Istilah “Islam Berkemajuan” mungkin kedengaran asing atau sedikit janggal bagi segelintir pihak. Malah, ada yang curiga seolah-olah istilah ini membawa agenda baharu yang terpisah daripada arus perdana Islam. Namun bagi mereka yang menelusuri sejarah gerakan pembaharuan Islam di Nusantara, istilah ini bukanlah sesuatu yang asing bahkan telah lama berakar, khususnya melalui gerakan tajdid seperti Muhammadiyah di Indonesia yang berusaha mengembalikan umat kepada kesucian ajaran Islam, sambil menyesuaikannya dengan tuntutan zaman. Pendirinya iaitu Kiyai Hj Ahmad Dahlan pernah berkata bahawa “Dadiyo kyai sing kemajuan lan aja kesel-kesel anggonmu nyambutgawe kanggo Muhammadiyah.” Ertinya jadilah kiai yang berkemajuan dan jangan lelah dalam bekerja untuk Muhammadiyah. Pesan ini mencerminkan kefahaman Islam sebagai agama yang menuntut kesedaran ilmu, kesungguhan beramal dan keberanian berhadapan dengan perubahan zaman, tanpa meninggalkan asas akidah, akhlak dan adab.
Perlu ditegaskan sejak awal bahawa Islam Berkemajuan bukanlah satu mazhab baharu, apatah lagi satu ajaran yang cuba memisahkan diri daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia juga bukan satu ideologi politik atau aliran pemikiran liberal yang bebas daripada disiplin ilmu. Sebaliknya, Islam Berkemajuan ialah satu manhaj atau kerangka berfikir yang menampilkan wajah Islam yang dinamik, berdaya saing dan sentiasa relevan merentas zaman, tanpa mengorbankan prinsip-prinsip syarak yang qat‘ie. Pendekatan ini selaras dengan nilai wasatiyyah iaitu konsep umat pertengahan yang seimbang. Wasatiyyah menekankan keseimbangan antara tradisi dan inovasi, rohani dan material tanpa ekstremisme atau kelalaian, sambil tetap berpegang teguh kepada wahyu.
Islam tidak wajar difahami secara sempit sebagai agama yang terbatas pada ruang ibadah ritual seperti masjid dan surau semata-mata. Sebaliknya, Islam perlu dizahirkan secara seimbang dalam seluruh aspek kehidupan manusia sebagai panduan menyeluruh yang mampu menangani permasalahan masyarakat, membina keharmonian sosial serta menggerakkan pembinaan tamadun yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keadilan.
Pendekatan menyeluruh ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 143 yang menegaskan konsep umat pertengahan, iaitu umat yang bersifat adil, seimbang dan bertanggungjawab menjadi saksi kepada manusia dalam menegakkan kebenaran, dengan Rasulullah SAW sebagai teladan utama. Konsep wasatiyyah ini menjadi asas penting dalam memahami peranan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.
Konsep kemajuan menurut ajaran Islam tidak terhad kepada aspek fizikal dan kebendaan semata-mata. Ia merangkumi dimensi rohani, intelektual dan sosial bagi mencapai kebahagiaan di dunia serta kesejahteraan di akhirat. Atas kerangka inilah, muncul perbahasan sama ada Islam perlu dimajukan atau kemajuan perlu diislamkan, satu wacana yang bukan baharu dalam pemikiran Islam kontemporari.
Almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menghuraikan persoalan ini secara mendalam dalam karya-karya beliau berkaitan kebangkitan dan pembaharuan umat. Menurut pendekatan ini, Islam sebagai agama yang sempurna dan bersumberkan wahyu tidak memerlukan pemodenan seolah-olah ia ketinggalan zaman. Sebaliknya, kemajuan itulah yang perlu dipandu dan disaring agar selaras dengan nilai tauhid, akhlak, keadilan dan maqasid syariah.
