Sesungguhnya kita umat Islam sangat bertuah kerana dianugerahkan nikmat Aidil Adha sebagai lambang pengorbanan, kehebatan dan keunggulan umat sejagat. Di mana kehebatan dan keunggulan itu dipamekan pada pengorbanan seorang Nabi kepada Tuhannya yang telah menerima perintah supaya berkorban dengan menyembelih anak kesayangannya sendiri. Unggulnya umat Islam itu juga dapat dilihat dalam satu perhimpunan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang saban tahun berkumpul dalam satu perhimpunan agung di tanah suci Mekah dengan natijah pengorbanan masing-masing iaitu untuk menjunjung tinggi kalimah tauhid. Sementara mereka yang tidak dapat bersama-sama untuk menjejak kaki di Mekah pula akan bersiap sedia untuk membuat pengorbanan masing-masing dengan korban-korban dari kalangan binatang ternak yang terpilih dan terbaik di pagi Aidil Adha dan beberapa hari berikutnya sebagai lambang kebersamaan dalam ubudiah kepada Allah.
Pada masa yang sama, ketika seluruh umat Islam menyambut Aidil Adha dengan laungan takbir dan haiwan korban, ketika itu juga dunia dan seluruh penduduknya menyambut kedatangan tahun baru 2007. Lazimnya kehadiran tahun baru disambut dengan tekad dan azam baru. Iaitu azam yang telah dilalui sebelumnya diperbaharui atau diperkukuhkan dengan semangat dan cita-cita baru. Selain itu, ramai juga yang menyambut tahun baru dengan bergembira, berhibur dan bersukaria sehingga melampui batas-batas yang telah ditetapkan syariat.
Tetapi apakah makna sambutan tahun baru yang diinginkan oleh Islam, apatah lagi ianya disambut hampir serentak dengan kedatangan Aidil Adha yang mulia. Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru masihi ini ialah kehadirannya perlu diiringi dengan semangat dan penghayatan hijrah. Semangat dan penghayatan ini pula hanya dapat diisi oleh mereka yang memiliki jiwa hijrah, iaitu mereka yang sanggup untuk berubah dan bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan. Sementara perubahan yang dibawa itu pula akan memberi makna yang besar kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga agama.
Sesungguhnya merayakan Aidil Adha seiring dengan sambutan tahun baru 2007 mengingatkan kita kepada semangat pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya Nabi Ismail a.s. dan juga perubahan yang telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kepada dunia daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran Ilahi. Nabi Ibrahim telah mengajar kita bahawa ketaatan kepada Allah perlulah disertai dengan pengorbanan dan kesungguhan, maka Nabi Muhammad pula mendidik kita supaya tabah dan cekal sebelum dianugerah kemenangan dan kejayaan.
Namun tidak begitu halnya umat Islam ketika menyambut tahun baru 2007 dengan jiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan begitu juga ketika merayakan Aidil Adha dengan semangat pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Malah ramai di kalangan umat Islam sendiri tidak memahami makna sambutan hari raya Aidil Adha dan juga sambutan tahun baru. Keadaan ini jelas dilihat apabila setiap kali menjelmanya tahun baru maka pelbagai aktiviti sambutan yang bercanggah dengan syariat Islam disediakan dan diraikan oleh orang Islam sendiri. Bahkan sambutan hari raya sekalipun turut diraikan dengan pelbagai aktiviti hiburan yang melalaikan. Sambutan yang dibuat oleh orang Islam saling tak tumpah sama seperti sambutan yang dibuat oleh orang Barat. Ini menjelaskan lagi kepada kita bahawa penjajahan minda dan perubahan cara hidup yang dibawa oleh Barat telah meresap jauh ke dalam sanubari umat Islam masa kini.
Pada hari ini ada sebahagian umat Islam telah menjadikan Barat sebagai rujukan kononnya untuk maju, canggih, moden dan progresif. Malah tidak kurang juga yang beranggapan Islam adalah agama yang membelengu, ketinggalan zaman, jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Lalu mereka ini dengan megahnya menerima apa sahaja yang datang dari Barat dan mempercayainya sebagai lambang kebebasan dan imej baru kehidupan masa kini. Negara-negara Barat dianggap seperti raja kerana merekalah yang memerintah dunia ketika ini dan tamadun moden pula banyak yang lahir dari negara-negara mereka.
