Rempuhan pandemik COVID-19 memberi kesan ketara terutamanya dalam bidang ekonomi. Banyak entiti dan individu daripada pelbagai sektor terjejas. Ada yang terpaksa meneroka peluang baharu demi meneruskan operasi dan kehidupan termasuk menceburi bidang perniagaan. Memilih perniagaan yang sesuai merupakan satu keputusan penting kerana keputusan yang tepat dapat menyelamatkan modal daripada lebur, mengelakkan semangat daripada terus hancur dan menghindarkan perniagaan daripada terkubur.
Dalam kerangka normal baharu, seiring revolusi industri, media massa dan dunia digital, model perniagaan juga turut mengalami perubahan. Memulakan perniagaan tidak semudah menciptakan produk dan perkhidmatan, jual dan berjaya. Selain model perniagaan Mak Cik Kiah, Pak Salleh, En. Lee dan Puan Rani, terdapat berbagai-bagai konsep, bentuk dan model yang lebih sukar difahami dan sulit dilaksanakan.
Akibat pandemik, banyak industri terjejas, syarikat tidak dapat beroperasi semula dan pekerja ditawarkan pakej pemberhentian. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran diunjurkan meningkat sebanyak 0.3% setiap bulan bermula daripada 5.3% pada Mei tahun ini. Begitu juga nisbah guna tenaga penduduk turun 0.4% kepada 64.4%. Pengangguran dalam kalangan graduan menyumbang sekitar 29.3%. Pengangguran dan penguncupan sektor pekerjaan berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah hampir seluruh dunia. Amerika Syarikat mengalami masalah yang sama dengan kadar pengangguran sekitar 14.7%, menurun ke 11.1% bagi tempoh April hingga Jun 2020.
Suasana suram ekonomi yang dijangkakan berlarutan sehingga suku akhir tahun hadapan memaksa ramai meneroka peluang perniagaan untuk meneruskan kehidupan. Kejayaan dalam perniagaan bergantung kepada kemampuan menguasai bentuk dan model yang bersesuaian. Ciri utama yang tidak boleh dipandang ringan ialah bentuk perniagaan yang memasukkan unsur perkongsian dalam model perniagaan, membina empayar kepercayaan pengguna dan mengoptimumkan teknologi serta sistem semasa.
Zaman semakin pelik apabila ada atau tiada produk sendiri, kini tidak menjadi masalah. Untuk berjaya dalam perniagaan juga tidak menuntut kita menjual, kejayaan boleh dicapai hanya melalui perkongsian sahaja. Jika seseorang memiliki kredibiliti pemasaran maya serta mampu membina keyakinan orang lain, itu sudah dianggap aset penting menjayakan perniagaan.
Hakikatnya, bentuk perniagaan alaf ini membolehkan perniagaan dijalankan walaupun tanpa memiliki barang. Aktiviti pemasaran dan penjualan berlangsung hanya melalui pautan, dropship atau penyediaan platform perkhidmatan tertentu. Mungkin terdapat pihak yang menitikberatkan halal dan haram mempersoalkan tentang hukum, bolehkah berniaga tanpa memiliki barang?
Kaedah fiqah menetapkan hukum asal semua bentuk muamalah adalah harus kecuali jika terdapat dalil pengharamannya. Perniagaan bentuk baharu ini hukumnya harus di sisi syariat kerana selain memastikan tidak terlibat dengan aktiviti haram, kontrak muamalahnya memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan bagi mengelak berlaku khilaf melalui persetujuan dan kejelasan, contohnya dropship melalui transaksi tiga penjuru di antara pembeli-penjual-pengeluar. Jual beli ini diharuskan kerana mengambil prinsip bai’ salam atau istisna’ (tempahan barang yang belum ada) dan wakalah (penjual sebagai ejen komisyen bagi pihak pengeluar), kemampuan penyerahan dan keyakinan berlakunya pertukaran melalui hubungan dan bukti transaksi.
Saat kita berterusan khilaf tentang hukum, bukan sedikit syarikat yang berjaya dengan perniagaan tanpa memiliki barang dan perkhidmatan. Perkhidmatan yang kita perolehi melalui aplikasi seperti Grab, Airbnb, Booking.com dan banyak lagi syarikat yang tidak memiliki premis atau hartanah yang disewakan. Dalam menjayakan syarikat seumpama ini, prinsip kongsi (keuntungan) dan bina keyakinan (semua pihak) adalah asas penting perniagaan.
Begitu juga dua prinsip ini penting dalam mencipta hubungan penjual dan pembeli. Perkongsian untung antara pengeluar dan ejen boleh meningkatkan penguasaan pasaran yang tidak terjangkau oleh pengeluar. Banyak syarikat tempatan yang menggunakan pendekatan yang sama. Malah ejen menikmati kekayaan setimpal dan berbaloi dengan usaha mereka sama ada di peringkat pengedar atau stokis.
Model perniagaan yang mengamalkan tahap kepercayaan tinggi mengikat kesetiaan pelanggan melalui pendaftaran, penyertaan atau subscription. Google membentuk sistem subscription dengan menyediakan akaun e-mel percuma kepada pengguna yang boleh digunakan untuk mendaftar akaun pengguna platform lain, dan menjadi identification (ID) unik kepada banyak platform tersebut.
E-mel dengan pengesahan nombor telefon bimbit memadai menjadi ID pengguna untuk meneruskan pelbagai transaksi. Akaun yang sama juga menjadi ID untuk mendaftar aplikasi dan platform media sosial dan dagang yang lain. Penggunaan ID juga digunakan oleh Apple yang tanpa disedari mengikat pengguna untuk terus mengekalkan kesetiaan penggunaan barangannya. Kalau ada yang mengatakan akaun media sosial percuma bukan sebahagian daripada perniagaan, mungkin mereka perlu lakukan sedikit kajian pendapatan tahunan dan keuntungan syarikat media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
Pengguna memang menggunakan aplikasi ini secara percuma, tetapi sedarkah bahawa syarikat lain (B2B) membayar pengiklanan kepada syarikat-syarikat ini? Hebatnya model perniagaan syarikat-syarikat ini sehingga boleh memberi peluang pendapatan lumayan walaupun kepada pengisi kandungan saluran (seperti YouTuber) sebagai “rakan kongsi.” Nilai syarikat Google yang memiliki YouTube mencecah USD1 trillion. Manakala nilai Facebook pula melebihi USD700 bilion.
Contoh-contoh di atas adalah beberapa syarikat yang menggabungkan unsur perkongsian dan kepercayaan dalam model perniagaan mereka. Selain itu, mereka juga mengoptimumkan penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pengurusan data, pengesanan pintar kecenderungan dan keperluan pengguna.
Kesimpulannya, revolusi yang berlaku mengubah konsep, bentuk dan model perniagaan daripada semata-mata mencari keuntungan kepada mengutamakan nilai kepada pembeli atau pengguna, iaitu dengan menghayati prinsip caveat venditor (lets the seller beware). Syarikat yang baru bermula perlu pastikan ciri perkongsian sama ada melalui lantikan ejen, bina kepercayaan, keahlian pengguna dan optimumkan penggunaan media sosial, dalam talian dan teknologi digital. Dengan sedikit sebanyak penguasaan teknik pemasaran digital dan strategi copywriting, perniagaan baharu juga mampu teguh berdiri dalam industri masing-masing.