Kemajuan yang berkembang tanpa bimbingan wahyu berisiko melahirkan kerosakan nilai, ketidakseimbangan sosial serta penindasan terhadap prinsip kemanusiaan. Dalam konteks inilah, penegasan kepimpinan negara tentang Islam yang rahmah dan berkemajuan perlu difahami sebagai usaha mengislamkan kemajuan. Ia bertujuan membimbing pembangunan, teknologi, tata kelola dan kehidupan moden agar bergerak dalam kerangka nilai Islam yang sederhana, berteraskan ihsan dan berpaksikan tujuan syariah.
Di tengah cabaran masa kini seperti radikalisme agama, kemiskinan nilai dalam struktur masyarakat serta kepesatan teknologi, pendekatan Islam Berkemajuan tampil sebagai kekuatan transformasi. Ia menawarkan solusi yang realistik, berprinsip dan berakhlak dalam usaha membina masyarakat yang madani serta peradaban yang seimbang antara kemajuan duniawi dan karamah insani.
Timbul persoalan, bukankah istilah “hijrah” lebih tepat dan lebih Islami? Hakikatnya, kedua-dua istilah ini saling melengkapi. Hijrah dalam Islam bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain, tetapi merupakan satu anjakan paradigma. Hijrah menuntut perubahan sikap, pemikiran dan cara hidup. Apakah dorongan paling asas kepada hijrah jika bukan keinginan untuk memperbaiki keadaan dan keluar daripada kemunduran?
Tanpa kesedaran untuk maju, hijrah tidak akan berlaku. Hijrah ialah proses, manakala kemajuan ialah destinasi. Justeru, apabila Islam Berkemajuan dibicarakan, ia tidak bercanggah dengan konsep hijrah, bahkan menghidupkan semula makna hijrah itu sendiri sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti diri, masyarakat dan peradaban.
Salah satu ciri utama Islam Berkemajuan ialah kefahaman bahawa hukum Islam memiliki fleksibiliti terancang, bukan kekakuan membuta tuli. Jika kita menelusuri sejarah pembinaan hukum Islam (tārīkh al-tashrī‘), kita akan mendapati bahawa para ulama silam sangat peka terhadap realiti semasa dalam proses berijtihad. Islam tidak pernah difahami sebagai agama yang beku atau terpisah daripada kehidupan manusia.
Imam al-Syafi‘e menjadi contoh terbaik. Beliau mempunyai dua set pandangan hukum yang dikenali sebagai qaul qadim ketika berada di Baghdad dan qaul jadid setelah menetap di Mesir. Perubahan pandangan ini bukan kerana hukum Allah berubah, tetapi kerana Imam al-Syafi‘e menyedari perbezaan budaya, adat dan keperluan masyarakat setempat. Ini membuktikan bahawa ijtihad yang berwibawa sentiasa mengambil kira konteks tanpa menjejaskan asas syarak.
Begitu juga Imam Abu Ḥanifah yang membenarkan pembayaran zakat fitrah menggunakan nilai wang, berbeza dengan pandangan jumhur yang berpegang kepada pemberian makanan ruji. Ijtihad ini lahir daripada kepekaan terhadap realiti ekonomi dan keperluan golongan fakir miskin. Ia menunjukkan bahawa tujuan hukum diutamakan, bukan sekadar bentuk luaran pelaksanaannya.
Dalam Mazhab Maliki pula, prinsip maslahah mursalah digunakan secara meluas dalam penggubalan hukum pentadbiran dan dasar awam, selagi tidak bercanggah dengan nas yang jelas. Kesemua contoh ini membuktikan bahawa fiqh Islam ialah satu sistem yang hidup, berkembang dan sentiasa berinteraksi dengan realiti manusia.
