Pada 9-10 Mei yang lalu, IKIM telah mengadakan satu seminar kebangsaan yang bertajuk “Peranan Ibu bapa Dalam Perkembangan Sahsiah Anak-anak di Usia Persekolahan.” Seminar ini bertujuan untuk:
a) mengenengahkan pandangan Islam dan bidang ilmu terkini tentang peranan ibubapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak;
b) mengenengahkan inisiatif-inisiatif yang boleh diambil oleh ibubapa untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam perkembangan sahsiah anak-anak mereka; dan
c) mencadangkan pendekatan yang perlu diambil oleh ibubapa dalam berhadapan dengan anak-anak istimewa dan anak-anak yang bermasalah.
Dalam seminar tersebut, satu sesi telah dikhususkan untuk berkongsi pengalaman dengan dua orang ibu unggul. Kedua-dua ibu unggul ini merupakan pemenang anugerah Ibu Tunggal Cemerlang dari Kementerian Perdagangan dan Hal-ehwal Pengguna pada tahun 1997.
Sesi yang bertajuk “Sejam Bersama Ibu Unggul” itu bertujuan untuk mengenali kedua-dua ibu unggul ini serta memanfaatkan pengalaman serta resipi mereka dalam mendidik anak-anak sehingga mendapat anugerah yang sedemikian rupa. Ternyata sesi tersebut berjaya menarik minat para peserta dan saya yakin para peserta mendapat banyak manfaat darinya.
Puan Ajaib Kaur, 57 tahun, menjadi ibu tunggal setelah kematian suami 23 tahun yang lalu. Sejak itu, beliau telah membesarkan keempat-empat orang anaknya bersendirian. Ketika kematian suami, anak-anaknya berusia 13, 11, 10 dan tiga tahun setengah. Dengan bekerja sebagai seorang guru lepasan maktab, beliau membesarkan anak-anaknya. Semua mereka mendapat pendidikan di universiti dan kini menjawat jawatan tinggi di syarikat-syarikat swasta.
Berlainan dengan Puan Ajaib Kaur, Hajah Amron Tengku Raja menjadi ibu tunggal kerana ditinggalkan suami. Namun, ia terima hakikat tersebut dengan tabah. Dengan penuh rasa tanggungjawab, beliau mendidik anak-anaknya. Berkat kegigihannya, ketujuh-tujuh anaknya berjaya mendapat pendidikan di institut pengajian tinggi, baik di dalam, mahupun di luar negara. Enam daripada anak-anaknya menjadi pendidik (sama ada guru atau pensyarah) dan seorang lagi menjadi pegawai bank. Kini, pada usia 60 tahun, Hajah Amron boleh tersenyum bangga melihat “hasil didikan”nya itu.
Sebelum melihat resipi kejayaan mereka mendidik anak-anak, saya rasa adalah lebih baik jika kita melihat keperibadian kedua ibu unggul ini dahulu. Saya yakin, segala kejayaan yang telah mereka capai adalah berpunca dari peribadi mereka sendiri. Tanpa peribadi yang istimewa, tentunya mereka tidak akan berada di mana mereka berada kini.
Peribadi yang paling ketara dalam diri Puan Ajaib Kaur ialah kekuatan dalaman yang beliau miliki. Beliau kematian suami pada usia 33 tahun. Namun, beliau percaya di saat-saat seperti itu beliau perlu berhati waja. Beliau sentiasa sembahyang dan berdoa agar Tuhan memberikannya kekuatan dan semangat untuk menjadi ibu yang baik. Selain itu, Puan Ajaib juga ada wawasan di mana beliau bercita-cita untuk berjaya dalam mendidik anak-anaknya untuk menjadi graduan. Ternyata beliau mencapai wawasannya itu.
Puan Ajaib juga berpegang kepada sikap positif yang baik. Menurut beliau, “Kalau kita ingat kita boleh, tentunya kita boleh buat. … Kita mesti percaya pada diri kita. Selalunya kita tak percaya. Saya tidak suka perkataan ‘Tak boleh’, ‘Tak pasti’ atau ‘Tak faham’. Kita mesti kata ‘Boleh’ ”. Demikianlah betapa positifnya beliau melihat hidup ini.
