Kita baru sahaja memasuki tahun baru 2007. Soalan yang sering dilontarkan pada masa ini adalah, apakah ‘azam’ tahun baru anda? Saya pula ingin bertanya apakah ‘azam’ tahun baru anda sebagai pengguna? Perlukah pengguna mempunyai ‘azam’, ada yang bertanya. Mengapa tidak? Sebagai pengguna hendaklah kita beriltizam di tahun baru ini untuk membentuk kesedaran dan persefahaman yang lebih terhadap masalah, soalan dan hal ehwal pengguna.
Siapakah yang dikatakan pengguna? Jika diimbas kembali secara ringkas pengguna itu bererti “setiap orang yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan daripada pasaran untuk kegunaan dirinya dan keluarganya”. Dengan demikian mereka menggunakan hasil usaha orang lain sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Sebagai pengguna juga mereka perlu membayar barangan atau tenaga tersebut dengan sejumlah wang pada kadar tertentu.
Sehubungan itu pengguna perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mereka tentang maklumat kepenggunaan. Pengguna yang berpengetahuan tidak mudah ditipu dan mampu melindungi diri mereka daripada peniaga yang tidak berakhlak. Sebenarnya maklumat tentang kepenggunaan ini pernah disebut dan dibincangkan, namun ia perlu sentiasa diingatkan dan di tahun baru ini disematkan sebagai suatu iltizam.
Pengguna perlu sedar akan kuasa beli yang berada di tangan mereka. Mereka perlu bijak menangani masalah kenaikan harga barangan di pasaran dengan membeli hanya barangan bermutu dengan harga berpatutan sahaja. Elakkan membeli dari peniaga yang cuba menaikkan harga barang dan memulaukannya terus, jika perlu. Ini akan menghantar tanda yang jelas kepada peniaga tersebut bahawa pengguna mempunyai pilihan di tempat lain untuk membeli barang keperluan harian. Agama Islam juga amat menekankan prinsip kesederhanaan dalam berbelanja ini(Surah al-Furqan:67).
Dengan cara bijak berbelanja ini, pengguna dapat mengawal inflasi kerana banyak kesan buruk jika kenaikan dalam harga barangan di pasaran tidak terkawal. Paling teruk, jika inflasi meningkat dan kuasa perbelanjaan di tangan pengguna semakin mengejut, maka ekonomi negara mungkin boleh menjunam jatuh. Pengguna Muslim juga boleh menggunakan pengaruh dan kuasa mereka untuk hanya membeli dari pengusaha Muslim, khususnya dalam soal makanan halal.
Ini bagi memastikan makanan yang dimakan bukan setakat halal dimakan tetapi bersih. Pengusaha bukan Islam mungkin sekadar mementingkan halal bagi memenuhi peraturan makanan agar memperolehi keuntungan dari perniagaan mereka, namun bagi pengusaha Muslim peraturan halal adalah berkait dengan aqidah.
Pengguna juga perlu mengetahui dan memahami apakah hak-hak mereka agar tidak mudah diperdaya. Antara hak pengguna adalah:
(i) Hak mendapat keperluan asas- bererti hak untuk mendapat barang-barang dan perkhidmatan yang perlu bagi kehidupan; iaitu makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, dan pendidikan. Dalam hal makanan, pengguna perlu mengetahui undang-undang yang berkaitan makanan, dengan ini pengguna boleh menuntut supaya makanan dijual dengan harga yang berpatutan, selamat dan mencukupi.
(ii) Hak mendapatkan keselamatan- pengguna dilindungi daripada pengusahaan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.
(iii) Hak mendapatkan maklumat-pengguna mesti diberi maklumat yang cukup dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan bijak. Hak untuk diberitahu termasuk juga mengelakkan penipuan dan melindungi pengguna daripada iklan-iklan yang menyeleweng, penamaan yang mengelirukan dan amalan-amalan yang tidak berakhlak.
(iv) Hak untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat yang mereka perolehi tanpa ada unsur-unsur paksaan
(v) Hak bersuara-ini untuk memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.
(vi) Hak mendapatkan ganti rugi- pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian atau penggunaan barangan/perkhidmatan yang cacat atau berbahaya
(vii) Hak mendapatkan maklumat kepenggunaan-pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan.
(viii) Hak dan tanggungjawab alam sekitar yang sihat dan selamat serta bebas daripada sebarang keadaan yang bahaya.
Secara amnya hak-hak pengguna ini telah diterima di seluruh dunia. Di samping hak-hak yang diatas pengguna juga perlu mengetahui bahawa terdapatnya 33 undang-undang di negara ini bagi melindungi kepentingan pengguna. Pengguna juga perlu menyedari wujudnya pelbagai cara menebus rugi bagi menyelesaikan masalah pengguna, seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Biro Pengantaraan Kewangan. Selain itu terdapat juga Buletin Pengguna yang diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia(FOMCA) untuk dimanfaatkan oleh pengguna.
Apabila disebut hak-hak pengguna tadi, pengguna juga mestilah prihatin akan tanggungjawab mereka. Mereka hendaklah bersatu untuk menegakkan hak-hak mereka sebagai pengguna. Disinilah timbulnya kepentingan untuk menjadi ahli persatuan pengguna supaya dapat menentang kerosakan yang berlaku ke atas kita dan keluarga. Matlamat utama pertubuhan pengguna adalah melindungi mana-mana individu daripada ketidakadilan di pasar. Bagaimana memastikan anda mendapat nilai dari setiap ringgit yang dibelanjakan. Secara tradisi perlindungan pengguna tertumpu ke atas masalah seperti barangan yang tidak selamat, bermutu rendah , barangan tiruan , jaminan yang tidak dipenuhi, iklan yang mengelirukan, penipuan, pemeriksaaan harga-harga barangan, meletakkan tanda-tanda di kotak atau tin sesuatu barangan, penipuan melalui pesanan melalui pos, bayaran telefon, air dan elektrik yang salah.
Pengguna harus sedar bahawa mereka perlu berjuang secara berkumpulan untuk mempastikan hak mereka tidak terabai atau dipandang lekeh. Memang benar mereka mempunyai hak, namun mereka masih perlu berusaha mempertahankannya melalui saluran-saluran yang betul. Tahap kesedaran pengguna di negara ini sebenarnya masih rendah, mereka amat pemaaf dan ada yang takut dimarahi peniaga. Mereka juga agak ‘malas’ bersusah sedikit untuk memulangkan barangan atau perkhidmatan yang bukan seperti yang mereka kehendaki. Disebabkan sikap sedemikian tidak hairanlah hak-hak kita sebagai pengguna tidak dipedulikan dalam urusan perniagaan. Jika mereka bersatu, mereka tidak akan mudah diperdaya dari segi bekalan mahupun penentuan harga.
Sememangnya tamaddun Islam juga mengiktiraf kewujudan keperluan melindungi pengguna. Sesungguhnya syariah Islam amat prihatin agar pengguna tidak ditipu mahupun ditindas dalam urusan mereka. Oleh itu sama-sama lah kita berusaha agar iltizam kita di tahun baru ini untuk menjadi pengguna yang lebih prihatin dapat tercapai agar hidup menjadi lebih bermakna. Perubahan gaya hidup rakyat Malaysia kepada pengguna bijak juga diharap dapat membantu dalam pembentukan ‘minda kelas ketiga’ ke ‘minda kelas pertama’.