Dalam membicarakan Islam Berkemajuan, peranan usul fiqh tidak boleh dipinggirkan. Usul fiqh ialah disiplin yang mengawal cara hukum dikeluarkan daripada nas, memastikan bahawa perubahan berlaku secara berprinsip dan berdisiplin. Melalui kaedah-kaedah seperti qiyas, istihsan, istishab serta pertimbangan ‘urf dan sadd al-zhara’i’, para ulama membina satu kerangka yang membolehkan hukum Islam berfungsi dalam pelbagai konteks tanpa terkeluar daripada landasan wahyu.
Tanpa penguasaan usul fiqh, perubahan mudah terjerumus sama ada ke dalam kejumudan literal atau kebebasan tanpa kawalan. Islam Berkemajuan justeru menuntut pengembalian autoriti ilmu bahawa ijtihad hanya boleh dilakukan oleh mereka yang memahami disiplin, bukan berdasarkan sentimen atau tekanan semasa.
Seiring dengan usul fiqh, maqasid syari‘ah menjadi roh yang menghidupkan hukum. Tujuan utama syariah ialah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala hukum dan dasar perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia mencapai tujuan-tujuan ini. Dalam kerangka Islam Berkemajuan, maqasid berfungsi sebagai kompas yang memastikan bahawa hukum tidak dilaksanakan secara kaku sehingga menzalimi manusia.
Pendekatan maqasid tidak bermaksud menolak nas, tetapi memahami nas dalam kerangka tujuan yang lebih besar. Dengan pendekatan ini, Islam mampu menawarkan penyelesaian yang adil dan realistik terhadap isu-isu kontemporari seperti tadbir urus, ekonomi, pendidikan dan keharmonian sosial, tanpa kehilangan identiti syariahnya.
Sejarah Islam membuktikan bahawa kebangkitan tamadun tidak pernah lahir daripada sikap pasif. Dinasti-dinasti besar seperti Umawiyyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah membina peradaban melalui penguasaan ilmu, inovasi sains, sistem ketenteraan yang terancang serta pengurusan ekonomi yang cekap. Doa dan tawakal sentiasa digandingkan dengan perancangan dan usaha. Islam menolak fahaman fatalistik yang menjadikan takdir sebagai alasan untuk bermalas-malasan. Al-Qur’an menegaskan dalam surah al-Rad ayat 11 iaitu :
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat ini mengingatkan bahawa perubahan bermula daripada kesedaran dan usaha manusia sendiri.
Dalam konteks Malaysia hari ini, gagasan Malaysia MADANI boleh difahami sebagai satu kerangka pentadbiran dan pembangunan negara yang selari dengan prinsip Islam Berkemajuan. Ia memberikan asas moral dan intelektual agar kemajuan tidak diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut dinilai melalui keadilan sosial, kesejahteraan, ihsan dan kemuliaan akhlak.
Kesepadanan ini menunjukkan bahawa Islam tidak berada di pinggir pembangunan negara, tetapi berperanan sebagai panduan nilai yang membimbing arah kemajuan. Dalam kerangka ini, Islam Berkemajuan berfungsi sebagai sumber akhlak dan kebijaksanaan, manakala Malaysia MADANI menjadi wahana pelaksanaan nilai tersebut dalam realiti pentadbiran dan masyarakat majmuk.
Intihanya, Islam Berkemajuan bukanlah slogan kosong, tetapi satu seruan untuk menghidupkan semula tradisi kecemerlangan dan kegemilangan Islam yang menuntut umat Islam keluar daripada kejumudan berfikir, kembali kepada disiplin ilmu dan berijtihad dalam ruang yang dibenarkan syarak.
Dalam konteks masyarakat majmuk dan negara berperlembagaan hari ini, pendekatan ini menuntut kebijaksanaan hukum, kecerdasan sosial dan keberanian intelektual, sambil tetap setia kepada prinsip-prinsip wahyu serta nilai keharmonian bersama. Inilah Islam yang membina peradaban, yang Madani, bukan sahaja canggih dari sudut teknologi dan sistem, tetapi juga luhur dari segi hukum, akhlak dan adab serta berani memimpin perubahan, bukan sekadar selesa menjadi pemerhati zaman.

