kepada mereka yang berhak meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Secara keseluruhan, keadilan ini bermakna tidak berlaku sebarang bentuk penindasan, tidak ada yang berkepentingan, tidak menzalimi dan tidak memilih kasih dalam memberi layanan dan hak kepada orang lain.
Justeru, tidak hairanlah jika agama Islam turut menekankan keadilan dalam segala urusannya apatah lagi dengan melaksanakan keadilan ini dapat mencegah daripada berlakunya penindasan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni.
Hal yang berkaitan dengan keadilan turut sama dituntut dalam pengurusan organisasi. Tuntutan menegakkan keadilan dalam organisasi memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral dan kejujuran yang tinggi. Faham keadilan dalam pengurusan organisasi bermula dari proses perlantikan sesuatu jawatan.
Dalam hal perlantikan, majikan perlulah melantik calon yang benar-benar berkelayakan dan berkebolehan. Sebagai contoh, sesi menghadiri temuduga merupakan satu alternatif yang diamalkan sehingga hari ini. Cara ini terbukti berkesan dan adil bagi mengelak daripada berlakunya salah memilih pekerja.
Sejarah tamadun Islam menunjukkan beberapa contoh keadilan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya, semasa perlantikan Mu’adh bin Jabal sebagai Gabenor Syam, baginda sendiri pernah menemuduganya. Baginda telah mengemukakan persoalan sejauhmana kelayakan Mu’adh untuk menjawat jawatan tersebut dan sama ada beliau berkelayakan untuk menangani beberapa permasalahan yang mungkin timbul kelak.
Manakala Abu Zar pula, telah meriwayatkan bahawa beliau telah semalaman memujuk Rasulullah supaya melantik beliau sebagai pemimpin. Beliau berkata ‘Ya Rasullulah, lantiklah aku’. Rasulullah menjawab ‘Sesungguhnya ianya amat amanah yang menjadi celaan dan penyesalan pada hari kiamat nanti.’
Apa yang dapat kita perhatikan di sini, perlantikan dan pemilihan pekerja secara adil ini bukannya sekadar mengisi kekosongan yang ada. Malah perlantikan ini perlulah adil dalam memilih orang yang benar-benar berkelayakan memegang tugas yang diamanahkan. Hal ini menggambarkan kepada kita bahawa, perlantikan dan pemilihan calon yang tepat akan menyebabkan sesebuah organisasi itu berjalan dengan lancar dan berkesan.
Selain perlantikan, bayaran gaji dan imbuhan yang setimpal juga perlulah dibuat secara adil. Bayaran gaji yang diberikan itu perlulah setimpal dengan kelayakan, taraf hidup dan keadaan setempat. Bagi mengelakkan penipuan dan diskiminasi dalam organisasi pula Islam menghendaki diwujudkan kontrak yang adil antara pekerja dan majikan. Kontrak keadilan ini penting bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku antara majikan dan pekerja dalam organisasi.
Di samping itu, keadilan dalam kebajikan pekerja perlulah diberikan perhatian sewajarnya. Sebagai majikan, mereka perlu adil dalam kebajikan terutamanya dari segi, kesihatan dan keselamatan. Pengabaian majikan terhadap kebajikan pekerja akan menyebabkkan produktiviti di kalangan pekerja menurun. Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan matlamat organisasi terbabit.
Manakala dari segi pengembangan kerjaya pula, majikan perlu bertindak adil dengan memberi ruang dan peluang kepada pekerjanya sama ada dari segi kenaikan pangkat, latihan untuk meningkatkan kemahiran, dan diberi insentif serta pengikhtirafan kepada mereka yang benar-benar layak atau yang sudah lama berkhidmat dalam bentuk anugerah, sijil atau bonus.
Begitu juga dari segi bebanan tugas dan tanggungjawab yang diberikan perlulah adil dan saksama. Islam amat membenci penganiayaan dalam apa jua bentuk termasuklah pembahagian tugas. Misalnya, pembahagian beban tugas antara pegawai atasan dan pegawai bawahan perlulah berpadanan dengan imbuhan yang diberikan. Oleh itu, pihak majikan perlu berlaku adil dan saksama dalam pembahagian tugas agar imbuhan yang diterima setimpal dengan bebanan kerja yang dilakukan.
Prinsip kesaksamaan ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Baginya mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
Begitu juga dalam hal pemberhentian pekerja dan hukuman yang dikenakan ke atas pekerja. Dalam hal ini, pihak majikan perlu memastikan hanya pekerja yang benar-benar melakukan kesalahan dan jenayah diberhentikan atau dikenakan tindakan disiplin. Sebarang hukuman yang dikenakan tanpa bukti yang sahih menggambarkan ketidakadilan berlaku ke atas pekerja terbabit.
Sehingga kini, sejauhmanakah keadilan dilaksanakan dalam organisasi anda? Yang pasti soal keadilan sangat diperlukan dalam organisasi bukan sahaja untuk kepentingan organisasi malah untuk kepentingan masyarakat dan negara. Tanpa keadilan maka kita akan lihat masalah seperti penindasan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mungkin menjadi-jadi dalam organisasi.