Namun, sama ada kita sedar atau tidak Barat telah terhutang ilmu dan tamadunnya kepada Islam sehingga mereka boleh bangun dan melakukan perubahan dan seterusnya menjajah kita selama hampir 700 tahun. Sekiranya kita merenung kembali sejarah umat Islam, kita boleh membuat andaian ringkas bahawa umat Islam terlalu kuat untuk dikalahkan sehinggalah menjelangnya abad ke-19. Bermula sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi hinggalah ke abad tersebut umat Islam tidak pernah jatuh, cuma menghadapi turun dan naiknya sahaja. Contohnya pada 1258, apabila Baghdad di tewaskan dan ditawan oleh Hulagu, ada orang beranggapan umat Islam telah jatuh, tetapi hakikatnya tidak kerana Islam berkembang di tempat lain. Tidak sampai setengah abad selepas itu Islam berkembang pula di Turki dan seterusnya membawa kepada penaklukan Istanbul pada 1453. Pada waktu yang sama juga Islam terus berkembang dengan subur ke Eropah, Sepanyol, Afrika Utara, India dan juga di alam Melayu.
Begitu juga apabila umat Islam dianggap jatuh pada 1492 setelah jatuhnya Andalusia di Sepanyol, namun Islam tetap berkembang maju di benua India, malah pengaruhnya telah sampai ke Vienna, Austria dan sebahagian besar Semenanjung Balkan. Keadaan ini berterusan sehinggalah berlakunya Perang Dunia Pertama, di mana kerajaan Othmaniah kalah dan sistem khalifah Islam tamat pada tahun 1924. Hanya selepas itu, satu demi satu kejatuhan umat Islam berlaku hingga ke hari ini, dan masih belum memperlihatkan kebangkitan di mana-mana. Pada penghujung abad ke 19, umat Islam jatuh dan terus jatuh, Mesir ditawan oleh Inggeris, Afrika Utara oleh Perancis, dan umat Islam di Asia Tenggara termasuk kita di Tanah Melayu silih berganti dikuasai Portugis, Belanda dan Inggeris.
Sejarah umat Islam abad ke-20 dan mungkin juga ke-21 akan mencatatkan sejarah paling malang untuk umat Islam. Pada abad ini tidak ada apa yang hendak dibanggakan, kerana umat Islam bukan lagi penyumbang ilmu dan tamadun. Bahkan mereka adalah golongan yang terkebelakang dari segala segi sungguhpun jumlah mereka ramai. Memang benar apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu bahawa umat ini bukan lemah sebab bilangannya, tetapi jumlah mereka ramai seperti banyaknya buih di lautan. Umat ini lemah kerana longgar pegangannya kepada agama sehingga mereka sangat cintakan dunia dan takutkan mati.
Maka di saat menjelmanya Aidil Adha 1427H yang menuntut kita supaya sanggup berkorban seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan diiringi pula dengan datangnya tahun baru 2007M ini yang mengajar kita erti sebenar cita-cita dan perubahan seperti penghayatan jiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w, wajar kita umat Islam merenung kembali peranan yang perlu dipikul oleh setiap jiwa yang mengaku dirinya Islam.
Rela atau tidak, kita adalah pemegang amanah dan pemikul kewajiban yang akan membawa perubahan dengan semangat pengorbanan yang telah dirintis oleh para Nabi. Seandainya mereka yang berada di Tanah Suci menyambut Aidil Adha dengan laungan takbir dan korban sembelihan masing-masing, maka tidak kurang juga kita di sini memikul amanah untuk berkorban dengan jiwa dan harta dan seterusnya melaungkan takbir dan meninggikan kalimah tauhid sehingga ia kembali tinggi melangit dan kembali menjadi umat yang dapat menjana tamadun dan kehidupan yang bermaruah.