Kejadian manusia berasaskan kepada dua unsur utama, iaitu rohani dan jasmani. Keseimbangan di antara dua unsur ini menyebabkan manusia itu dikira sebagai insan yang mantap dan stabil.
Inilah di antara arah tuju pendidikan Islam yang terkandung di dalam al-Qur�an, al-Sunnah dan ijtihad para ulamak yang disalur menerusi bidang-bidang akhlak, akidah dan syari`ah (perundangan).
Dalam konteks ini, ibadat haji, selain sebagai satu tuntutan rukun, ia juga menjurus ke arah menyempurnakan dua matlamat tersebut, iaitu pemantapan rohani dan jasmani.
Pertama, dari sudut kerohanian, ia merupakan satu ibadat yang dituntut menerusi ayat 196 dan 197 surah al-Baqarah.
Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w., baginda menyebut yang bermaksud: Islam itu dibina di atas lima perkara: shahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah, menunaikan puasa bulan Ramadan (al-Shaukani, t.t., 1:284).
Dari sudut sejarahnya, terdapat beberapa pendapat tentang masa ia difardukan, sama ada ia difardukan pada tahun 5H., atau 6H., atau 8H., atau 9H. Menurut al-Nawawi, tarikh yang termasyhurnya ia difardukan pada tahun 6H.
Dalam melaksanakan ibadat ini, ia bermula sejak seseorang itu berniat untuk berangkat ke tanah suci; seseorang bakal haji dikehendaki menyelesaikan ke semua urusan dengan kerabat dan jirannya sama ada jauh atau dekat, dia dikehendaki agar memohon ampun dan maaf tentang apa jua kesalahan yang pernah dilakukannya dengan mereka yang pernah bergaul dengannya, halal menghalal makan dan minum, menyelesaikan kesemua hutangnya, dan akhirnya majlis doa selamat, biasanya, diadakan.
Semasa di dalam perjalanan, bakal haji sentiasa dikehendaki mengingati Allah, iaitu dengan bacaan-bacaan talbiah, tasbih dan tahmid. Dengan memberikan penumpuan hati nuraninya kepada Allah semata-mata. Dia dikehendaki melekangkan dirinya, rohani dan jasmani, dari ikatan keduniaan, dan pada tempat-tempat tertentu, dia dituntut agar menukarkan jenis pakaian yang dipakainya sebagai usaha mengurangkan hubungannya dengan dunia dan keduniaan. Keadaan ini akan berterusan sehinggalah dia selesai menyempurnakan ibadat itu, iaitu sehingga dia bertahallul.
Di antara bacaan yang dapat kita perhatikan penekananya kepada sudut kerohanian ialah bacaan-bacaan sunat disepanjang seseorang itu mengerjakan ibadat Haji, khususnya di dalam kesemua rukun dan wajibnya. Di antara kandungnya ialah mengakui kebesaran Allah dan kekuasaanNya, memohon keampunanNya dari segala macam dosa, memohon rahmatNya, memohon perlindunganNya dari mala petaka, godaan syaitan, amalan syirik dan perbuatan jahat dan zalim, momohon keberkatan rezeki dan sebagainya.
Tindakan seseorang jemaah haji melontar batu ke arah tiga jumurah adalah lambang yang jelas kepada penentangannya terhadap unsur-unsur buruk yang dilambangkan dengan membaling syaitan. Hal ini dapat dilihat di dalam doa yang dibaca ketika melontar, iaitu: Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, kutuk terhadap segala syaitan, dan rida bagi Allah yang Maha Pemurah, ya Allah Tuhanku, jadikan ibadat hajiku ini mabrur dan sa`iku diterima.
Semasa menunaikan ibadat haji, seseorang dikehendaki mematuhi aturan/adabnya, iaitu tidak melakukan persetubuhan, perkara maksiat dan pertengkaran (ayat 197, surah al-Baqarah). Etika ini, sebenarnya, melatih seseorang agar membiasakan dirinya dengan pekerti yang baik, menjauhi perkara mungkar dan menjaga hubungan sesama sendiri demi melahirkan sebuah masyarakat yang tenteram, damai dan berkasih sayang.