Bagi Hajah Amron pula, keperibadian beliau yang utama ialah bekerja keras. Beliau bukan sahaja ditinggalkan suami tetapi juga tidak mendapat bantuan suami dalam membesarkan anak-anaknya. Jadi, beliau terpaksa bekerja pagi dan petang untuk menyara anak-anaknya. Di sebelah pagi beliau menjadi guru tadika Islam manakala di sebelah petangnya pula beliau menjadi guru agama di Sekolah Agama Rakyat. Di samping itu, beliau juga melakukan kerja sambilan seperti menanam ubi kayu dan menjalankan kutu pinggan-mangkuk untuk menyukupkan keperluan kewangan keluarganya. Kegigihan beliau lebih menonjol bilamana beliau sempat belajar sendiri dan berjaya mendapatkan SRP dan SPM demi memenuhi cita-citanya untuk mendapat pendidikan.
Dari pengalaman kedua-dua ibu unggul ini, dapat kita lihat wujudnya unsur-unsur yang sepunya dalam cara mereka mendidik anak-anak. Pertama, keduanya mengutamakan didikan serta komitmen kepada agama yang dianuti. Kedua, mereka mengutamakan komunikasi dengan anak-anak sebagai cara penting untuk mendekati mereka.
Puan Ajaib Kaur sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa kalau ingin berjaya, mereka hendaklah sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Sembahyang dan doa ini pula, hendaklah disusuli dengan kerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajati itu. Beliau sendiri mengamalkan apa yang diajarkannya ini. Menurut beliau, sebagai ibu tunggal, beliau seringkali berhadapan dengan kesukaran dan kesedihan. Namun, Tuhanlah tempat beliau mengadu dan memohon kekuatan.
Hajah Amron juga mengutamakan pendidikan agama kepada anak-anaknya. Sebagai guru agama, beliau bukan sahaja mengajar anak-anaknya tentang fardu ain, tetapi menyuruh mereka mengamalkannya. Beliau akui, sehingga kini, kalau anak menantunya datang ke rumah, beliau akan mengejutkan mereka di awal pagi untuk sembahyang Subuh. Begitulah kuatnya penekanan yang diberikan oleh beliau kepada sembahyang.
Selain itu, Hajah Amron mengajar anak-anaknya membaca Quran. Selain kerana beliau sendiri merupakan guru agama, beliau lakukan ini kerana beliau percaya dengan cara ini beliau dapat mengelakkan unsur-unsur negatif dari diri anak-anaknya. Sebagaimana yang kita tahu, pada waktu itu, jika anak-anak belajar mengaji dengan orang lain, anak-anak ini akan pergi ke rumah gurunya secara berkumpulan dan pulang secara berkumpulan juga. Bagi mengelakkan anak-anaknya dipengaruhi kawan-kawan pada masa pergi dan balik inilah, Hajah Amron membuat keputusan untuk mengajar anak-anaknya sendiri. Lagi pula menurut beliau, dengan mengajar sendiri, beliau dapat memberi sepenuh perhatian kepada anak-anaknya.
Dari segi komunikasi dengan anak-anak mereka, kedua-dua ibu tunggal ini ada cara mereka sendiri. Puan Ajaib Kaur mengakui bahawa memang susah untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Namun, beliau percaya ia akan jadi mudah jika beliau mengambil pendekatan sebagai seorang kawan. Jadi, itulah caranya beliau berkomunikasi dengan anak-anaknya.
Apabila beliau merasa marah kepada anak-anaknya, beliau mengamalkan sifat sabar. Beliau akan mengira sehingga lima (untuk melegakan kemarahan itu, mungkin) dan bertanya dengan baik kepada anaknya mengapa ia berbuat demikian. Misalnya, jika anaknya asyik menonton televisyen dan tidak membuat kerja seperti sepatutnya, beliau akan tanya dengan baik, “Mengapa tak buat?” atau “Mengapa lambat?”. Beliau akui itu bukan senang untuk dilakukan tetapi ada satu perkara yang mendorongnya untuk bersabar iaitu ingatannya bahawa beliau telah tiada suami dan jika beliau kehilangan anak-anaknya juga (kerana anak-anaknya bencikan beliau kerana asyik marah dan menengking sahaja), maka hidupnya tidak akan bermakna lagi. Menyedari inilah beliau sentiasa bersabar menangani karenah anak-anaknya.
