Satu daripada peperangan penting semasa zaman awal Islam ialah Perang Uhud yang berlaku pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tentera Quraisy Makkah dengan kekuatan 3,000 orang di bawah pimpinan Abu Sufyan ibn Harb menuju ke Madinah kira-kira sembilan bulan selepas Perang Badar. Perang Uhud, yang merupakan konflik ketenteraan kedua antara Muslimin di Madinah dengan Musyrikin di Makkah pada waktu itu, dilihat sebagai usaha membalas dendam oleh Musyrikin Makkah selepas kekalahan dalam Perang Badar.
Pada peringkat awal pertempuran yang berlaku di Bukit Uhud, kemenangan nampak berpihak kepada tentera Muslimin sekalipun jumlah mereka jauh lebih kecil berbanding tentera Musyrikin Makkah. Dalam menghadapi tentera musuh, Nabi Muhammad SAW telah mengatur strategi bijak dengan mengarahkan pasukan pemanah supaya kekal di kedudukan mereka walau apa juga yang berlaku.
Sungguhpun begitu, apabila melihat keadaan menyebelahi tentera Muslimin, pasukan pemanah telah meninggalkan kedudukan yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW bagi mengutip harta tinggalan tentera musuh. Akibat daripada tindakan yang tidak mengikuti arahan Rasulullah SAW, tentera Musyrikin telah mengambil kesempatan untuk bertindak balas.
Khalid ibn al-Walid yang mengetuai pasukan berkuda tentera Musyrikin telah menggempur dan memporak-perandakan tentera Muslimin. Ramai tentera Muslimin yang gugur syahid, dan mereka yang terselamat terpaksa berundur ke cerun Bukit Uhud. Tentera Musyrikin bagaimanapun tidak mengejar tentera Muslimin, sebaliknya kembali ke Makkah dengan mengisytiharkan kemenangan di pihak mereka.
Satu pengajaran besar yang sering diperingatkan daripada peristiwa Perang Uhud ini ialah ketidakpatuhan kepada arahan yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW sehingga menyebabkan kelebihan awal yang diperoleh oleh tentera Muslimin dapat diambil kesempatan oleh tentera Musyrikin. Kisah Perang Uhud tersebut juga sebenarnya sesuai dijadikan iktibar dalam kita menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu COVID-19.
Apabila pandemik COVID-19 melanda dunia, Malaysia telah mengambil langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. PKP ini melibatkan beberapa fasa dengan pelbagai peraturan dan syarat dikenakan untuk dipatuhi. Sebelum pelaksanaan PKP, jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Bagaimanapun melalui inisiatif PKP, jumlah jangkitan telah berjaya diturunkan ke satu tahap yang selesa.
Bacaan R0 yang menggambarkan tahap kebolehjangkitan penyakit turun sehingga 0.3 dan angka ini membolehkan Malaysia memasuki tahap PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang dilalui pada waktu ini. Angka jangkitan turun sehingga ke satu digit, malahan ada hari yang mencatatkan angka sifar bagi kes penularan tempatan.
Sekalipun banyak aktiviti telah dibenarkan dan diberikan kelonggaran, prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan masih perlu dipatuhi. Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan adalah antara perkara wajib yang perlu terus-menerus diamalkan dalam norma baharu sekarang. Hakikatnya selagi vaksin belum ditemui, maka selagi itu SOP norma baharu terpakai dan tidak boleh diabaikan.
Namun disebabkan kelonggaran yang diberikan dan mungkin juga rasa selesa apabila melihat angka jangkitan menurun, ramai yang mula ambil ringan terhadap pematuhan SOP. Apabila ini berlaku, kita mula menyaksikan peningkatan kes baharu harian kepada dua angka dalam tiga minggu kebelakangan ini.
Dilaporkan bahawa kadar kebolehjangkitan penyakit atau R0 kini berada pada angka 1.3 yang merupakan satu peningkatan yang membimbangkan. Perkara ini menjadi lebih serius apabila ada dalam kalangan pengembara yang kembali ke tanah air yang tidak mematuhi peraturan kuarantin selama dua minggu sebagai individu yang di bawah pengawasan.
Usaha melandaikan graf yang pada asalnya nampak berjaya kini seperti sedang beralih ke arah peningkatan semula yang membawa kepada gelombang kedua jangkitan. Arah aliran peningkatan jangkitan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di banyak negara lain yang juga pada peringkat awal dilihat berjaya mengawal penularan penyakit COVID-19. Antaranya ialah Jepun, Hong Kong dan Australia yang kini berhadapan dengan gelombang kedua yang lebih dahsyat.
Maka tidak hairanlah apabila kerajaan Malaysia mengambil beberapa pendekatan drastik bagi membendung penularan gelombang kedua COVID-19 seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam serta mewajibkan pengembara yang kembali dari luar negara untuk dikuarantin di pusat kuarantin khas dan tidak lagi di rumah masing-masing.
Pada peringkat awal PKP, kita dapat melihat tahap disiplin dan kepatuhan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai sebahagian usaha melandaikan graf jangkitan. Usaha ini menampakkan hasil apabila jumlah jangkitan berjaya diturunkan. Bagaimanapun, kejayaan awal ini tidak wajar menjadi asas untuk kita merasakan yang perang melawan COVID-19 telah berjaya.
Arahan yang diberikan oleh kerajaan dalam bentuk pematuhan kepada SOP masih perlu dipatuhi. Usah kita mengulangi kesilapan pasukan pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka apabila melihat tentera Muslimin mula meraih kejayaan dalam Perang Uhud. Perang melawan COVID-19 belum selesai, malah ia menuntut kita semua untuk terus cekal dan berdisiplin tinggi untuk memastikan kadar jangkitan berada pada tahap yang rendah.
Jangan kita menjadi golongan yang menang pertempuran awal tetapi tewas peperangan sebenar. Kunci tentera Musyrikin berjaya mengambil kesempatan ke atas tentera Muslimin ialah kehilangan disiplin. Dalam konteks perang melawan COVID-19, disiplin yang dibentuk dalam tiga bulan pertama PKP tidak wajar dilupakan oleh sebab selesa dan berpuas hati dengan kejayaan awal yang dikecapi.
Sedar atau tidak, kita semua kini berada di barisan hadapan dalam perang ini, ibarat pasukan pemanah di Bukit Uhud yang diamanahkan dengan tugas menghalang musuh daripada mara. Demi memastikan kejayaan melawan COVID-19, maka seharusnya kita mengambil iktibar daripada Perang Uhud supaya kealpaan yang berlaku kepada pasukan pemanah tidak berulang sehingga memakan diri.