Dengan itu dapatlah kita katakan bahawa perubahan lahiriah menerusi bentuk pakaian yang khusus disertakan dengan bacaan doa dan memohon maghfirah serta adab yang wajib dipatuhi adalah usaha-usaha ke arah memurnikan rohani seseorang. Dengan itu diharapkan akan suci rohani seseorang, akan tertanamlah rasa cintakan kepada kebaikan dan benci kepada keburukan, dan akan terhindarlah seseorang itu dari amalan-amalan tidak berfaedah, amalan jahat dan zalim, pergaduhan dan seumpamanya, yang selama ini menguasai dirinya. Dengan itu akan terbentuk satu penzahiran yang kudus pada dirinya sebagai seorang yang mendapat haji mabrur.
Apa yang diamalkan seseorang di tanah suci, sewajarnya ia diteruskan apabila dia berada di negara asalnya. Dengan itu barulah terdapat keseninambungan di antara penghayatan ibadat yang diwajibkan dengan bentuk kehidupan yang dilangsungkan selepas ibadat itu ditunaikan; kehidupan yang sudah mendapat pengampunan Allah.
Kedua, tentang “physical fitness” atau kemantapan jasmani, ini dapat kita lihat di dalam beberapa pergerakan rukun dan wajib haji, seperti pergerakannya ke padang Arafah untuk amalan berwukuf, pergerakannya ke Muzdalifah selepas wukuf untuk mengutip anak-anak batu, kemudian pergerakannya ke Mina untuk menyempurnakan wajib Haji, iaitu melontar. Pergerakan-pergerakan ini adalah gabungan beberapa riadah jasmani yang merangsangkan badan insan itu agar sentiasa aktif dan menjadi cergas. Kerana kesemua perjalanan dari Makkah ke Arafah, dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina adalah satu riadah berjalan kaki yang amat baik dapat dilakukan oleh semua orang sama ada tua ataupun muda. Cuma dengan kemudahan transport dan bilangan para jema’ah Haji yang berjumlah ratusan ribu itu, orang lebih cenderong menaiki kenderaan atau apa saja kemudahan lain yang mengurangkan hasil riadah tersebut.
Kemudian kita beralih kepada amalan tawaf dan sa’i yang kedua-duanya dilakukan di kawasan Baitullah dan di antara dua anak bukit Safa dan Marwah. Kedua-duanya merupakan pergerakan-pergerakan yang dapat memantapkan otot-otot, jalan pernafasan dan perjalanan darah seseorang semasa melakukannya. Hal ini dapat kita perhatikan apabila sampai pada tempat tertentu kita disunatkan agar berlari anak atau al-tarammul (dalam istilah sekarang disebut berjoging), selepas itu kita berjalan semula’ seperti biasa bagi memberi kerehatan kepada badan dan pergerakannya.
Semasa melakukan kedua-dua rukun ini, kita disunatkan berdo’a dengan apa saja do’a, ataupun do’a yang sudah disusun dengan baik di dalam buku panduan Haji dan Umrah.
Dalam kita menunaikan ibadat Haji dan Umrah ini, tidakkah terbayang di dalam diri kita bahawa, di antara cara untuk menurunkan berat badan, kita dikehendaki selalu beriadah? Tidakkah pergerakan tujuh pusingan di dalam masa tawaf dan tujuh kali berulang alik di antara Safa dan Marwah di dalam masa sa’i sebagai satu saranan Islam kepada umatnya bahawa riadah itu penting dalam kehidupan insan? Tidakkah kita digalakkan doktor agar melakukan riadah jika kita mempunyai masalah berat badan dan kolestrol? Tidakkah kita digalakkan beriadah jika kita mengalami masalah jantung dan asma (lelah)?
Kita harus memahami bahawa beriadah tidak semestinya dengan riket badminton, atau batang pemukul hoki, atau tongkat golf kerana untuk menyediakan peralatan itu adalah diluar kemampuan sebahagian besar kita. Kenapa kita tidak beralih kepada contoh yang paling mudah yang ditunjukkan Islam di dalam ibadat Haji dan Umrah?. Kenapa pergerakan yang kita lakukan di dalam ibadat Haji dan Umrah ketika di tanah Suci itu tidak kita teruskan sebagai satu kelangsungan di dalam kehidupan seharian sekembalinya kita ke tanah air?
Kita hendaklah terus beringat bahawa apa saja yang digalakan agama ada menfaatnya kepada manusia, sama ada manusia itu menyedarinya ataupun tidak. Jadi, dapatkanlah sijil kesihatan percuma menerusi pendidikan ibadat Haji.