Menurut Puan Ajaib Kaur, kadangkala anak-anaknya menjawab soalannya itu dengan nada marah. Dalam keadaan begitu, ramai ibubapa yang akan menegking anaknya dan sebagainya. Tetapi beliau tidak. Beliau hanya diam dan masuk ke bilik dan menangis. Kini, anak-anaknya sedar bahawa ibu mereka tidak pernah menengking mereka dan bertanya mengapa demikian. Beliau menjawab, “Kerana saya ingin menjadi kawan kamu.” Jadi, ternyata kesabaran Puan Ajaib Kaur telah berbalas bila mana anak-anaknya kini menghargai peribadinya itu.
Wanita yang sememangnya ‘ajaib’ ini berpendapat adalah amat penting untuk ibubapa menjadi kawan kepada anak-anak mereka kerana kalau ibubapa tidak menjadi kawan kepada anak-anak mereka, anak-anak akan mencari orang lain bila ada sesuatu masalah. Melalui cara ini, segala rahsia rumah kita akan diketahui oleh orang lain. Untuk mengelakkan perkara ini, Puan Ajaib telah cuba sedaya-upaya untuk menjadi kawan kepada anak-anaknya.
Bagi Hajah Amron pula, komunikasi perlu berlaku secara terus dan bukannya perlu ada masa-masa tertentu yang perlu dikhaskan untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Beliau berkomunikasi dengan anak-anaknya di mana-mana sahaja, di dapur, semasa makan, semasa memasak, di dalam bas dan di mana-mana sahaja. Dari segi kandungan perbualan mereka, Hajah Amron percaya, minat anak-anak boleh menjadi topik perbualan yang amat menarik. Oleh itu, beliau mengenalpasti minat anak-anaknya dan berbual dengan mereka mengenai perkara tersebut.
Misalnya, anak sulong beliau amat berminat dengan sukan. Jadi, beliau memberikan anaknya itu galakan dan kata-kata semangat dalam bidang yang disukai itu. Anaknya yang memasuki pertandingan membaca Quran pula, beliau galakkan dengan mengajarnya membaca dengan baik, dengan lagu yang sesuai dan seumpamanya.
Beliau juga menghadiri aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah yang melibatkan anak-anaknya. Menurut beliau, dengan menghadiri aktiviti-aktiviti seperti itu, selain dapat menunjukkan sokongannya kepada mereka, peristiwa-peristiwa yang berlaku di majlis-majlis itu juga akan dapat menjadi topik perbualan apabila balik nanti.
Kini, segara jerih-perih Hajah Amron bekerja keras membesarkan anak secara sendirian telah dibalas bila mana kesemua anak-anaknya berjaya. Bukan itu sahaja, malah menurut beliau, walaupun sudah berusia 60 tahun dan tinggal berdua dengan ibunya di rumah, setiap hujung minggu ada sahaja anak-anaknya yang balik, “Setiap minggu, dua keluarga – dua keluarga balik. Jadi, hidup saya ini tidaklah sunyi.” Apalagi yang dibimbangkan oleh seorang tua melainkan ditinggalkan sepi oleh anak-anak yang telah dibesarkan? Ternyata kebimbangan ini tiada pada diri Hajah Amron.
Sebenarnya, sesi ini diadakan atas nasihat Y. Bhg. Tan Sri Pengerusi IKIM sendiri yang berpendapat para peserta perlu “dihidangkan” dengan contoh hidup (living example) bagaimana seorang ibu itu mendidik anak-anaknya sehingga semuanya berjaya. Contoh hidup ini tentunya lebih menarik berbanding teori-teori yang belum dapat dipastikan kejayaannya. Pengalaman kedua ibu ini menunjukkan bahawa ibu tunggal juga boleh berjaya jika mereka mahu. Cuma, seperti kata Ketua Pengarah IKIM semasa mempengerusikan sesi ini, “Ibu tunggal berjuang lebih banyak dari ibu-ibu yang ada suami.” Inilah yang perlu diingat oleh para ibu tunggal. Namun, hukum alam sentiasa menunjukkan bahawa sebanyak mana usaha, sebanyak itulah juga kejayaannya. Seperti kedua-dua ibu ini, sebanyak mana kejayaan mereka, sebanyak itulah juga usaha dan pengorbanan mereka.