IMAN ialah syarat Islamnya seseorang. Ia adalah kepastian tentang wujudnya Allah s.w.t sebagai Pencipta.
Selebihnya ia juga membawa manusia kepada penyerahan diri terhadap Allah.
Manusia yang beriman akan mentaati perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Iman adalah asas kepada ketakwaan yang ditakrifkan oleh Sayidina Ali Abu Talib sebagai takut kepada Allah, rasa syukur atas segala nikmat Ilahi, beramal dan melaksanakan segala suruhan Allah serta sentiasa bersedia untuk menemui Allah.
Berhubung soal takwa, Sayidina Umar pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab.
Ubay bertanya kembali kepada Umar, “Pernahkah engkau melalui suatu jalan yang penuh dengan duri?” Jawab Umar, “Ya!” Ubay bertanya lagi, “Apakah tindakan engkau terhadapnya?” Jawab Umar, “Aku mengelak daripadanya dan aku berhati-hati.” Balas Ubay, “Itulah maknanya takwa.”
Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, ciri-ciri orang beriman dan bertakwa ialah mereka mempunyai waktu-waktu yang khusus bagi menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t, mempunyai waktu untuk bermuhasabah diri dan memperuntukkan waktu-waktu tertentu untuk merenung rahsia kejadian alam.
Selain itu orang beriman turut menjaga makan dan minumnya dan dia akan melakukan sesuatu dengan alasan yang baik sama ada sebagai bekalan hari akhirat, keselesaan hidupnya ataupun untuk keseronokan dan kelapangan jiwanya asalkan sahaja tidak melanggar hukum.
Orang beriman juga akan menjaga masa, memantau apa yang dikerjakannya dan menjaga tutur kata.
Perkataan yang diucapkan sangat sedikit kecuali jika ia wajar dan penting.
Iman juga mampu mempengaruhi pandangan hidup, perbuatan dan tingkah laku.
Bentuk zahir keimanan tidak sahaja terlihat dalam perhubungan manusia dengan Tuhannya, malah turut dapat diperhatikan dalam perhubungan sesama manusia dan persekitarannya termasuklah dengan makhluk Tuhan yang lain.
Selain ia meyakini tentang kewujudan Allah sebagai Pencipta alam semesta, meyakini setiap perkara yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, ia turut memahami fungsi manusia sebagai khalifah yang seharusnya memakmurkan alam ini dengan penuh hikmah.
Di sinilah titik tolak iman sebagai pemangkin kepada usaha gigih, daya juang yang tinggi, tidak kenal putus asa dan menjauhi sifat malas.
Iman juga sebenarnya memerlukan kebijaksanaan. Seseorang yang ingin memiliki sifat yang bijaksana tentulah dia perlu mempunyai ilmu terlebih dahulu.
Seorang sahabat yang mengetahui bahawa menyembah Allah adalah ibadah yang paling mulia datang menemui Rasulullah dan bertanya kepada Baginda tentang sebaik-baik perbuatan.
Baginda menjawab, “Kesedaran tentang wujudnya Allah”.
Pertanyaan yang sama diulangi tetapi jawapan yang sama juga yang diterima olehnya.
Disebabkan rasa tidak puas hati dengan jawapan sedemikian, maka sahabat tersebut mengulas perbualan mereka dengan mengatakan bahawa, “Saya bertanya tentang perbuatan, tetapi tuan bercakap tentang pengetahuan”.
Akhirnya Rasulullah mengatakan, “Dengan pengetahuan, perbuatan yang kecil akan memberi manfaat yang besar, tetapi perbuatan yang besar tidak memberi sebarang manfaat, jika dilakukan dengan jahil”.
Selaras dengan hadis ini, maka Abu Darda’ dan Imam al-Shafie mempunyai sikap yang lebih mengutamakan ilmu berbanding amalan atau ibadah sunat.
Mungkin contoh yang boleh kita aplikasi daripada hadis ini ialah pebuatan menanam pokok cuma dipandang kecil dan tidak nampak hebat jauh berbanding pembuatan sebutir bom yang boleh melenyapkan jutaan nyawa manusia.
Disebabkan pengetahuan, manusia menanam pokok kerana kesejahteraan alam sekitar.
Kesejahteraan alam dapat mengelakkan manusia dan alam itu sendiri daripada ditimpa bencana yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.
Namun sebaliknya kedangkalan fikiran manusia yang tidak memikirkan kesan jangka panjang dan menyeluruh, penciptaan bom hanya menyebabkan kematian manusia dan kemusnahan alam sekitar yang berlaku sebelum masanya.
Dengan ilmu manusia dapat menyelesaikan masalahnya dan memberikan keselesaan kepada kehidupannya.
Ilmu juga dapat mewujudkan kesejahteraan di kalangan ahli masyarakat kerana manusia memahami bahawa hormat-menghormati adalah tali pengikat kepada hubungan sosial.
Melalui ilmu anugerah isi alam dapat diusahakan untuk manfaat manusia, malah sekiranya terdapat sesebuah negara tidak memiliki sumber asli dan semula jadi, ilmu tetap mampu memandu manusia kepada kekayaan dan kemakmuran.
Dari sinilah bermulanya pembinaan peradaban sesuatu bangsa.
Umat Islam pernah melalui zaman kegemilangan ilmu pengetahuan dan peradaban umat. Malah cendekiawan Barat antara lain menyebut, “Kita sepatutnya menganggap orang Islam sebagai pengasas yang sebenarnya bagi ilmu sains, kalau tidak kerana tamadun Islam yang muncul di Andalus, sudah tentu tamadun Eropah akan terkebelakang beberapa abad”.